INTA terbangun daripada tidur apabila sistem pendengarannya mendengar bunyi salakan anjing di luar.
‘Kenapa pula si Bumbum ini?’ hatinya berdetik.
Pada mulanya, Inta tidak mengendahkan perkara itu tetapi semakin lama, salakan si Bumbum itu mengganggu tidurnya. Dia bangkit dari katil, keluar dari bilik lalu menuju ke ruang tamu. Sebelum dia membuka pintu, dia menyelak langsir untuk melihat apa-apa yang berada di luar.
Inta melihat Bumbum sedang menyalak ke arah sesuatu tetapi dia tidak dapat melihat susuk yang berada di situ. Memikirkan ada kemungkinan penceroboh di kawasan rumahnya, dia mencapai besi yang tertidur di tepi pintu lalu perlahan-lahan membuka pintunya.
Sebaik sahaja pintu terbuka, Bumbum segera masuk ke dalam rumah lalu berlari masuk ke dalam bilik Inta. Inta mengasah pandangan; meraba keseluruhan tubuh persekitaran untuk mencari kelibat yang disalak oleh Bumbum tadi. Tetapi, tiada sesiapa pun di luar.
Namun, dari kejauhan dia melihat sesuatu yang berkelip-kelip dari arah sawah padi miliknya. Kerutan melipat kulit dahinya. Dia masuk semula ke rumah dan mencapai lampu suluh lalu membuai langkah menuju ke sawah.
Setibanya di lokasi, kejutan menabuh emosi Inta. Dia terkesima. Terdapat satu kawasan berbentuk bulat, bersaiz anggaran diameter 10 meter, berada di hadapannya. Bulatan itu membentuk corak-corak aneh.
‘Fenomena lingkaran tanaman!’ Hatinya berdetak kuat.
Kebiasaannya, fenomena lingkaran tanaman ini acap kali dikaitkan oleh masyarakat dengan kehadiran makhluk asing.
Penglihatan Inta menangkap satu imej berbentuk bulat, bersaiz sebiji bola sepak, berada di tengah-tengah kawasan lingkaran itu.
‘Apakah benda tu?’ hatinya berbisik.
Tidak semena-mena, Inta meremang. Namun, perasaan ingin tahu menggelegak dalam belanga emosinya, lalu kakinya digerakkan menghampiri benda yang berkerlip itu.
Inta menunduk lalu mengambil benda tersebut. Rasa dingin mengucup telapak tangannya apabila dia menyentuh benda itu. Pada pandangan Inta, benda itu seakan-akan bola kristal yang digunakan oleh ahli sihir.
“Bola apa ini?” soalnya kepada dirinya sendiri.
Dia memerhatikan bola itu. Terdapat kabus-kabus hitam di dalamnya. Tidak semena-mena, sepasang mata ular menatap matanya. Inta terperanjat lalu melepaskan bola itu. Anehnya, bola itu tidak terjatuh. Bahkan, bola itu terapung-apung.
Tanpa membuang masa, Inta melangkah seribu. Tetapi, malang baginya saat kakinya melangkah, kabus yang berbentuk ular hitam keluar dari bola itu lalu melilit kakinya. Inta menjerit tetapi suaranya tenggelam dek kesuk-kesik yang terhasil daripada bunyi kabus hitam itu.
Kabus hitam itu membungkus tubuhnya. Inta terapung-apung di udara. Matanya terbeliak dan air matanya mengalir dek ketakutan yang merantai emosi. Beberapa saat terapung-apung, kabus hitam itu berpusu-pusu masuk ke dalam setiap rongga pada wajahnya. Tersentak-sentak tangan serta kaki apabila tubuhnya diceroboh kabus hitam itu. Kemudian, tubuhnya jatuh namun dia sempat mendarat di tanah dengan posisi menyerongkong.
Inta bangkit lalu menggeliat. Dia menarik nafas lalu menghembuskan semula. Dia mencelikkan mata. Purnama menyimbah wajahnya dengan cahaya, memperlihatkan sepasang mata. Mata ular.
Dia ialah Kabular.
*****
Berpuluh-puluh bebola api meluru ke arahnya. Makhluk aneh itu terus-terusan menyasarkan bebola api itu sehingga remaja itu tergopoh-gapah mengelak serangan. Tanpa berpaling, dia berlari dengan pantas. Sesekali dia meloncat untuk mengelak bebola itu agar tidak menyentuh kakinya. Sesekali dia membuat balik kuang di udara apabila terdapat beberapa bebola api itu hampir-hampir mengenai tubuhnya.
