NEGERI Jelapang Padi ini merupakan dataran yang subur, bukan sahaja tanah-tanihnya yang subur malah subur juga dengan barisan penulis yang menjadi kebanggaan negara. Antaranya termasuklah Sasterawan Negara Kedua Profesor Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara Kelapan Datuk Abdullah Hussain dan Sasterawan Negara Ke-13 Datuk Dr. Zurinah Hassan. Malah ramai lagi penulis yang berkaliber berasal dari negeri Kedah termasuklah Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hassan, Dato’ A. Rahmad, Dato’ Halim R, Dr. Kassim Ahmad, Azizi Haji Abdullah, Zainal Rashid Ahmad, Ridzuan Harun, Ismail Restu, Jamaludin D dan ramai lagi. Barisan penulis ini cemerlang dalam dunia kepengarangan bukan sahaja kerana bakat yang mereka miliki semata-mata. Namun, persekitaran mereka juga menyumbang kepada keberhasilan karya-karya mereka. Negeri Jelapang padi anugerah Allah Subhanahu wa Taala ini menyediakan pelbagai ramuan flora dan fauna untuk diolah oleh kebijaksanaan mata pena penulis-penulis kelahiran Kedah.
Ketokohan yang ada pada mereka menjadi azimat dan semangat kepada penulis-penulis kelahiran jelapang padi untuk terus mengasah bakat dalam menghasilkan karya yang bermutu. Ketajaman pemikiran yang ada pada mereka merupakan inti pati yang terbaik kepada penulis-penulis negeri Kedah untuk terus memartabatkan dunia sastera. Kemunculan barisan penulis yang prolifik dalam menghasilkan karya sastera banyak disumbang oleh persatuan penulis yang aktif di sini, iaitu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI). Sebagai sebuah persatuan penulis yang aktif, ASASI mempunyai barisan Ketua Satu yang begitu memahami kehendak ahli-ahlinya melalui pelaksanaan pelbagai program sastera untuk kepentingan ahli. Bekas Ketua Satu ASASI, Allahyarham Noorjaya atau lebih dikenali sebagai “pak long” adalah antara penulis yang begitu konsisten dalam melahirkan karya-karya sastera yang bermutu dan terbaik.
Sebagai persatuan penulis yang komited terhadap peranan mengembangkan bakat penulisan dalam dunia kesusasteraan di negeri Kedah, bekas Ketua Satu ASASI, Shaidun Haji Shaari juga adalah antara penulis mampan yang berjaya melahirkan banyak karya sastera yang bermutu dan berjaya memenangi pelbagai hadiah sastera sehingga melayakkan beliau untuk terus bertapak dalam dunia sastera. Begitu juga dengan bekas Ketua Satu ASASI, Dr. Osman Ayob yang merupakan novelis terkenal di negeri Kedah yang sehingga kini berjaya menempatkan diri dalam dunia sastera tanah air melalui penghasilan karya yang baik dan sempurna melibatkan genre novel. Antara karya beliau termasuklah novel Meniti Impian, Dukhan: Langit Akhir Zaman, Anak Primadona, Jeritan Pulau, Kumpulan Cerpen Bayangan Silam, Kumpulan Cerpen Tembok Masih Tinggi dan lain-lain lagi.
Kesinambungan daripada sumbangan ASASI dalam kegiatan penulisan turut melahirkan tokoh-tokoh penulis seperti Abu Hassan Morad, Dr. Husairi Hussin, Saadin Abdullah, Puzi Hadi, Hassan Baseri Budiman, Jusoh Ahmad, Allahyarham Jihaty Abadi, Allahyarham Affrini Adham dan ramai lagi, Masing-masing mempunyai kekuatan dan konsisten menghasilkan karya kreatif seperti puisi, cerpen dan novel. Karya-karya yang dihasilkan oleh mereka mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat dan alam sekeliling dan bersifat kritikan sosial, bertepatan dengan gagasan yang dibawa oleh Allahyarham Shahnon Ahmad, “Sastera Sebagai Seismograf Kehidupan”. Kepekaan golongan penulis terhadap angin perubahan yang berlaku di sekeliling menjadikan karya mereka lebih dekat dengan masyarakatnya, malahan memaparkan secara jujur dan telus tentang apa-apa perihal yang berlaku pada ketika itu. Hal ini dapat diteliti dalam karya-karya Allahyarham Shahnon Ahmad misalnya yang membawa tema kedesaan seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, Tunggul-Tunggul Gerigis, Seluang Menodak Baung, Tivi jelas mengkritik hal kemiskinan, kepemimpinan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.
Tuan Haji Abu Hassan Morad kini sebagai Ketua Satu ASASI.
