Skip to content
Belacan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Belacan
Belacan
Cerpen

Belacan

  • Osman bin Ayob
  • 5 Julai 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 3
  • 5

ZAMBRI sudah  membuat keputusan tidak akan mengikut jejak rakan-rakannya yang mahu berhijrah dari kampung halaman mereka – Pulau Bunian, ke tempat lain di daratan untuk mencari kerja setelah menamatkan pengajian. Apabila ditanya rakan-rakannya, dia memberi alasan, sebagai anak tunggal dia tidak mahu berjauhan dengan kedua-dua ibu bapanya yang telah uzur. Selain terus berbakti kepada orang tuanya, dia nekad untuk meneruskan usaha orang tuanya dalam pembuatan belacan.

“Kau nak jadi pengusaha belacan?” tanya seorang rakannya dengan nada menyindir. “Aku harap kau akan berjaya dan nanti digelar Zambri Belacan.”

“Insya-Allah.” Zambri tersenyum nipis. “Untuk berdikari, aku tak ada masalah dengan gelaran itu.”

Kedua-dua orang tuanya gembira dengan keputusan anak tunggal mereka tidak mengikut jejak rakan-rakannya berpindah dari pulau yang luasnya kira-kira seratus kali keluasan padang bola dan dihuni lima puluh keluarga nelayan pantai.

Pulau Bunian bukan tidak menarik, tetapi promosi mengenainya masih kurang. Pantainya yang landai tegak beberapa batang pokok kelapa yang saban waktu daunnya mengepak apabila ditimpa angin yang tidak putus-putus bertiup. Pulau kecil itu memang terdedah kepada tiupan angin ribut. Bukan sekali bumbung rumah nelayan pantai itu diterbangkan angin. Malah rumah orang tuanya yang lebih besar dan memanjang kerana bersambung dengan bangsal membuat belacan, pernah tercabut dan dibawa angin beberapa meter jauhnya ke tepi pantai. Mujurlah tidak ada sebarang kecederaan. Bangsal itu diperbaiki dan usaha menumbuk belacan berjalan seperti biasa beberapa hari kemudian.

Dari kecil lagi Zambri tahu kedua-dua orang tuanya  mengusahakan proses pembuatan belacan secara tradisional dengan kebersihan menjadi faktor utama. Tidak ada campuran lain dimasukkan kecuali udang segar dan garam. Pernah satu ketika dulu, seorang nelayan di pulau itu cuba membuat belacan dan mahu menyaingi usaha bapanya. Namun usaha itu menemui kegagalan kerana wujud ketidakjujuran dalam pembuatannya. Dalam proses pembuatannya, udang dicampur dengan anak ikan, belangkas, tepung dan bahan-bahan lain. Ini bukan sahaja mengurangkan mutu, tetapi menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Apabila digunakan dalam masakan, rasanya berlainan sama sekali dengan belacan asli yang diusahakan bapanya.  Kini setelah setengah abad bapanya menjadi pengusaha belacan tradisional dan mendapat pasaran baik di tanah semenanjung, ada suatu kebanggaan bertaut dalam hati Zambri.

Siapa tidak kenal  Belacan Pulau Bunian? Zambri amat bangga dengan jenama itu. Tercipta daripada kejujuran dan amanah yang tertanam dalam kerja buat kedua orang tuanya.

Belacan tetap belacan, fikir Zambri. Baunya busuk, tapi dalam kebusukan itu ada nilai yang tersendiri. Hanya pengguna yang tahu, dengan deria yang tajam dapat mengukur dan mempercayai belacan keluaran orang tuanya terbaik daripada sebarang jenama belacan yang beredar di pasaran.

Pernah satu ketika, dua tahun lalu, oleh sebab Belacan Pulau Bunian mendapat sambutan ramai, muncul pengusaha di daratan meniru belacan keluaran bapanya. Ia cepat dikesan melalui pembungkusan dan rasanya yang lain sama sekali. Zambri membuat laporan polis dan pengusaha berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Atas kesedaran bahawa kedua orang tuanya telah membina dan mengekalkan mutu dan cita rasa Belacan Pulau Bunian, Zambri mengambil iktibar untuk meneruskan bahkan mewarisi jenama ini kerana dia tahu, belacan merupakan ramuan wajib yang  menentukan sedap tidaknya beberapa jenis makanan yang memerlukan belacan.

Langkah pertama yang diambil Zambri ialah mengumpulkan semua ketua keluarga nelayan  kampung itu ke dalam sebuah komuniti yang  kukuh dalam usaha penangkapan ikan dan udang yang berterusan. Usaha ini disambut baik  semua nelayan yang amat hormat kepada Pak Derasit dan Mak Sumah – orang tua yang selama ini dianggap ketua kampung. Kesediaan Zambri untuk menetap di kampung itu setelah lulus Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari sebuah universiti tempatan menambah rasa hormat dan kepercayaan kepada Pak Derasit dan Mak Sumah.

“Kerana belacan aku, Pulau Bunian ni dapat nama,” ujar Pak Derasit dalam satu pertemuan dengan anak buahnya pada suatu petang. “Tapi kita harus sedar, dalam hidup ini ada orang yang suka dan ada orang yang dengki pada kita.”

Semua yang mendengar sambil mengunyah mihun yang dimasak Mak Sumah, mengangguk. Masing-masing memahami maksud kata-kata Pak Derasit. Sudah ada beberapa pemborong ikan yang merasuk penduduk untuk membeli udang yang ditangkap nelayan dengan harga jauh lebih tinggi daripada yang ditawarkan Pak Derasit. Usaha ini tidak lain adalah untuk menjejaskan perusahaan Pak Derasit.

Hal ini tidak menghairankan, Pulau Bunian mula dikenali sebagai pulau pelancongan. Pulau kecil yang dulu didongengkan menjadi tempat tinggal para bunian, kini sudah berubah wajah. Tiada sesiapa lagi yang percaya pada dongengan tersebut. Setiap hujung minggu, apalagi musim cuti sekolah, ramai orang mengunjungi Pulau Bunian. Beberapa buah inap desa milik seorang nelayan, tidak cukup untuk menampung kehadiran pelancong. Selain membawa anak-anak menikmati pantainya yang landai, nyaman dengan pokok kelapa condong ke laut dengan daunnya yang melambai, ada yang mengambil kesempatan mengunjungi rumah Pak Derasit untuk meninjau proses pembuatan belacan.

Zambri melihat ini merupakan satu potensi besar yang mesti dimanfaat sepenuhnya. Ilmu perniagaan yang dikutip di universiti tidak mungkin disia-siakan. Lalu dia sudah membuat perancangan bagi membesarkan perusahaan belacan bapanya. Dari tradisional kepada industri kecil berdaya maju. Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kementerian berkenaan telah dihubungi dan dia mendapat respons yang baik.

Kini sudah ada dua pemaju datang menemuinya, menawarkan sewa beli lot industri di daratan bagi memudah dan mengembangkan perusahaannya. Dia tidak menolak, kerana untuk menjadi pengusaha yang berpotensi, dia sewajarnya menyahut tawaran itu. Tetapi dia  memikirkan lebih jauh daripada itu. Dia mahu mengekalkan jenamanya; Belacan Pulau Bunian. Perusahaannya patut kekal di Pulau Bunian. Dia sudah berunding dengan Jabatan Pelancongan Wilayah. Sokongan diminta atas alasan Pulau Bunian boleh dimajukan menjadi destinasi pelancongan yang ada daya tarikan sendiri. Selain panorama alam sekitar pulau yang indah, perusahaan membuat belacan moden boleh membawa nilai tambah yang boleh  menarik lebih ramai pelancong datang ke pulau itu.

“Kau boleh menjadi peneraju kerana kau ada ilmu.” Bahadon rakan sepersekolahannya dulu dari daratan, memuji tetapi di hatinya sarat dengan harapan. “Aku percaya kau boleh memainkan peranan memajukan Pulau Bunian menjadi pulau yang berpotensi. Bagi aku, tentulah pelancongan. Sebagai pengusaha bot,  aku harap makin ramai pelancong ke sana. Perkara ini juga menyumbang sikit rezeki untuk aku.”

Zambri tersenyum senang. Rupa-rupanya banyak orang mempertaruhkan rezeki pada pulau itu. Dia gembira permohonannya kepada pihak berkuasa tempatan untuk meluaskan rumahnya dan memanjangkan ruang untuk pemasangan mesin memproses udang mendapat kelulusan.

“Kau boleh pakai mesin.” Bapanya mengingatkan. “Tak ada masalah kerana nak ikut peredaran masa. Tapi pastikan guna udang segar sepenuhnya. Jangan kerana nak untung banyak, kau campur anak ikan dan lain-lain. Ini saja pesan bapa.”

Zambri cepat mengangguk. Mata bapa dan emaknya yang duduk bersebelahan direnung tajam. “Saya berjanji akan pertahankan ramuan bapa. Tak ada kompromi kerana pelanggan tahu kualiti belacan kita.”

Berpegang kepada amanah dan kejujuran, dia teringat pada kunjungannya ke Phuket tidak lama dulu. Lawatan ke kilang biji janggus amat mengujakan. Pengusaha mendedahkan bagaimana biji janggus tiruan yang dibuat dengan tepung digaul perisa biji janggus asli dengan biji janggus asli yang diproses melalui pembakaran dan pembersihan kulit yang normal.

‘Etika ini aku akan pegang dalam pembuatan belacan. Pengunjung boleh melihat dengan mata kepala mereka sendiri dari awal, bagaimana udang dibersihkan dan diproses menjadi belacan asli selaras dengan konsep ‘halalan toiyiban.’ bisik hati  Zamri.

Bagi memastikan bekalan udang mencukupi sepanjang masa, dia telah mendapat bantuan LKIM. Ada beberapa persatuan nelayan di daerah berdekatan bersetuju menyahut cabaran bekerjasama dengannya dalam pembekalan udang yang berterusan. Harganya kompetitif mengikut pasaran. Dia akur dengan peningkatan kos dalam pelbagai industri sekarang. Untung tidak banyak tidak mengapa asalkan agihannya menjalin persefahaman bagi meneruskan kesinambungan perniagaan yang semakin mencabar.

Sedar pada jenama Belacan Pulau Bunian sudah dikenali ramai, bukan bermakna Zambri harus berdiam diri dan berpuas hati dengan tahap kemajuan yang ada. Dia mendapat khidmat seorang rakan yang mahir dalam media sosial bagi mempopularkan lagi jenama belacannya. Melalui aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Tik Tok dan lain-lain, Belacan Pulau Bunian mendapat wajah baru. Kertas pembungkusannya direka cipta dengan teknik baru. Ia seperti barangan hadiah yang boleh menjadi buah tangan. Belacan Pulau Bunian bukan lagi produk sembarangan yang dulu diletak di tempat terlindung dalam gerai. Ia kini ditempatkan di rak utama, memancing perhatian sesiapa yang masuk ke dalam gerai yang menjual aneka produk tempatan.

Zambri berasa bangga, Belacan Pulau Bunian pasarannya berkembang ke seluruh negara. Keputusannya mengiklankan Belacan Pulau Bunian di kaca TV, bukan satu perjudian, bukan pula mengundang kelucuan, tetapi satu strategi bagi memancing reaksi para penonton. Tidak ada sesuatu yang lebih menggembirakannya, apabila graf jualan Belacan Pulau Bunian meningkat naik dengan mendadak.

Tidak berpuas hati dengan promosi yang ada, Zambri mendapat khidmat nasihat seorang konsultan pengiklanan yang profesional. Penyediaan skripnya diusahakan secara bersama-sama. Melalui penggambaran di kilangnya juga di beberapa tempat dan diolah dengan menarik, video iklan tersebut telah mendapat sambutan baik setelah ditularkan dalam media sosial yang kuat pengaruhnya sekarang. Kotaknya keemasan, sama saiznya dengan kotak mentega, kelebihannya, ada ruang lut sinar yang pembeli boleh melihat belacan  dalam balutan yang menarik, tanpa dapat menghidu baunya.

Terkenalnya Belacan Pulau Bunian ikut menarik minat beberapa buah pasar raya dan pasar mini. Setelah melalui beberapa siri rundingan, Zamri mendapat persetujuan yang kompetitif. Belacannya berjaya mendapat tempat dengan syarat dia mampu memenuhi aliran pasaran sesuai dengan matlamat pasar raya dan pasar mini yang sentiasa menjaga kualiti dan standard edaran.

Kerana mendapat sambutan yang menggalakkan, Zambri terpaksa menambah dua kakitangan baharu di kaunter pemasaran. Kedua-dua gadis pilihan yang bersuara lunak dan mesra pelanggan, memiliki diploma pentadbiran peniagaan itu mudah  dibentuk  untuk memasarkan Belacan Pulau Bunian secara dalam talian.

Zambri gembira graf jualan  belanjanya meningkat dari satu masa ke satu masa.

Pagi itu, kedua orang tuanya, tersenyum-senyum hingga terserlah gigi palsu  masing-masing apabila menonton iklan yang terbit di kaca TV. Sesuatu yang tidak terfikir oleh mereka selama ini.

“Bapa rasa bertuah mempunyai anak seperti kau.” Puji bapanya pagi itu ketika menikmati sarapan.

“Kaulah anak tunggal yang berjasa, menyambung usaha buat belacan ikut perkembangan masa.” Emaknya menokok dengan senyuman yang tidak kurang kerepotnya.

Zambri ikut tersenyum. Maka jadilah sarapan pagi itu seindah-indah sarapan walaupun cuma kopi O kampung bertemankan cucur kodok buatan emaknya sendiri.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Secangkir Duka Sepinggan Sengsara
Cerpen

Secangkir Duka Sepinggan Sengsara

  • 20 Februari 2025
  • 172
  • 4.5
Kesedaran Remaja tentang Kemerdekaan Negara dalam Novel Berlumur Duka
Bicara Sastera

Kesedaran Remaja tentang Kemerdekaan Negara dalam Novel Berlumur Duka

  • 20 Oktober 2025
  • 96
  • 3.5
Denai Paksi
Cerpen

Denai Paksi

  • 20 Ogos 2025
  • 319
  • 5
Satu Nyawa, Sembilan Syurga
Cerpen

Satu Nyawa, Sembilan Syurga

  • 20 April 2026
  • 170
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP