WAKTU itu, masa seakan terhenti. Hati pula terasa disiat berkali-kali. Tangisan dan esakan tidak berhenti dari siang tadi. Air lebat yang turun dari awan yang gelap seakan-akan memahami lagi dukacita berparut daripada hati sang keluarga. Bau tanah pekat yang kuat akibat hujan, menambah lagi sakit pilu di jiwa.
Alif terpaku. Hanya pegun di situ. Merenung jenazah yang perlahan-lahan dimasukkan ke tanah.
Wajah itu.
Wajah yang dahulunya dihiasi senyuman indah dan tawa yang manja, kini hanya pucat tanpa serinya.
Hari ini, Alif hilang separa dunianya. Jiwanya hampir mati.
Mulai hari ini … tiada lagi yang bakal melayan gurauan senda kasarnya. Tiada lagi tempat yang mahu mendengar segala adu domba tentang kehidupan sehariannya.
Tiada lagi … .
Semuanya sudah hilang. Lenyap.
Afiyah sudah tidak wujud lagi di bumi. Kini, hanya menunggu Alif di sebalik alam sana.
Afiyah, kakak kesayangannya … sudah mati … .
***
Kanopi putih tertancap di luar rumah. Para jemaah mula berbondong-bondong masuk ke dalam. Kemudian, bacaan tahlil dibacakan oleh tetamu lelaki yang hadir, yang diketuai oleh tok imam. Kaum wanita mula sibuk menghidangkan makanan.
Alif juga di situ, tetapi hanya merenung kosong karpet rumahnya. Bacaan-bacaan itu dibaca kuat, namun suara para wanita yang berada di dapur lebih kuat menyentap telinganya.
“Anak perempuannya mati bunuh diri!”
“Ha!? Kau biar betul?”
“Bukan ke bunuh diri tu berdosa besar?”
“Bukan setakat dosa besar, humban masuk neraka terus! Aku pun tak fahamlah kenapa nak buat kenduri tahlil bagai … buat habis duit! Dah sah-sah tempat dia layak di neraka!”
“lip …”
“Amboi kau … mulut! Aku dengar cerita yang dia memang er … ada sakit mental sikit … Lepas tu, aku ada dengar yang sebelum dia meninggal, dia keguguran! Kesian jugalah arwah …”
“Alif …”
“Tapi, itu tetap bukan tiket dia untuk buat benda terkutuk tu! Dosa tetap dosa! Dasar iman tak kuat! Mahu salahkan takdir Tuhan sedangkan diri sendiri tak didik!”
“Alif? Lip! Oi, kau dengar tak?”
“Ha? Oh, ya? Kenapa?”
Alif tersentak daripada lamunannya dan menoleh ke arah suara yang memanggil. Kelihatan sahabat baiknya, Badrul sedang duduk di sebelahnya. Tanpa sedar, bacaan tahlil sudah selesai dan kini para jemaah sudah bergerak keluar.
“Kau okey tak ni, Lip? Nak aku bawakan air atau apa-apa ke?” soal Badrul. Risau benar dia melihat keadaan Alif. Dipeluk bahu rakannya itu, mahu memberikan semangat.
Alif menggeleng. Tangan Badrul yang memeluk bahunya, ditepis perlahan. “Tak ada apa-apa. Aku okey saja,” katanya. “Bad, jom ikut aku pergi bilik kejap. Ada benda aku nak tanya,” sambung Alif seraya berdiri menuju ke bilik tidurnya.
Badrul hanya membuntuti dari belakang.
Setelah memastikan Badrul masuk dan tiada manusia yang berdekatan, Alif terus kunci rapat pintu biliknya. Dia bersila di atas lantai yang berdekatan dengan katilnya, menghadap Badrul yang duduk di atas kerusi belajar.
Keadaan menjadi hening seketika. Entahlah berapa lama begitu. Namun, Badrul hanya mengerti. Dia tahu kawannya itu memerlukan dia pada saat pahit ini.
Alif yang sedang bersila, meraup perlahan mukanya. Dada diurut perlahan bersama selawat. Hatinya tidak berhenti berdoa. Nafas dihela berat sebelum dia memandang Badrul.
“Bad,”
“Ya, Lip.”
Sunyi.
“Bad, aku nak tanya,”
“Boleh, Lip. Tanya saja,”
Sunyi.
“B … Bad …”
“Jangan risau. Pelan-pelan. Aku ada di sini. Aku teman kau,” pujuk Badrul bersama secalit senyuman. Separuh hiba hatinya melihat Alif begitu. Pasti apa yang terjadi ini masih buatkan dia terkejut. Siapa sangka kakak kesayangannya bakal pergi dengan cara begitu?