“Ertas, tunduk!” Asara menjerit, memberi amaran kepada sahabatnya itu apabila dia melihat sebiji bebola api, nyaris mengenai kepalanya.
Ertas lantas menunduk untuk mengelak serangan itu namun tidak dapat mengekalkan kestabilan tubuhnya; jatuh lalu berguling di tanah. Namun, dia bergegas bangkit sebelum bebola api yang lain, membakar tubuhnya. Seumpama kanggaru, dia melompat tinggi lalu mendarat ke tanah; segera bersembunyi di balik bongkahan batu yang besar. Dia tercungap-cungap merampas oksigen di udara.
Makhluk aneh itu meraung tatkala melihat segala serangannya tidak mengenai sasaran. Bongkahan batu yang berhampiran dengan makhluk aneh itu, hancur berkecai dek hempasan tentakelnya.
Asara memasang kuda-kuda lalu menggerakkan tangannya, membuat gerakan bulatan di udara. Sekonyong-konyong, muncul lingkaran berkembar yang memancarkan cahaya keemasan di hadapannya. Dalam lingkaran itu, terdapat huruf-huruf yang berapungan. Salah satu telapak tangannya menyentuh pusat lingkaran itu lalu dengan kepantasan yang menakjubkan, huruf-huruf itu meluru ke arah makhluk aneh yang sedang mencerlung ke arahnya.
Makhluk itu menepis huruf-huruf yang menerpa dengan tentakel. Ada yang dapat dikesampingkan olehnya. Ada juga huruf yang menjamah tubuh. Makhluk itu menjerit kesakitan kala huruf-huruf yang tajam seumpama mata pedang itu, meninggalkan luka pada bahagian-bahagian tubuhnya. Makhluk itu lantas menepuk tentakelnya ke tanah, dengan sekuat tenaga.
Serentak itu, badai melanda lalu mengesampingkan kesemua huruf-huruf tersebut. Asara turut ditampar oleh bayu yang mengganas itu lalu tubuhnya melayang, melanggar tebing di belakangnya.
Makhluk aneh itu memekik kegembiraan.
Tubuhnya persis seekor katak puru. Kulit makhluk itu tebal serta menggerutu. Matanya terjojol. Barisan giginya pula, tajam seumpama mata-mata gergaji. Ia mempunyai empat tentakel seperti tentakel cumi-cumi.
Tiba-tiba, makhluk itu memekik kesakitan tatkala tubuhnya terkena pancaran laser yang keluar dari sepasang mata dan kedua-dua telapak tangan seorang remaja perempuan. Makhluk itu melibas remaja itu dengan ekornya. Remaja perempuan itu berjaya mengelak ekor makhluk itu daripada mengenai tubuhnya namun tidak dapat mengelak serangan tentakel makhluk tersebut. Remaja perempuan itu terpelanting lalu tubuhnya melanggar bongkahan batu.
“Rasel!” Ertas memekik kala melihat makhluk itu menghampiri Rasel.
Tanpa membuang masa, Ertas mewujudkan beratus-ratus kapal terbang kertas lalu melancarkan serangan. Kapal-kapal terbang kertas itu terbang dengan kepantasan maha menakjubkan ke arah makhluk itu.
Apabila melihat makhluk itu terburu-buru menepis kapal-kapal terbang kertas itu, Ertas melayang menghampiri Rasel lalu membawanya ke tempat Asara.
“Bagaimanakah kita mahu menewaskan makhluk ini, Asara?” tanya Ertas sambil membantu Asara untuk bangkit. Cemas melumuri wajahnya.
“Makhluk ini agak kuat. Kita tidak dapat menewaskannya jika kita tidak menyerangnya bersama-sama.” Asara melayangkan jawapan.
Asara merenjiskan otaknya dengan embun-embun strategi. Kemudian, dia berbincang bersama-sama sahabat-sahabatnya itu berkenaan dengan strategi yang terlintas dalam fikirannya. Ertas dan Rasel mengangguk apabila mendengar cadangan daripada Asara.
Jemari kejutan menyentap jantung mereka bertiga tatkala makhluk itu tidak semena-mena menyerang. Makhluk itu menumbuk tanah dengan tentakelnya sehingga merekah. Ketiga-tiga mereka meloncat untuk menjauhi kawasan itu.