Kini, Tuan Haji Abu Hassan Morad sebagai peneraju kepimpinan ASASI dengan dibantu oleh Ketua Dua ASASI, iaitu Putraery Ussin menjadikan ASASI sebagai sebuah badan penulis yang dikenali ramai dan menjadi sebuah badan penulis yang berketrampilan dan berwawasan. Sebagai Ketua Satu ASASI yang baharu, Tuan Haji Abu Hassan Morad ialah seorang penulis yang prolifik dan berjaya menghasilkan banyak karya sastera melibatkan genre novel. Beliau banyak memenangi hadiah sastera seperti Hadiah Sastera Utusan dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia. ASASI komited melaksanakan sayembara penulisan, bengkel penulisan karya kreatif, perhimpunan penulis, malahan turut menyantuni pelajar sekolah khusus untuk mengembangkan bakat penulisan untuk generasi baharu.
Diskusi karya sebagai platform untuk mempromosikan karya dan memperkenalkan penulis.
kepada khalayak.
Walaupun tonggak kepimpinan ASASI bertukar ganti, saban tahun persatuan ini akan menghimpun semua penulis untuk berdiskusi dan memperbaiki mutu penulisan karya menerusi penganjuran Dialog Puncak pada setiap hujung tahun. Dialog Puncak merupakan salah satu kegiatan tahunan ASASI yang bermula sejak tahun 1990 lagi dan legasi ini diteruskan oleh semua Ketua Satu. Sehingga tahun 2023, Dialog Puncak sudah menjangkau usia 33 tahun penganjuran program berkenaan. Program ini berjaya menghimpunkan karya-karya kreatif dan dibukukan untuk penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan penganjuran Dialog Puncak, hal ini secara tidak langsung dapat mempertemukan penulis-penulis Kedah dalam satu acara . Banyak karya-karya sastera seperti penghasilan buku sastera oleh penulis Kedah dapat diperkatakan dalam program ini. Editor buku sastera dari Dewan Bahasa dan Pustaka turut hadir dalam diskusi buku yang dihasilkan oleh penulis ASASI.
Bicara buku merupakan sesi yang wajib dianjurkan dalam Dialog Puncak pada setiap tahun.
Minat dan kesungguhan adalah rencah utama untuk menjadi seorang penulis yang disegani dan dihormati. Bidang sastera adalah satu bidang seni yang menghimpunkan penulis-penulis untuk lebih kreatif dalam melaksanakan tugas sebagai seorang penulis yang berjiwa seni. Erti semangat adalah intipati yang tinggi untuk berdiri di atas kaki sendiri dalam usaha melahirkan lebih banyak karya sastera yang mampu membenihkan minda untuk lebih berdaya maju.Sebagai sebuah persatuan penulis, ASASI terus komited dalam usaha mengembleng tenaga dan usaha dalam membantu penulis-penulis negeri Kedah untuk lebih berdaya maju ke arah memantapkan diri untuk menghasilkan karya sastera. Kesungguhan ASASI melalui penganjuran program mahupun aktiviti sastera diharap mampu menyatupadukan ahli-ahli ASASI untuk lebih bersemangat dalam memacu kegemilangan sastera di Negeri Kedah.
Sehingga kini, sudah ada pengiktirafan seperti Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) yang diwujudkan dalam usaha memberikan sumbangan kepada penulis-penulis negeri Kedah yang memperjuangkan dunia Kesusasteraan Melayu di negara ini. Dengan wujudnya anugerah sastera di negeri Kedah, secara tidak langsung dapat mengiktiraf sumbangan yang diberikan oleh penulis. Dalam konteks lain, ASDA dapat meningkatkan semangat penulis untuk berkarya dan mengangkat martabat sastera di negara ini. Malahan dengan wujudnya ASDA dapat menjadi platform kepada penulis baharu untuk berkarya dengan lebih serius sekaligus menyumbang kepada kelahiran penulis baharu. Pokok utamanya, dengan penganjuran anugerah sastera ini, ia mampu memberikan perangsang dan minat untuk penulis-penulis Kedah menghasilkan lebih banyak karya sastera yang mampu memberikan sesuatu yang terbaik ke arah menjadikan dunia sastera sebagai wadah penyatuan dalam kalangan penulis tanah air.
Sebagai kesimpulannya, ASASI memainkan peranan penting kepada perkembangan sastera di negeri Kedah khususnya. Pelaksanaan pelbagai kegiatan dan bimbingan penulisan oleh ASASI telah melahirkan ramai penulis prolifik sehingga Kedah melahirkan tiga orang Sasterawan Negara. Hal ini tidak hanya memberikan sumbangan penting kepada perkembangan sastera di Kedah, tetapi juga membantu mewujudkan identiti sastera yang kaya dengan sejarah bagi memajukan dan mewarisi warisan sastera tempatan.