Alif menggeleng laju. Kedua-dua belah pipinya ditampar kuat. Terkebil-kebil dia cuba menyedarkan diri. “Bad, kau … budak sekolah agama, kan?”
“Boleh dikatakanlah walaupun aku tak berapa nak agama sangat,” gurau Badrul, mahu menceriakan suasana.
Alif tergelak kecil apabila mendengar jawapan itu. Tenang terus hati Si Badrul.
Alif genggam dan buka tangannya berkali-kali. Air liur ditelan kelat. Dia berdeham seketika. “Aku … Aku nak tanya pasal kakak aku …”
Alif cuba utarakan soalan yang terbuku dalam hati, tetapi suaranya seakan-akan tersekat di kerongkong. Berat hatinya mahu bertanya, tetapi jikalau dibiarkan, dapat dia rasakan ketakutan benar-benar bakal membelenggu dirinya.
“B … Bad …” Alif tahan pilu berat di jiwanya. Dengan nafas yang ada, dia memberanikan diri untuk menggetarkan kotak suaranya.
“B … Betul ke kakak aku masuk neraka nanti?”
“Astaghfirullah. Apa kau cakap ni, Alif?”
“Tak! Tak! Kau dengar dulu … Sabar … Kejap … Dengar dulu, Bad … Kejap, Bad …” Tersekat-sekat suara Alif. Seluruh tubuhnya menjadi dingin. Ada sedikit esakan sedih keluar dari setiap katanya. Nafas ditarik sesak.
Alif tepuk dadanya berkali-kali. “Aku dengar … Aku dengar mak cik-mak cik di luar kata bunuh diri tu dosa besar. Masuk neraka … Dia orang kata kakak aku akan kena seksa … .”
Kata-kata Alif terhenti. Terkumat-kamit dia mahu bersuara, namun hanya esakan kecil yang menjelma. Sakit. Dia rasa sakit. Setiap kali dia mengeluarkan kata, setiap itulah hatinya seperti disiat dahsyat.
“B … Bad, tolong aku, Bad! Aku takut! Aku kasihankan kakak aku! Aku tak nak dia terseksa!” Kalah dengan perasaan sendiri, akhirnya tangisan duka Alif meletus. Kuat dia melolong memanggil nama kakaknya untuk kembali.
“A … Aku tak nak dia masuk neraka! Aku tak nak Allah marah dia! Aku tak nak malaikat pukul dia! Tolong, Bad! Kakak aku dah cukup terseksa dalam dunia ni. Aku dah tak nak dia terseksa di alam sana lagi! Kesian dia, Bad. Kena pukul nanti! Kena bakar! Sakit dia nanti! Kakak aku baik, Bad! Dia solat! Dia baca al-Quran! Dia tolong ibu ayah aku!”
Semakin lebat air mata jatuh di pipinya. Teresak-esak dia bersuara. Sampai tersedak. Nafasnya seperti jauh. Kegerunan membelenggu tatkala memorinya mengingati setiap kata mak cik-mak cik di luar tadi. Tidak sampai hati dia melihat keluarga kesayangannya bakal dihempap dan dibakar. Rasa mahu pengsan saja apabila mendengarnya.
“Ada tak apa-apa amalan yang boleh buat aku tolong kakak aku? Aku buat! Aku akan buat! Kakak aku, Bad …! Kakak aku!!”
“Allahu akbar! Tenang, Alif! Tenang!” Tubuh kejung Alif itu terus dipeluk Badrul. Dipujuk temannya itu untuk bertenang. “Jangan macam tu, Alif. Jangan dengar apa yang mak cik-mak cik tu cakap. Kita tak tahu apa yang jadi dengan kakak kau … .”
Hancur hati Badrul melihat Alif remuk begini. Hampir terkeluar air mata jantannya. Lantas dia tenangkan Alif. “Urusan setelah mati, Allah saja yang tahu. Kita tak boleh menghukum. Kita tak ada di tempat kakak kau. Jangan sangka buruk. Jangan bersangka buruk dengan kakak kau. Hiasi kuburnya dengan al-Fatihah. Bacakan al-Quran untuknya. Buat apa yang kita mampu untuk memudahkan kakak kau di sana, Alif.”
“Teman dia, Alif. Teman kakak kau dengan doa. Jangan putus asa. Insya-Allah, mungkin dia ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman … .”
Aku pernah sekali bergurau dengan Afiyah.
“Kak, kalau aku kahwin nanti, aku nak jadi macam ayah. Aku nak suruh-suruh bini aku …”
PAP!
“Woi, kau baik-baik sikit! Siapa ajar kau cakap macam tu? Kau tak kesian ke dengan mak?”
Afiyah pukul aku. Kuat. Mukanya juga serius tidak seperti biasa. Suaranya meledak kuat dalam geram dan ketakutan.
Aku fikir mungkin kerana ada satu lagi nyawa yang berada dalam tubuhnya. Tapi, sangkaanku jauh meleset.
Rupa-rupanya, itulah salah satu isyarat yang aku tak sedar.
Isyarat daripada Afiyah meminta pertolongan untuk diselamatkan.
***
Kraak … Tercelik mata Alif apabila mendengar pintu biliknya dibuka. Kelihatan Afif, adik bongsunya melangkah masuk.
“Aku nak pergi rumah Abang Yusdi. Nak ambil barang-barang kakak. Kau nak ikut tak?”
Terus menegak tubuh Alif berdiri. Laju dia mengangguk. “Kejap, aku tukar seluar.”
Setelah menyalin pakaian, terus mereka bergegas ke rumah Yusdi, suami kepada kakak mereka. Sudah hampir tiga tahun mereka bersama. Berkahwin atas dasar cinta. Awalnya, Alif enggan mahu melepaskan Afiyah kerana sakitnya. Takut lelaki itu tidak akan mampu menjaga kakak yang sudah lama dijaganya. Namun, apabila melihat kesungguhan Yusdi dan mendengar pujukan Afiyah, Alif hanya bersetuju dengan hati yang separa rela. Lagipun, tiada haknya untuk mengawal kehidupan Afiyah. Kalau itu yang membuatkan Afiyah bahagia, Alif juga patut tumpang rasa gembira.
“Bilik ini Kak Fiyah selalu guna. Bawalah apa yang kau orang mahu. Abang sudah ambil apa yang abang mahukan,” sayu Yusdi berkata. Kelihatan sembap wajah lelaki itu. Mungkin juga sedang berduka lara dengan pemergian sang isteri.
Alif dan Afif hanya mengangguk. Melihat bilik Afiyah membuatkan Alif tersenyum kecil. Hiasan biliknya tak ubah seperti bilik asli miliknya di rumah mereka. Dinding konkrit bercat hijau terang dihiasi dengan beberapa pelekat bunga. Ada juga pelekat comel berbentuk kucing. Ada beberapa pasu kaktus kecil terhias di atas meja kayu berdekatan jendela.
Kemas.
Melihat suasana bilik itu, terasa seakan-akan Afiyah masih hidup di situ. Terbit rasa rindu dalam hati Alif dan Afif. Kalaulah mereka tahu malam itu ialah hari terakhir Afiyah … pasti didakap erat tubuh kenit berumur tua itu.
Tanpa membuang masa, bilik itu mula dijelajah satu per satu. Dari almari, katil dan juga meja solek. Alif menapak pula ke meja belajar. Ada satu rak kecil yang penuh dengan buku-buku agama. Ada juga novel yang berpaksikan motivasi. Ada dua buah al-Quran bersaiz kecil dan besar terletak di atas sekali.
Ya. Kakaknya sakit mental tetapi bukan bermaksud imannya kering. Afiyah seorang yang berilmu. Lemah lembut dalam setiap kelakuan dan sopan dalam setiap percakapannya. Mungkin Afiyah bukan ustazah tetapi dia sentiasa berusaha menjadi hamba yang mahal untuk-Nya. Hanya yang membezakan, fikiran Afiyah yang habis ditelan oleh parasit trauma yang dihumban oleh manusia. Itu saja. Dia sakit, jadi dia perlukan sokongan. Bukannya kerana dia melawan takdir Tuhan.
Alif merehatkan punggung di atas kerusi belajar Afiyah. Ada sebuah komputer dan sebuah kamera kecil yang bersambung dengan komputer tersebut di atas meja. Alif dan Afiflah yang menghadiahkan kamera itu kepada Afiyah. Memandangkan mereka takut sekiranya simptom-simptom sakit Afiyah datang kembali, Alif dan Afif menyuruh dia merakam dirinya ketika sedih ataupun semasa emosinya tidak keruan. Afiyah seorang yang memendam perasaan. Mungkin kalau merakam dirinya ketika emosi menjadi tidak keruan, boleh membuatkan dia tenang sedikit. Lagipun, sekiranya keadaan Afiyah bertambah buruk, mereka boleh tunjukkan rakaman itu sebagai bukti kepada doktor psikiatrinya.
Alif terus membuka suis komputer. Skrin mula terpasang. Kata laluan dimasukkan. Senang saja. Pasti tarikh hari lahirnya. Kemudian, apabila simbol bulat itu habis berpusing, terpampanglah wajah mereka tiga beradik. Tersenyum bangga Alif melihatnya.
Walaupun sudah mempunyai pasangan, latar belakang gambar komputernya masih tidak ditukar. Alif menggerakkan tetikus ke bahagian fail. Bahagian isi kandungan video kamera kecil itu dibuka.
Pap! Terpampanglah beratus-ratus video dalam fail itu. Hiba rasa di hatinya. Pasti kakaknya terasa sunyi. Alif lihat setiap video itu sepintas lalu. Ada waktu ketika kakaknya menangis. Ada juga marah teramat. Ada juga yang hanya merenung kosong tanpa berkata apa-apa. Pelbagai kerenah yang ada.
Hinggalah satu video yang dimainkan membuat Alif tergamam.
“Bang … Aku bukan nak menyibuk hal rumah tangga orang, tapi kenapa katil kakak ni katil bujang ?”
“Afif, kau kunci pintu bilik sekarang!”
Belum sempat Afif menghabiskan katanya, Alif terlebih dahulu berbisik keras mengarah Afif. Serta-merta si adik patuh kerana sedikit terperanjat.
“Kau kenapa, bang?”
Afif mendekat, cuba melihat apa yang membuat Alif bertindak sedemikian, namun kali ini dia pula yang tercengang. Pucat seluruh mukanya.
“B … Bang, ni kakak ke?”
Soalan Afif dibiarkan tidak berjawab. Tergesa-gesa tangan Alif mengambil kamera kecil itu. Terus diletakkan ke dalam kotak yang hampir penuh dengan barang-barang Afiyah.
“Balik! Balik!”
Pintu bilik dikunci kasar sebelum Afif mengambil tempat di sebelah Alif. Alif pula tergopoh-gapah memasukkan kad memori itu ke dalam USB. Kemudian, dicucuk masuk terus ke dalam komputer ribanya. Fail-fail kamera itu dibuka laju.
Klik.
Figura pertama yang mereka lihat ialah Afiyah yang sedang menangis. Lama dia begitu hinggalah bibirnya membisikkan sesuatu.
‘Abang Yusdi curang,’
Rakaman terputus.
Video seterusnya ditekan lagi.
Bang!
Afiyah menghempas pintu dan menguncinya dari dalam. Kedengaran pintu itu ditumbuk kuat berkali-kali dari luar membuat Afiyah memeluk tubuhnya dalam ketakutan.
Tidak lama kemudian, keadaan kembali menjadi sunyi. Pecah akhirnya tangisan ketakutan Afiyah. Terketar-ketar tubuhnya menahan kegerunan. Kuat suaranya meminta pertolongan.
“Tolong …”
“Ibu … Alif … Afif … Tolong kakak …”
“Kakak takut …”
“Kakak sakit …”
“Kakak tak nak hidup macam ni …”
“Ahhh …!”
Kali ini jelas suaranya kerana pintu ternganga luas. Dengan perut yang memboyot sarat membawa nyawa, rambut Afiyah ditarik kuat. Tidak jauh dari situ, terdengar satu suara wanita tertawa suka. Makin kuat tawanya, makin dahsyat tamparan dihadiahkan ke pipinya. Rayuan kesakitan daripada Afiyah langsung tidak dipedulikan bagai angin yang berlalu. Dipukul ditampar hingga terkulai.
Buk!
Tubuh Afiyah terjatuh dihentak ke lantai. Jeritannya bertukar nyaring. Mengadu kesakitan datang dari perutnya. Kemudian … darah mula mengalir dari celah kelangkangnya.
Kuat sakan bunyi gelak tawa mesra dari luar hingga kedengaran masuk ke dalam. Suara-suara manja meledak tanpa menghiraukan dunia sekeliling.
Namun, Afiyah hanya membisu. Duduk merenung tanpa jiwa. Dapat dilihat lingkaran gelap bawah matanya. Mulut terkumat-kamit berkata sesuatu, namun suaranya terlalu lemah.
“Gugur …”
“Anak aku …”
“Gugur.”
Bang!
Pintu bilik dihempas dan dikunci dari luar. Wajah Afiyah habis berantakan dengan sisa nasi yang melekat pada mukanya. Rambut terburai. Bibir yang habis terkupas dan pecah berdarah kerana ditampar. Afiyah sudah tidak terurus, seperti mayat hidup.
Afiyah merenung pintu lalu menoleh ke arah kamera. Perlahan-lahan dia bergerak, melabuhkan punggung di kerusi. Merenung kosong seperti biasa. Kemudian, matanya tertancap ke arah sesuatu. Tangan diangkat untuk mengambilnya.
Pisau kecil.
“Mati …”
Air mata Afiyah merembes jatuh pada wajah kosongnya. Pisau itu ditarik dekat pada pergelangan tangannya.
“Ibu …”
“Afif …”
“Alif …”
Tut!
Rakaman terhenti. Itulah video terakhir yang dimainkan.
Sunyi.
Tiada yang mampu berkata-kata.
Alif mahupun Afif hanya terdiam, merenung video itu bersama perasaan yang hancur berkecai.
Afiyah, kakak mereka.
Kakak tercinta mereka … Diperlakukan seperti binatang tanpa jiwa.
“Kakak aku …?”
“Itu kakak aku?”
Afif merintih pahit. Dia menoleh ke arah Alif. “Afiyah, itu Afiyah. Kakak aku. Dia pukul kakak aku.”
Alif hanya membisu. Matanya masih tertancap pada skrin komputernya. Dia mahu bersuara tetapi tiada kata yang terungkap.
Afif bangun dan berlari keluar. Tidak tahu mencari siapa. Mungkin ibunya. Mungkin juga Yusdi.
Alif menggerakkan tetikus, menekan kembali butang main.
“Alif … Alif …”
Lembut sahaja nada wanita itu. Namun itu sudah cukup menikam seluruh jantungnya. Dunia seakan terhenti buat Alif. Tetikus ditekan lagi. Nama “Alif” terulang tidak berhenti. Jantungnya terasa disiat lagi.
Lagi dan lagi. Langsung tidak berhenti.
Bunyi bising dari luar membuatkan Alif tersedar. Dia bangun dan bergerak ke arah pintu. Dilihatnya Afif yang sedang bergelut dengan Yusdi. Panik sekeliling cuba meleraikan.
Namun, Alif tertawa. Kepala dipukul berkali-kali. Telinganya terasa berdesing kuat. Nafasnya tersekat di dada membuatkan peritnya semakin berdarah. Alif berdeham dengan mata yang berkaca. Matanya meliar mencari sesuatu yang tidak wujud. Dada diusap bersama selawat.
Hancurnya hati seorang adik melihat kakak yang dijaga dan dilindungi seperti permata dunia, musnah hancur sekelip mata dalam genggaman seorang lelaki durjana … .
Hancurnya hati seorang adik melihat senyuman manis kakaknya perlahan-lahan hilang dicantas dari seri mukanya … .
Hancurnya hati … .
Hancurnya Alif … .
Melihat Afiyah menyeru nama mereka, namun tiada yang menjawab, tiada yang cuba untuk menyelamatkan.
Hancurnya Alif … .
Habis dibelenggu penyesalan … .
Penyesalan tanpa pengakhiran … .
Suara itu bakal menghantui hidupnya. Rayuan tersakiti itu. Lirih tangisannya.
Sakit … .
Alif juga rasa sakit … .
“Ibu … . Ibu… .”
Bergetar Alif memanggil ibunya. Tak ubah seperti kanak-kanak yang menangis merindui hangat pelukan si ibu.
“Kakak … Kakak yang ibu jaga … Kakak yang Alif dan Afif lindungi separuh nyawa …”
Mati kesakitan berseorangan. Mati kerana dimusnahkan. Mati kerana cacian.
“Afiyah …”
“Afiyah mati ketakutan dalam gila … Kakak aku …”
“Kakak yang aku jaga …”
Hancur dalam genggaman lelaki durjana.
Bacaan surah al-Fatihah dan Yasin dihadiahkan buat pemilik kubur. Digenggam batu nisan itu sebelum bibir mengucapkan salam. Alif berlalu pergi bersama senyuman.
Afiyah.
Kakak.
Rehatlah dengan tenang.
Alif akan sentiasa mengirimkan doa.
Usah risau akan kami yang masih ada dalam dunia penuh lara ini … .
Kami juga akan berusaha gigih mengejar cinta Allah yang selamanya … .
Jadi, tenanglah … .
Tunggu kami di sana … .
Dan, Alif nak minta maaf … .
Maaf sebab bergurau begitu dengan kakak.
Maaf sebab tidak perasan kesengsaraan kakak.
Maaf sebab tidak sempat untuk selamatkan kakak.
Maaf, kak… .
Dan, Ya Allah, terima kasih atas segalanya … Terima kasih kerana sanggup menurunkan seorang bidadari yang cengeng dan manja … . Terima kasih kerana membenarkan kami melakar segala memori indah yang ada.
Terima kasih, Ya Allah.