Ertas mewujudkan sehelai kertas di udara lalu melipat-lipatkan kertas tersebut dengan menggunakan kuasa ajaib sehingga membentuk seekor labah-labah. Dia menjentik jarinya lalu origami itu berubah menjadi seekor labah-labah kertas gergasi. Labah-labah kertas gergasi itu menindih tubuh makhluk aneh itu lalu mencengkamnya.
Sementara itu, daripada telapak tangan Asara, keluar huruf-huruf yang bersambung-sambung membentuk beberapa utas tali huruf yang panjang, membelit tubuh makhluk tersebut. Labah-labah kertas itu meloncat, kemudian berubah menjadi sebilah pedang kertas besar yang tajam.
“Sekarang, Rasel!” ujar Asara.
Rasel melayang menghampiri makhluk itu lalu memancarkan laser yang tercetus daripada tubuhnya. Laser yang dipancarkan oleh Rasel, membakar kulit makhluk itu. Raungan makhluk itu berkumandang di sekitar planet Marikh.
Makhluk itu meronta-ronta namun belitan tali-tali yang terbentuk daripada sambungan huruf-huruf itu terlalu kuat untuk diputuskan olehnya.
“Cepat, aku tak akan dapat bertahan lama.” kata Rasel.
Sejurus itu, Asara membenamkan tali huruf itu ke tanah, kemudian dia melompat lalu mengangguk ke arah Ertas. Asara memunculkan satu huruf ‘P’ gergasi. Kemudian, Ertas dan Asara melancarkan serangan serangan serentak. Pedang kertas dan huruf ‘P’ itu, menetak makhluk itu. Akhirnya, darah hijau pekat, bersemburan, membasahi tanah planet Marikh.
Asara, Ertas dan Rasel mendarat di tanah, terengah-engah. Mereka memandang jasad makhluk yang telah mati itu. Tubuh makhluk itu, perlahan-lahan merekah lalu menjadi pasir.
Selesai satu. Lokasi seterusnya ialah …
Bumi.
*****
Kapal angkasa mereka menyusuri laluan di Sistem Suria untuk ke Bumi. Rupa-rupanya, makhluk itu telah ke sana. Kehadiran makhluk itu akan mendatangkan musibah kepada penduduk Bumi. Sebagai pahlawan yang menjaga Bimasakti, mereka bertiga ditugaskan untuk menangkap serta menewaskan makhluk yang boleh mendatangkan ancaman.
“Kita beberapa hari telah melepasi Marikh. Jarak dari Marikh ke Bumi pada masa ini adalah 10 juta kilometer. Adakah kita perlu meningkatkan kelajuan?” ujar Ertas.
“Berapakah kelajuan kita sekarang?” Asara mengajukan pertanyaan kepada Ertas.
“80 ribu kilometer per jam.”
“Tingkatkan kelajuan kepada 150 ribu km per jam. Kita akan sampai ke Bumi dalam anggaran tujuh hari,” kata Asara.
“Dalam tujuh hari, pelbagai perkara akan berlaku, Asara,” ucap Rasel.
“Aku tahu, Rasel. Kita berdoa agar penduduk Bumi tidak ditimpa kesengsaraan. Kapal angkasa ini tidak boleh menyaingi kecepatan cahaya. 150 ribu kilometer per jam, itu pun sudah maksimum. Kelajuan yang melebihi itu, akan menyebabkan masalah teknikal pada kapal angkasa kita dan boleh mengakibatkan letupan.”
Suasana menjadi hening.
“Bukankah di Bumi, turut mempunyai penjaga galaksi? Siapa namanya?” tanya Ertas.
*****
Kabular yang bersarungkan jasad Inta, terapung-apung di udara sambil mendepangkan tangannya. Dia merakah tatkala menyaksikan penduduk di daerah Suwasaki bertempiaran lari kala gunung berapi Muakalang melepaskan laharnya. Ada penduduk yang tidak bernasib baik, tertimbus ke dalam lahar.
Jiwa-jiwa manusia yang terkorban, menjadi sumber tenaga kepada Kabular. Matanya memancarkan cahaya kemerahan. Pada kedua-dua telapak tangannya, muncul satu pusaran berwarna hitam. Sejurus kemudian, keluar dari tanah, kabus berwarna hijau yang mempunyai bentuk tubuh manusia, meluru ke arah Kabular.
Kabus-kabus hijau itu berpusing-pusing mengelilingi tubuh Kabular. Jiwa-jiwa manusia itu menyusup masuk ke dalam tubuh Kabular melalui mulut yang ternganga. Sekonyong-konyong, pusaran asap hitam itu menjadi besar. Kabular, berdekah-dekah ketawa. Penduduk Suwasaki, menjerit ketakutan.
Tiba-tiba, beberapa batang ranting pokok yang runcing menerpa pantas ke arah Kabular. Ranting-ranting pokok itu ditepis oleh Kabular dengan memanipulasikan kabus-kabus hitam yang membentuk tangan berjari runcing. Patah-mematah ranting-ranting tersebut. Kemudian, muncul sulur-sulur paut daripada serpihan ranting itu, membelit pergelangan tangan Kabular. Sekelip mata, Kabular telah dibawa ke tempat lain. Ke kawasan yang tiada manusia.
Belum sempat Kabular mahu bertindak, muncul akar-akar pokok dari dalam tanah, berselirat membentuk buku lima, menerpa ke arah Kabular. Kabular pantas mengayun tangan kanannya lalu mewujudkan dinding daripada kabus-kabus hitam untuk menghalang tumbukan itu. Serentak itu juga, kabus-kabus hitam itu membentuk buku lima … POM! Satu dentuman nyaring kedengaran ketika kedua-duanya bertembung -berkecai; menghamburkan debu.
Serpihan-serpihan akar yang bercampur debu itu berterbangan ditiup angin. Setelah debu itu agak menipis, kelihatan seorang lelaki bertubuh sasa, terapung-apung di udara. Susuk itu dan Kabular, saling menghunus pandangan.
Kabular terkakah-kakah. Kemudian, dia berkata, “Ohon. Sahabat lamaku. Lama kita tidak bersua.”
Kata-kata tersangkut di rengkung Ohon. Dia hanya merenung ke arah Kabular.
“Adakah engkau merindui aku, Ohon?”
Masih membisu, Ohon bertindak melancarkan serangan.
Beberapa batang pokok, meluru pantas keluar dari tanah, menuju ke arah Kabular. Dahan-dahan membentuk tangan, ingin menampar tubuh Kabular yang lincah mengelak seumpama belut diketil ekor. Kabular memangkas dahan-dahan tersebut dengan pedang yang terhasil daripada kabus hitam. Berguguran sisa-sisa pokok itu di tanah. Namun, dek tersalah hitungan, salah satu pokok berjaya melibas tubuhnya lalu Kabular tercampak ke tanah.
Tersentuh sahaja tubuh Kabular di tanah, akar pokok keluar dari tanah lalu segera membelit tubuhnya persis seekor ular sawa membelit mangsa.
Kabular meraung kesakitan. Prak! Prak! Terdengar bunyi tulang, patah-mematah. Kabular meraung kali terakhir apabila akar pokok itu mengetatkan belitan. Matanya terbuntang.
… Kabular putus nyawa.
Ohon yang masih terapung-apung di udara, merenung jasad Kabular yang tidak berkutik.
“Hentikan sandiwara engkau, Kabular. Lakonan engkau itu, buruk!”
Sekonyong-konyong, bahu Kabular, terhinggut-hinggut kemudian terletus tawa berdekah-dekah.
“Engkau ini tidak dapat dibawa berguraulah, Ohon. Aku baru sahaja ingin menunjukkan bakat lakonan aku kepada engkau. Kaku ya, lakonan aku?” ujar Kabular lalu merakah.
Kabus hitam menyelubungi tubuh. Sekelip mata, Kabular melepaskan dirinya daripada belitan akar pokok itu. Pandangannya tajam merenung ke arah Ohon. Tidak semena-mena, kabus-kabus hitam berbentuk bebola api hitam, meluru pantas ke arah Ohon. Ohon yang tidak menjangka serangan yang dilancarkan, mengelak serangan-serangan tersebut. Dia tahu, bebola api hitam itu bisa mencederakan dirinya jika terkena tubuh. Di udara, dia mewujudkan secara ajaib, perisai dan pedang yang terhasil daripada cahaya lalu menetak serta menangkis bebola hitam tersebut. Berpusu-pusu bebola api itu meluru ke arahnya, namun dapat dihancurkan serta dikesampingkan oleh Ohon.
Terlalu asyik meletakkan fokus terhadap bebola-bebola api itu, Ohon tidak menyedari Kabular berada di belakangnya. Ohon berpaling. Kabular tersenyum sinis lalu menendang Ohon. Tendangan yang dilancarkan oleh Kabular itu menyebabkan Ohon, terhempas ke tanah. Merekah tanah tersebut dek impak yang terlalu kuat. Ohon muntah darah. Perisai dan pedang cahayanya terlepas dari tangan lalu berkecai seumpama kunang-kunang.
Kemudian, beberapa laras serampang mata tiga yang terbentuk daripada kabus hitam, laju meluncur di udara; sasarannya tepat ke arah Ohon yang sedang terbaring di tanah. Tanpa membuang masa, Ohon bingkas. Salah satu serampang tepat mengenai tempatnya terbaring sebentar tadi.
Laksana nyamuk menghindar tepukan, begitulah Ohon. Sedaya-upaya mengelak serampang mata tiga tersebut yang dilancarkan kepadanya. Tidak semena-mena, muncul beratus-ratus shuriken yang terbentuk daripada kabus-kabus hitam, meluru menyerang Ohon. Tanpa mahu memuntahkan masa, Ohon segera mewujudkan pohon-pohon yang menjadi perisai, menghalang serangan shuriken terhadapnya. Dia terpaksa bertahan daripada menyerang. Namun, ratusan shuriken itu, ada juga yang melukai tubuhnya.
Selain serangan shuriken, Kabular pula melancarkan tumbukan dan tendangan bertalu-talu ke arah Ohon, yang turut membalas. Serangan itu mampu dielak dan ditangkis oleh kedua-duanya. Mereka berdua itu, bak bertemu teras dengan beliung.
Pada tangan Kabular, muncul secara ajaib selaras pedang tajam yang diselubungi kabus hitam lalu dihunus ke arah Ohon. Ohon membuat balik kuang di udara lalu memijak pedang itu sebelum meloncat; menendang kepala Kabular; pantas menjunam jatuh ke tanah. Kepalanya berpinar-pinar.
Belum sempat Kabular mahu bangkit, ratusan ranting-ranting kayu berbentuk keris menyerangnya. Matanya terbelalak. Suara dentuman senjata itu, memekakkan telinga, menghamburkan debu-debu. Ohon terbang turun. Terengah-engah. Nafasnya bertempiaran lari. Ohon kekal berpijak di situ. Detik merentap detik, tiada apa-apa tindakan daripada Kabular.
‘Adakah serangan itu berhasil?’ Ohon, ragu-ragu bermonolog.
Dek detik-detik yang berlalu, Ohon mengambil keputusan untuk menghampiri kawasan itu. Beberapa kaki jarak Ohon dengan jasad Kabular yang sedang terlentang, tidak semena-mena, keluar beberapa ekor ular sawa dari mulut Kabular, meluru pantas lalu menggigit kedua-dua pergelangan tangan serta kaki dan leher Ohon. Ohon, terkunci-gerak.
Kabular bangkit sembari merakah; mendekati Ohon.
“Ohon … Ohon. Engkau ni sudah renta. Sudah-sudahlah ingin menjadi wira.”
Ohon meronta-ronta, cuba melepaskan diri daripada gigitan ular-ular itu. Kemudian, Kabular menjentik jarinya, muncullah seekor beruang yang diselubungi kabus hitam di belakang Ohon lalu memeluknya erat. Kemudian, beruang itu perlahan-lahan menjadi batu, memerangkap Ohon. Ular-ular itu pula, lenyap dalam satu letusan.
Kabular berhadapan dengan Ohon.
“Kali ini, aku tak akan biarkan engkau terlepas, Ohon. Engkau ini sangat menyusahkan aku!” Kabular memegang kepala Ohon.
Anak matanya yang hitam, bertukar warna kesumba. Serentak itu juga, jalinan berwarna keperak-perakan keluar dari tujuh rongga pada kepala Ohon, masuk ke dalam mulut Kabular yang segera diteguk olehnya. Ohon berada dalam kesakitan apabila tenaganya disedut keluar. Tubuh sasanya, perlahan-lahan menyusut.
Sekonyong-konyong, muncul satu abjad ‘J’ maha besar di udara, menyerang Kabular yang segera meloncat. Terputuslah jalinan pengeluaran tenaga tersebut. Beruang batu itu pun pecah.
Ohon terundur beberapa langkah sebelum disambut oleh Rasel. Ohon tidak berkutik!
Sementara itu, Asara menyerang Kabular dengan ratusan abjad-abjad yang tajamnya seumpama selumbar buluh. Ular-ular yang dimunculkan oleh Kabular, terkerat-kerat kepada beberapa bahagian dek ketajaman abjad-abjad yang mengenai tubuhnya. Ertas pula menyerang dengan ribuan kertas-kertas berbentuk segi tiga yang runcing seumpama anak panah, menembusi tubuh Kabular; melukai. Kabular berasa geram lalu meraung! Terlihat bayangan buaya gergasi yang bertempik, membalut tubuh Kabular; mewujudkan angin kencang.
Raungan buaya itu memekakkan telinga. Mereka berempat berlindung di belakang tembok kertas dan tempok abjad yang diwujudkan oleh Ertas dan Asara. Buaya itu melibaskan ekornya ke arah tembok tersebut - hancur! Mereka meloncat, menjauhi. Rasel mendukung Ohon lalu meletakkan wira tua itu di kawasan yang agak jauh dari kawasan pertarungan kemudian berlalu untuk membantu sahabat-sahabatnya.
Masa berlalu. Pertempuran berlanjutan. Kabular, bukan calang-calang. Ketiga-tiga mereka berganding bahu untuk melemahkannya. Rasel menembak cahaya laser yang terpancar daripada telapak tangannya ke arah Kabular (sarungan buaya gergasi); Asara melancarkan puluhan huruf ‘I’ gergasi manakala Ertas mewujudkan ratusan Burung Belatuk daripada kertas, menyerang sarungan buaya tersebut. Namun, serangan itu tidak dapat melemahkan Kabular atau memecahkan sarungan itu. Bahkan, ketiga-tiga mereka dilibas dengan ekor buaya itu; masing-masing terhempas ke tebing dan ada yang terjatuh di tanah.
Asara muntah darah.
“Dia terlalu kuat!” kata Rasel lalu terbatuk-batuk, memuntahkan darah.
Kabular ketawa. “Kamu fikir, kamu semua dapat kalahkan aku dengan kuasa kamu yang tidak seberapa itu? Jangan bermimpi. Rasakan ini!”
Sarungan buaya itu meloncat lalu ingin menghempap Rasel.
“Rasel!” jerit teman-temannya.
Kaget. Rasel lantas menutup wajahnya. Namun … Rasel yang mengerekot di tanah, berasa hairan apabila kaki buaya itu tidak menghempapnya. Dia menurunkan tangannya, hanya beberapa jengkal sahaja dari tubuhnya. Dia segera berguling, menjauhi. Dia melihat makhluk pohon sedang memeluk erat sarungan buaya tersebut lalu menghempaskannya di tanah. Ohon! Ohon telah membantunya!
“Cepat! Cepat serang dia! Kita perlu pecahkan sarungan buaya itu.” Ohon menghampiri mereka. Dia termengah-mengah disebabkan tenaganya disedut oleh Kabular tadi, masih belum sembuh sepenuhnya. Ketiga-tiga mereka bangkit.
Asara mewujudkan beberapa abjad berbentuk ‘A’ gergasi untuk mengunci pergerakan Kabular. Rasel merapatkan kedua-dua tangannya lalu melayang ke udara. Dia menghasilkan lingkaran laser lalu menyerang Kabular. Ertas pula, bertindak bersama-sama dengan makhluk pohon yang diwujudkan oleh Ohon sebentar tadi, mewujudkan segerombolan badak sumbu daripada kertas.
POM!
Serangan bertalu-talu itu berjaya menghancurkan pertahanan Kabular. Sarungan buaya itu musnah, berkecai! Mengambil peluang itu, mereka berempat melancarkan serangan sedayanya. Kabular tidak sempat untuk bertindak. Dia cedera parah. Serangan secara mendadak itu, menyebabkan dia hilang keupayaan untuk membalas balik. Kabular memekik. Matanya terbuntang. Tubuhnya kepanasan dek cahaya laser yang membakar kulitnya; tubuhnya ditembusi paruh-paruh burung belatuk yang tajam, mematuknya tanpa henti; dan abjad-abjad yang tajam itu melukai dirinya. Makhluk pohon itu pula mengangkat akar banirnya lalu menghempaskan ke tubuh Kabular. Jeritan Kabular bergema di kawasan itu - terakhir.
Debu-debu di kawasan itu menghalang pemandangan sebelum angin mengelap. Kabular putus nyawa. Mulutnya ternganga luas. Matanya terbelalak. Dia putus umur dalam keadaan kesakitan.
Ohon terjelepok di tanah. Lega. Sungguh-sungguh, dia lega.
Remaja-remaja itu mendekatinya. Ohon mengucapkan terima kasih kepada mereka bertiga atas bantuan yang telah dihulurkan. Mujurlah mereka sempat tiba. Ertas memimpin Ohon.
Mereka berlalu pergi. Tanpa menoleh ke belakang.