TERDENGAR keriuhan berlaku dalam kelas tingkatan tiga Zamrud pagi itu. Ada yang berbual, ada yang berkumpul di belakang kelas dan ada juga yang hilang entah ke mana. Bagaimanapun, Zamir tidak terganggu akan keadaan kelasnya itu kerana khusyuk membuat ulang kaji sebelum sesi pembelajaran bermula. Sejak ketiadaan ayahnya, hanya ibunya sahaja yang ada untuk menyara dia dan adik-adiknya. Maka, dia bertekad untuk belajar bagi mengubah kedudukan keluarganya.
“Bangun, selamat pagi Cikgu Nadim!”
Sahutan ketua kelas disambut rakan-rakan yang lain. Cikgu Nadim merupakan guru kelas bagi tingkatan tiga Zamrud. Walau tampilnya garang, Cikgu Nadim sebenarnya seorang yang baik hati dan selalu mengambil berat akan anak-anak muridnya. Selepas dibenarkan duduk, Cikgu Nadim mengagihkan beberapa helai kertas kepada murid – muridnya.
“Baiklah, kertas ini merupakan keputusan ujian psikometrik yang kamu lakukan tempoh hari. Harapnya kamu semua dapat memilih kerjaya yang kamu minati,’’ kata cikgu Nadim.
Zamir melihat kertasnya. Terlihat perkataan “Guru” pada bahagian cadangan kerjaya.
Namun, Zamir tidak mempunyai impian untuk menjadi guru. Dia merasakan bahawa kerjaya guru membosankan kerana perlu pergi ke sekolah setiap hari.
Dia menyimpan kertas tersebut di dalam begnya dan bersedia untuk belajar pada pagi itu.
Selang beberapa minit, bunyi ketukan berselang ucapan salam terdengar ketika khusyuk Cikgu Nadim mengajar. Semua orang memandang ke arah bunyi yang datang dari pintu kelas. Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Cikgu Azam berdiri di pintu itu, memandang cikgu Nadim meminta kebenaran untuk mencelah pembelajarannya.
“Cikgu, boleh saya berjumpa Zamir? Ada hal penting hendak diberitahu. Cikgu pun saya hendak berjumpa juga.” kata Cikgu Azam.
Zamir tersentak. Hatinya tertanya-tanya. Dia bergerak keluar kelas sambil memikirkan kesalahan yang dilakukan sehingga Cikgu Azam memanggilnya. Dia merasakan tepukan lembut di bahunya. Cikgu Nadim memandang tanda memujuknya agar tenang dan tidak perlu risaukan apa-apa.
“Kenapa cikgu? Zamir ada buat salah apa? Setahu saya dia murid yang baik,” Cikgu Nadim bersuara.
“Sabar cikgu. Zamir tidak buat salah apa-apa.” balas Cikgu Azam.
Cikgu Azam diam sejenak. Mukanya yang menunjukkan kerisauan membuatkan Zamir semakin naik hairan. Dia memasang telinga menunggu kata-kata guru itu yang seterusnya.
“Tadi pihak sekolah dapat panggilan daripada hospital. Ibu kamu dimasukkan ke hospital. Dia jatuh semasa bekerja.”
Zamir tersentak. Muka hairannya bertukar cemas. Otaknya bising. Melayang di kepalanya senario-senario yang kemungkinan berlaku. Matanya berair, nafasnya mula tidak terkawal. Cikgu Nadim menggosok belakangnya tanda suruh bertenang. Dia meminta izin kepada Cikgu Azam untuk menghantar Zamir ke hospital untuk menemui ibunya. Adik-adiknya pula akan diambil oleh jiran mereka untuk dijaga sementara waktu.
Doktor mengesahkan ibunya menghadapi strok minor. Minda Zamir bercelaru. Zamir cuba menelefon ayahnya, tetapi sama sahaja seperti dulu, tidak diangkat. Zamir menangis di tepi katil ibunya. Bagaimana dia hendak menjaga ibu dan adik-adiknya?
“Zamir, bawa bersabar. Insya-Allah, cikgu cuba bantu Zamir,” Cikgu Nadim cuba memujuk.
Beberapa bulan berlalu, keluarga Zamir kini cuba untuk menerima norma baharu. Zamir juga bekerja sambilan setiap malam bagi menampung keluarganya di samping duit pencen ilat yang diterima oleh ibunya. Cikgu Nadim juga sentiasa bertanya khabar dan menjenguk Zamir.
Pada mulanya, Zamir boleh membahagikan masanya dengan bekerja, menjaga ibunya dan belajar. Tetapi lama kelamaan, Zamir terasa memikul beban yang banyak. Lagi-lagi apabila keperluan dan bil-bil kesihatan ibunya bertambah dek kerana kesihatan ibunya yang tidak menunjukkan apa-apa perkembangan. Hal ini menyebabkan pembelajarannya terjejas. Dia sering ponteng kelas, kadang-kadang Zamir dimarahi gurunya kerana tidur di dalam kelas. Hal ini telah sampai ke telinga Cikgu Nadim lalu beliau meminta Zamir untuk berjumpa dengannya.
“Zamir, saya dapati kamu bekerja sambilan setiap malam?” Zamir sekadar mengangguk.
“Kamu tahu kan kamu seharusnya tidak boleh bekerja pada umur kamu yang sekarang? Kamu patut tumpukan kepada pelajaran. Macam mana kamu hendak sambung belajar kalau kamu tak boleh bahagikan masa dengan baik,” Cikgu Nadim berleter panjang.
Zamir tertunduk. Dia tahu semua yang dikatakan Cikgu Nadim itu benar. Tetapi, dia perlu menjaga ibunya dan adik-adiknya. Dia tidak boleh mengharapkan duit pencen ibunya semata-mata. Renungan Cikgu Nadim yang tajam menjadi redup. Dia sebenarnya kesiankan anak muda itu. Zamir budak yang pandai, agak membazir jika usahanya untuk belajar terhenti di situ. Zamir memandang muka cikgunya itu lalu meminta maaf dan berjanji akan membahagikan masa dengan baik.
……………………………………………………………..
“Maaf Zamir, tapi pak cik dah tak perlukan kamu lagi.”
Zamir tercengang. Dia baru sahaja masuk kerja pada malam itu seperti kebiasaan, tetapi bagaikan retak seribu dia mendengar perkataan itu keluar daripada mulut Pak Cik Hamid.
“Apa salah saya, pak cik? Bukankah selama ini elok sahaja saya bekerja setiap malam?” Muka Zamir kemerah – merahan menunggu jawapan.
“Duit di dalam tempat jurujual selalu hilang. Kami syak kamu puncanya. Sudah! Kamu baliklah Zamir. Kamu tidak perlu bekerja lagi,” balas Pak Cik Hamid bersahaja.
Zamir kecewa. Selama ini dia bekerja ikhlas di warung itu, tetapi begini balasannya. Zamir menolak basikal pulang ke rumah dalam hujan yang renyai. Dia geram akan sikap Pak Cik Hamid itu yang sewenang-wenangnya memberhentikannya tanpa alasan kukuh. Kemarahannya terhenti mendadak apabila matanya tertumpu kepada cahaya kemerah-merahan yang datang dari arah rumahnya. Matanya terbeliak dan hatinya berdegup kencang, sepantas kilat dia melontarkan basikalnya ke tepi dan berlari meluru ke arah rumah usangnya itu. Secara tidak sedar, dia menjerit sekuat-kuatnya di bawah cahaya kemerah-merahan yang semakin lama semakin pudar dalam hujan renyai yang menemani kegelitaan malam itu.
“Ibu! Ibu!”
……………………………………………………………………….
“Assalamualaikum, ada orangkah di dalam?”
Pintu dibuka oleh seorang mak cik tua yang kemudian menyapanya. Cikgu Nadim dipersilakan masuk ke dalam teratak usang itu. Mak cik tua itu ialah nenek Zamir yang membantu menjaga Zamir dan adik-adiknya selepas kematian ibu mereka pada malam selepas kejadian Zamir diberhentikan kerja dua minggu lalu.
Sejak itu, semangat Zamir untuk belajar semakin pudar. Dia sudah tidak hadir ke sekolah sejak ibunya meninggal dunia. Cikgu Nadim mengetuk pintu biliknya lalu masuk ke dalam. Dia melihat Zamir hanya baring sambil memeluk bantal ibunya, matanya sebam dek kerana menangis berhari-hari.
“Zamir, cikgu dengan rakan-rakan rindu akan Zamir. Zamir tak nak jumpa kawan-kawan ke?”
Zamir hanya diam. Matanya masih ditumpukan ke dinding. Cikgu Nadim bersuara lagi.
“Zamir, hidup ini tidak bermakna tanpa kematian. Hidup ini juga tak bermakna tanpa ujian. Ujian itu pula diberi kepada hamba-Nya yang disayangi. Begitulah yang Zamir dan arwah ibu dulu hadapi.”
Zamir mula menitiskan air mata. Cikgu Nadim merapatkan dirinya ke Zamir.
“Zamir, selagi ajal belum tiba, selagi itulah ujian akan menimpa. Jadi, kita yang hidup ini perlu tabah hadapi ujian itu. Cuba banggakan orang yang kita sayang walaupun mereka sudah tiada. Zamir nak ibu Zamir bangga kan?”
Zamir mengangguk. Dia mendakap gurunya itu. Cikgu Nadim cuba menahan air matanya. Dipeluk erat anak muridnya itu. Dia sebak melihat ujian yang ditimpa Zamir. Tidak terbayang bagaimana remaja itu menghadapinya dengan tabah.
“Saya janji cikgu, saya akan banggakan arwah ibu saya. Saya akan banggakan cikgu!”
…………………………………………………………………………..
Tangan Zamir digoncang membuatkan dia tersedar daripada lamunan tersebut. Dipandangnya sosok kecil yang menggoncangnya sebentar tadi. Sosok itu datang sambil meletakkan buku di atas meja Zamir.
“Cikgu, saya dah siap!”
Kening Zamir diangkat. Dia menyemak kerja budak kecil itu. Zamir tersenyum lalu memujinya kerana berjaya menyiapkan kerjanya itu. Budak itu tersenyum dan ketawa lalu mengucapkan terima kasih sebelum balik ke tempatnya.
Zamir memandang ke luar kelas. Kini dirinya juga menjadi seorang guru. Berkat pertolongan dan nasihat Cikgu Nadim, dia dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di institut pendidikan guru. Dia berhasrat untuk menjadi guru yang mempunyai jiwa pendidik seperti Cikgu Nadim.
“Cikgu, semoga jasamu terbalas di akhirat nanti!”
