Skip to content
Calon Pilihan Rakyat
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Calon Pilihan Rakyat
Calon Pilihan Rakyat
Cerpen

Calon Pilihan Rakyat

  • NOR AZMI
  • 5 April 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 201
  • 4.4

KEGUSARAN mula bergelumang dalam fikiran Muhamad Fikri. Jiwanya semakin goyah dan berbelah bagi. Niatnya semakin samar-samar. Dia berfikir kembali sama ada untuk bertanding atau tidak dalam pilihan raya nanti. Niat asalnya untuk melobi sebagai calon dalam pilihan raya umum tertangguh seketika.

Muhamad Fikri perlu menilai semula setiap cadangan dan sokongan daripada kawan-kawan. Perkiraan untung rugi ketika membuka langkah memasuki dunia politik perlu diperhalusi.

“Kau memang layak untuk bertanding, Fikri. Kau menyandang jawatan penting dalam parti. Kau memiliki kelulusan luar negara. Kau ada master. Kewangan kau juga stabil,” cadangan awal daripada Mohd Hanif, kawan rapat semasa mereka sama-sama menuntut di universiti dahulu.

“Siapa lagi yang lebih layak bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Sri Aduni ini, kecuali kau. Kau anak tempatan. Kau ada potensi besar untuk memberi kemenangan kepada parti,” sokong Salmi.

“Kau memiliki banyak syarikat perniagaan, pembinaan dan hartanah yang bergerak maju, Fikri,” sampuk Junaidi.

Kata-kata dorongan dan pujian setinggi langit daripada Mohd Hanif, Salmi dan Junaidi menjadikan Muhamad Fikri amat teruja. Teruja untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Teruja untuk menyandang jawatan sebagai Ahli Yang Berhormat. Lebih teruja lagi untuk mewakili Sri Aduni dan nanti akan bergelar sebagai Ahli Dewan Negeri.

“Kalau kau memenangi pilihan raya nanti, peluang untuk dilantik sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Menteri Besar sangat cerah. Apabila sudah menjadi Timbalan Menteri Besar, kau mempunyai kuasa dan peluang. Peluang yang lebih besar adalah untuk memajukan bidang perniagaan yang sedang kau bina sekarang. Kau juga dapat membantu rakan-rakan kita yang lain. Yang lebih hebat lagi, kau dapat meluluskan banyak projek. Kau boleh buat duit,” Mohd Hanif terus memarakkan lagi jiwa muda Muhamad Fikri.

“Peluang melebarkan perniagaan kau akan lebih terbuka. Kau mungkin dilantik sebagai pengerusi beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik kerajaan negeri,” Salmi memperkuat lagi hujah Mohd Hanif.

“Aku harap kau setuju,” Junaidi bangun dari meja makan sambil menepuk-nepuk bahu Muhamad Fikri sebelum mereka berempat berpisah.

Semalaman Muhamad Fikri berfikir. Dia mempertimbangkan untung rugi semua cadangan yang dibuat oleh mereka bertiga.

‘Kalau aku tidak merebut peluang kali ini, bila lagi? Memang betul cadangan mereka bertiga,’ Muhamad Fikri bermonolog sendirian. 

‘Sehingga saat ini belum ada lagi ADUN dari kawasan Sri Aduni yang berada dalam barisan Exco. Belum ada juga yang dilantik memegang jawatan pengerusi mana-mana GLC,’ getusnya lagi.

ADUN Sri Aduni sekarang ialah Haji Mostar Masdor, bekas seorang guru. Beliau tidak dilantik sebarang jawatan dalam kerajaan. Beliau sekadar tiga bulan sekali berada di Dewan Negeri kerana menghadiri persidangan. Itu sahaja. Selebihnya beliau hanya berada di rumah. Kadang-kadang beliau dijemput merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Begitu juga ADUN sebelum ini, Haji Masoud. Peranan beliau juga tidak terlalu menonjol. Sekali sekala menghadiri mesyuarat di jabatan kerajaan atau menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan atau Maulidur Rasul.

Berdasarkan faktor tersebut, Muhamad Fikri yakin cadangan Mohd Hanif, Salmi dan Junaidi sangat tepat. Bagaimanapun, Muhamad Fikri memerlukan keputusan daripada kepimpinan tertinggi parti. Lebih penting daripada itu ialah keputusan daripada ayahnya sendiri, Haji Karimunan Al-Hafiz.

Tepat seperti jangkaan Muhamad Fikri, mesyuarat tertinggi parti kemudian memaklumkan bahawa terdapat tiga nama yang telah dicadangkan untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.

Muhamad Fikri merupakan calon mewakili orang muda. Haji Abdul Kadir mewakili golongan veteran dan ADUN sekarang Haji Mostar Masdor.

Semua keputusan parti itu tidak mengejutkan, Peluang yang lebih terbuka sekarang menjurus kepada Muhamad Fikri. Lelaki yang berusia 28 tahun dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kepimpinan Pemuda. Manakala Haji Mostar mungkin akan menolak cadangan yang dibuat oleh parti.

Ketika merasmikan Mesyuarat PIBG Sekolah Menengah Kuala Kederang baru-baru ini, beliau membayangkan hasratnya untuk bersara sebagai ahli politik atas beberapa faktor, termasuklah faktor umur dan kesihatan.

“Ini adalah penggal pertama dan terakhir bagi saya menjadi wakil rakyat. Saya sudah berumur lebih 60 tahun. Kesihatan saya juga kadang-kadang terganggu. Justeru saya mungkin bersara daripada dunia politik”

Seorang lagi calon yang dicadangkan oleh parti ialah Haji Abdul Kadir. Beliau memegang jawatan Pengerusi Tetap. Ramai pemerhati politik menyifatkan nama Haji Abdul Kadir yang dicadangkan sebagai pelengkap senarai calon. Ramai juga yang menyifatkan calon yang paling sesuai ialah Muhamad Fikri bin Haji Karimunan Al-Hafiz.

Bermula pada saat itulah nama Muhamad Fikri mula dijaja ke merata tempat oleh para pemuda. Bukan sahaja di kedai kopi, malah di surau, di padang bola, melalui Facebook, Whatsapp, Instagram dan Tweeter. Dan kaki berkempen yang paling hebat tidak lain dan tidak bukan ialah Mohd Hanif, Salmi dan Junaidi.

“Kita tidak akan rugi jika memilih Muhamad Fikri sebagai calon. Beliau orang muda, berkelulusan tinggi. Dan lebih penting beliau orang yang berada. Kita boleh minta tolong daripada beliau bila-bila masa sahaja. Sudah sekian lama kawasan kita ini diwakili oleh orang veteran. Sudah tiba masanya kita menukar selera untuk mengundi pemimpin muda pula,” kempen Mohd Hanif menjalar ke merata-rata tempat.

“Jika beliau ada jawatan dalam kerajaan negeri nanti, kita juga yang senang,” nada memujuk Salmi kepada kawan-kawan di tempat kerja sungguh menarik.

“Suara beliau pasti lantang di dalam dewan memperjuangkan nasib lepasan universiti. Orang lama tidak mampu berbuat demikian. Mereka hanya memperjuangkan kelompok kecil dalam kampung sahaja,” begitu pula cara berkempen Junaidi.

Akhirnya kempen-kempen awal yang dibawa oleh kumpulan Muhamad Fikri turut menyentuh sensitiviti para penyokong Haji Mostar dan Haji Abdul Kadir. Terdapat kata-kata dan ucapan yang memperkecilkan golongan orang lama atau veteran.

Tidak lama selepas itu, para penyokong Haji Mostar dan Haji Abdul Kadir membuat serangan balas. Serangan balas daripada kumpulan veteran ini ternyata lebih keras dan kasar.

Dalam satu majlis ceramah parti di kampung Padang Licin, Haji Abdul kadir membidas golongan muda secara terang-terang.

“Umur baru setahun jagung, pengalaman baru setitik embun, sudah mula mahu berkokok di pohon yang tinggi. Ubun-ubun masih lembik, gigi pula baru nak tumbuh, sudah mahu menunjukkan pintar menari di seluruh gelanggang.”

Orang ramai yang hadir memenuhi khemah perhimpunan bertepuk tangan dan bersorak gembira. Mereka semua tahu yang ucapan Pengerusi Tetap parti itu ditujukan kepada para Pemimpin Muda, terutamanya kepada Muhamad Fikri.

Yang Berhormat Haji Mostar pun berucap juga. Tapi nada ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penanam Padi Kawasan Kuala Permatang penuh dengan sindiran sinis dan pedas.

“Kita para penduduk yang tinggal dalam Dewan Negeri Sri Aduni ini memerlukan para pemimpin yang jujur dan dekat di hati rakyat. Mereka memerlukan bantuan dan tunjuk ajar sepanjang masa. Mereka bukan memerlukan pemimpin yang ada kelulusan, kaya-raya, berpelajaran tinggi, tetapi jauh daripada pandangan mata pengundi.”

Dan tentunya inti pati ucapan itu juga ditujukan khusus kepada Muhamad Fikri.

Tidak terduga sama sekali akhirnya isu Pemimpin Muda dan Pemimpin Veteran bertukar warna menjadi isu dalaman parti yang luka dan tercalar. Isu tersebut kemudian sampai kepada pengetahuan pucuk pimpinan tertinggi, termasuk sampai ke telinga Ketua Kepimpinan Parti, Datuk Borahan Sirap.

Datuk Borahan tidak mengambil masa yang lama. Satu mesyuarat tergempar parti untuk semua peringkat diadakan. Dalam mesyuarat tersebut, semua turut dijemput. Para Pemimpin Veteran, Pemimpin Pemuda, Wanita dan Puteri hadir. Yang Berhormat Haji Mostar hadir, Haji Abdul Kadir hadir dan Muhamad Fikri pun hadir.

Pesanan Datuk Borahan Sirap sangat jelas.

“Jika sebelum pilihan raya pun kita sesama pemimpin masing-masing tidak mahu bertolak ansur. Masing-masing memburukkan sama sendiri, harapan untuk kita mencapai kemenangan dalam pilihan raya nanti sukar. Saya berharap isu Pemimpin Veteran dan Pemimpin Muda kita tamat sahaja di sini.”

“Jika isu ini terus dibangkitkan lagi, mereka yang terlibat dalam isu ini ada kemungkinan tidak akan dipilih bertanding dalam pilihan raya yang terdekat ini.”

Begitulah nokhtahnya. Datuk Borahan Sirap menamatkan ucapannya di situ. Semua pemimpin yang hadir tertanya-tanya. Kepada siapakah sindiran itu ditujukan? Mereka akhirnya bersurai. Masing-masing membawa pulang persoalan di benak fikiran tanpa menemui jawapan.

Kemelut pemilihan calon pilihan raya ADUN Sri Aduni akhirnya sampai ke pengentahuan ayah Muhamad Fikri, Haji Karimun Al-Hafiz. Isu anaknya Muhamad Fikri sedang melobi untuk menjadi calon pilihan raya dengan membawa slogan: “Zaman ini zaman orang muda, pilihlah calon berpelajaran serta orang yang kaya” juga sampai ke pengetahuan Haji Karimun.

Akhirnya pada satu petang di ruang tamu, mereka dua beranak bersua muka. Kemuncak daripada pertemuan itu ialah, Haji Karimun memberi satu teguran kepada anaknya.

“Sesuatu yang kita akan laksanakan itu mestilah bermula daripada niat. Niat kita mesti tulus dan suci umpama titisan embun. Jika niat kita putih bersih, jika niat kita suci murni, hasil yang kita cari dan akan kita capai juga akan sempurna dan bersih. Sebaliknya jika niat kita tidak tidak jelas dan terselindung, akhirnya pencapaian yang kita dapat akan kosong dan sia-sia.”

Muhamad Fikri hanya diam mendengar kata-kata daripada seorang ayah, bekas seorang Hakim Syarie.

“Jika Fikri menceburi dunia politik dan mahu bertanding dalam pilihan raya semata-mata untuk mencari kedudukan, kekayaan dan kekuasaan, ayah harap Fikri lupakan semua niat itu. Wang yang bakal diterima nanti mestilah wang yang jelas, bukan wang yang diragui,” jelas ayahnya lagi.

Muhamad Fikri terkejut dengan kata-kata ayahnya itu. Dia tidak terduga sama sekali. “Menjadi seorang wakil rakyat atau seorang yang berhormat bukannya tugas yang mudah, Fikri. Selain berada di persidangan dewan, tugas yang lebih besar adalah memastikan rakyat dalam kawasan yang diwakili hidup terjamin dari segi pendidikan, ekonomi, keselamatan, kesempurnaan dan kebahagiaan,” ayahnya menambah.

Muhamad Fikri terus diam. Tunduk memandang karpet warna kelabu yang telah lusuh. Dia tidak sanggup memandang wajah ayahnya. Dia tidak sanggup bertentang mata lagi dengan Haji Karimun. Matanya mulai basah. Dia sememangnya telah tewas.

“Kamu sanggupkah Fikri, mengharung lumpur dan meredah air semasa banjir atau meredah api semasa rakyat kamu dalam kesusahan? Wakil rakyat sebenar bukanlah sentiasa berada di dalam bilik beraircond serta menaiki kereta mewah, sedangkan rakyat bermati-matian mencari kehidupan di lautan, dilambung ombak atau rakyat kamu kebasahan dalam rumah usang yang tiris di sana sini?” kata-kata ayah amat menikam jiwa Fikri.

Muhamad Fikri bingkas bangun. Dipegang erat-erat tangan ayahnya. Dia memeluk kemas-kemas susuk tubuh orang tua yang sentiasa dihormatinya sejak sekian lama. Dia tidak mampu untuk menafikan kebenaran yang sedang diucapkan oleh ayahnya itu.

“Ayah!” Muhamad Fikri sebak. Niatnya untuk bergelar YB dibuang jauh-jauh.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Harga Noda
Cerpen

Harga Noda

  • 10 Oktober 2023
  • 192
  • 4.6
Dampak Peranti Mudah Alih Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Kanak-kanak
Bicara Bahasa

Dampak Peranti Mudah Alih Terhadap Perkembangan Kesusasteraan Kanak-kanak

  • 20 Mac 2024
  • 473
  • 4.6
لمبرن تراوکير
Puisi Moden

لمبرن تراوکير

  • 5 Januari 2024
  • 5
Igauan Kala Hujan Tadi
Puisi

Igauan Kala Hujan Tadi

  • 7 Julai 2023
  • 523
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP