Kelantan terkenal dengan gelaran serambi Mekah selain tersohor dengan aktiviti seni dan budayanya tersendiri. Rakyat Kelantan menjulang tinggi seni dan budaya negeri Kelantan dan nampak jelas mereka menjadikan seni dan budaya sebagai cara hidup mereka. Jika lalu di jalan-jalan kampung, pasti terlihat wau bulan besar terpampang di beberapa rumah kayu atau jika bernasib baik dan kena dengan harinya, terlihatlah di langit tinggi wau bulan dan wau puyuh sedang beradu terbang. Ambillah peluang untuk mencari kumpulan yang menerbangkan wau-wau tersebut. Prosesnya bukan mudah. Jika tiada tujuh orang pemuda gagah perkasa, tidak terbanglah wau tersebut. Perhatikan juga kehadiran anak-anak kecil dalam kalangan mereka. Hal ini menunjukkan bahawa rakyat Kelantan cukup faham dengan peribahasa melentur buluh haruslah bermula dari rebungnya.
Jika anda kebetulan berada di Kelantan pada malam hujung minggu, pasanglah telinga. Kalau tajam pendengaran, maka kedengaranlah tepuk dan sorak kumpulan-kumpulan dikir barat diiringi gong dan gendang ibu. Carilah kumpulan tersebut dan hiburkan diri. Selain menjadi halwa telinga, fikirkan falsafah persembahan dikir barat ini. Kenapa ada dua penyanyi, seorang duduk manakala seorang lagi berdiri? Kenapa lagu-lagu yang disampaikan bermula dengan rentak sedih kemudian semakin rancak dan akhir sekali, pasti lagu “wau bulan?” Lirik lagu bagaimana yang hendak disampaikan? Semuanya itu ada maksud tersirat.
Pendek kata, anda boleh berkunjung sahaja ke Gelanggang Seni di Kota Bharu, Kelantan untuk menyaksikan sendiri pelbagai seni dan budaya negeri Kelantan melalui pameran dan persembahan yang ditunjukkan kepada penonton. Seni dan budaya Kelantan tidak pernah tidur malah sentiasa berjaga siang dan malam. Tidak hairanlah jika negeri Kelantan dipanggil sanggar seni Malaysia.
Bukan hanya seni dan budaya masyarakat Melayu Kelantan sahaja diangkat, malah seni dan budaya masyarakat Cina dan India juga dijulang tinggi di Kelantan. Penulis pernah menghadiri satu acara yang dinamakan Malam Puisi Malaysia, yang diadakan di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Perkara yang menarik perhatian penulis adalah ketika persembahan pembukaan. Penganjur menggabungkan beberapa alatan muzik tradisi daripada tiga kaum terbesar Malaysia. Hasilnya ialah gabungan susunan lagu yang sangat harmoni dan menyentuh jiwa. Persembahan ini membuktikan seni dan budaya boleh dijadikan alat perpaduan sesebuah negara.
Jika Kelantan mahu mengeksploitasi seni dan budaya secara berkesan dan menguntungkan rakyat, maka promosi perlu diadakan dengan lebih rancak untuk menjadikan seni dan budaya produk pelancongan khusus bagi negeri Kelantan. Tenaga dan dana perlu digembleng secara keseluruhan bagi memastikan seni dan budaya Kelantan dikenali seantero dunia. Perlu diingat bahawa seni dan budaya bukanlah seperti hasil balak, berkurangan selepas ditebang. Seni dan budaya sentiasa berkekalan asalkan rakyat Kelantan sedia melabur keringat.
Persoalannya, mengapa seni dan budaya Kelantan tidak menjalar dan tersebar ke luar negeri? Seni dan budaya Kelantan bagaikan jaguh kampung, diarak dan disorak oleh rakyat Kelantan tapi bungkam di negeri-negeri lain. Selain dikir barat dan makyung yang diangkat oleh karyawan Sabri Yunus, seni dan budaya lain tidak mendapat tempat. Bagaimana pula dengan permainan gasing pangkah, gasing uri dan wayang kulit? Ke mana pergi pejuang-pejuang seni dan budaya lain?
Paling merisaukan, generasi sekarang mungkin generasi terakhir mengangkat seni dan budaya tempatan. Kebanyakan mereka sudah berada di hujung usia. Kegagalan mencari pelapis adalah disebabkan pejuang-pejuang seni dan budaya ini sedar betapa susah untuk mencari rezeki berpaksikan seni dan budaya. Tambahan pula, kehendak dan keperluan generasi akan datang semakin bertambah serta menyebabkan seni dan budaya tidak lagi dilihat sebagai salah satu hasil mata pencarian. Jika sesuatu tidak dilakukan segera, kita akan melihat negeri Kelantan mengalami kepupusan seni dan budaya.
Penulis turut berpendapat bahawa masalah ini berpunca daripada kegagalan masyarakat Kelantan sendiri dalam menjadi lidah kepada seni dan budaya. Rakyat Kelantan, walau masyhur dengan sifat gedebe, apabila diberi ruang dan peluang untuk menyatakan pendapat di pentas yang lebih formal, ternyata akan menikus. Begitu banyak medium boleh dijadikan alat untuk mempromosikan seni dan budaya, namun rakyat Kelantan tidak menggunakan medium tersebut. Mereka lebih gemar menyerahkan tugasan itu kepada badan-badan kerajaan atau wakil rakyat.
Walaupun seni dan budaya di Kelantan diberi ruang untuk tumbuh dengan segar, hal yang demikian tidak dilihat pada sastera. Seolah-olah kita dapat melihat bahawa kelompok sastera semakin terpinggir dan lebih tepat lagi meminggirkan diri dari arus pemodenan.Tidak dinafikan bahawa ada penganjuran bengkel puisi dan program baca puisi untuk menarik minat masyarakat, namun kita dapat lihat betapa lemahnya promosi sastera di Kelantan. Setiap kali diadakan bengkel dan program berkaitan sastera, satu perkara yang sangat pasti ialah kehadiran penonton yang menghadiri program tersebut. Jika di dewan, penuhlah dewan itu. Jika di tempat terbuka, kita akan menyaksikan lautan manusia berpusu-pusu hadir. Hal ini menunjukkan bahawa betapa minatnya masyarakat Kelantan kepada dunia sastera, namun mengapa sambutan sebegitu tidak kelihatan dalam kalangan pejuang sastera di Kelantan?
Selama bertahun-tahun kelompok sastera Kelantan menjadi satu kelompok eksklusif yang tidak boleh disentuh (untouchables). Hal ini menyebabkan masyarakat tidak mengambil kisah siapa nama pejuang-pejuang sastera Kelantan walaupun karya mereka sering dibaca di akhbar dan buku. Pejuang-pejuang sastera umpama watak lagenda yang disebut-sebut dalam kisah epik klasik, jauh dan tak mungkin tercapai.
Akibatnya masyarakat kita menjauhkan diri daripada mengenali sastera, apatah lagi mempelajari dan mencintai sastera. Sedangkan sastera merupakan tunjang kepada seni dan budaya. Sebut saja mana-mana cabang seni dan budaya pasti ada bibit-bibit sastera padanya, termasuklah keindahan bahasa dan keluhuran budi. Jika kita meninggalkan sastera, kita sebenarnya telah kehilangan suara untuk seni dan budaya kita. Persembahan makyung, dikir barat, permainan gasing dan lain-lain amat memerlukan sastera sebagai medium perantara untuk tujuan promosi.
Penekanan sastera dalam masyarakat Kelantan dapat mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu dan menjadikan komunikasi lebih berkesan. Rakyat Kelantan boleh diajak untuk bertutur dengan bahasa yang lebih kemas dan teratur, bahkan seni dan budaya Kelantan dapat diterangkan dengan lebih sistematik. Hal seperti ini tidak boleh diserahkan kepada orang lain kerana hanya jauhari mengenal manikam. Hanya pejuang seni dan budaya mampu menjiwai seni dan budaya mereka sendiri.
Hujah penulis begitu selari dengan tulisan Sasterawan Negara, Rahman Shaari dalam bukunya yang bertajuk Bahasa dan Sastera dalam Pendidikan. Bab “Gaya dan Tingkat Kekomunikatifan Puisi” menghuraikan tentang beberapa unsur yang boleh dimasukkan untuk meningkatkan tingkat kekomunikatifan puisi. Seorang penyair yang cemerlang dapat menyampaikan sebuah puisi dengan tingkat kekomunikatifan baik seiring mengekalkan estetika puisi tersebut. Tidak hairanlah jika Sasterawan Negeri Kelantan dan juga penerima S.E.A. Write Award 2021, Rosli K. Matari sering menyebut bahawa penyair ialah seorang yang genius. Penyair itu merupakan pakar seni komunikasi.
Kesimpulannya, sastera boleh dijadikan medium utama untuk mengembangkan aktiviti seni dan budaya di negeri Kelantan sekali gus merancakkan sosioekonomi negeri Cik Siti Wan Kembang. Sebahagian rakyat Kelantan boleh menjadikan seni dan budaya sebagai mata pencarian keluarga. Penglibatan pejuang-pejuang sastera boleh membantu masyarakat menjadi lebih celik sastera, menjamin kesinambungan seni dan budaya untuk generasi akan datang.