PADA pukul 5.30 pagi, Aris terjaga daripada tidurnya. Sebaik sahaja dia membuka mata, tekaknya terasa perit dan gatal. Dia batuk perlahan beberapa kali supaya tidak mengejutkan adiknya, Aina, yang sedang tidur di sebelahnya.
Aris bangun daripada tilam nipis lalu berjalan menuju ke tingkap kayu biliknya. Semasa dia membuka tingkap, bau asap kayu terbakar terus masuk menyengat ke dalam hidungnya. Di luar rumah langsung tidak nampak apa-apa. Semuanya samar-samar warna kelabu. Pokok mangga yang berada di tepi rumah pun hanya nampak seperti bayang-bayang hitam sahaja.
“Aris, tutup tingkap tu. Asap masuk banyak sangat,” jerit Mak Jah dari dapur.
Aris merapatkan balik tingkap itu tetapi dinding rumah kayu mereka mempunyai celah-celah yang agak renggang, menyebabkan asap halus tetap menembusi masuk ke dalam rumah. Lapisan habuk kelabu nipis nampak melekat atas meja kayu dan cermin muka.
“Aboh mana, ma?” tanya Aris sambil duduk di atas bangku dapur.
“Aboh kamu dah keluar pukul lima tadi. Dia cakap nak cuba cari penumpang dekat jeti awal-awal. Kalau lambat, takut tak ada orang nak naik beca,” jawab Mak Jah. Matanya nampak merah sebab kena habuk.
Di atas meja cuma ada dua ketul ubi kayu rebus dengan air kopi O panas. Aris mengambil seketul ubi kayu lalu makan perlahan-lahan. Sambil makan, dia ternampak keratan surat khabar lama yang terbiar atas meja.
Keratan surat khabar itu melaporkan tentang jerebu yang telah merentasi sempadan. Katanya, di tanah seberang sana, ada ladang-ladang besar dan syarikat kaya yang sengaja menebang dan membakar hutan gambut kerana ingin menjimatkan kos untuk membuang pokok. Hutan terbakar hektar demi hektar, selepas itu angin membawa asap itu ke tempat mereka. Syarikat-syarikat kaya memperoleh keuntungan berbilion-bilion, sedangkan penduduk kampung seperti keluarga Aris terpaksa menghirup udara tercemar setiap hari.
“Nah, pakai pelitup muka ini apabila pergi sekolah nanti,” kata Mak Jah sambil menghulurkan pelitup muka kain berwarna biru.
“Ni pelitup muka kain biasa je kan, ma? Cikgu cakap kena pakai yang N95 tu kalau nak tahan asap betul-betul,” kata Aris.
“Klinik dah habis stok, Aris. Yang N95 tu kat farmasi pekan mahal sangat, sekeping dah RM6.00. Aboh kamu beli yang kain ni kat kedai Ah Seng. Boleh lah buat tahan debu jalan,” balas Mak Jah.
Aris tidak cakap apa-apa lagi. Dia tahu duit dalam rumah mereka memang tengah nyawa-nyawa ikan. Kalau beli pelitup muka mahal, nanti duit nak beli beras pula tidak cukup.
Selepas bersiap dan pakai seragam sekolah, Aris mengayuh basikal tuanya. Jerebu pagi ni memang tebal sangat. Lampu kereta yang lalu dekat jalan besar pun cuma nampak macam titik kuning samar-samar. Jarak penglihatan mungkin tak sampai 30 meter.
Setiap kali mengayuh basikal menaiki bukit kecil, dada Aris terasa tegang. Setiap hela nafas menyebabkan tekak dan hidungnya terasa panas. Kain pelitup mukanya itu sekadar menapis debu kasar sahaja, tetapi bau asap tengik tetap masuk ke hidungnya.
Semasa melalui simpang menuju ke pekan, Aris nampak seorang lelaki tengah gigih mengayuh beca. Dari arah belakang, badan lelaki itu kelihatan sedikit bongkok dan bajunya basah kerana peluh. Rupa-rupanya, lelaki yang dilihatnya tadi ialah bapanya sendiri, Pak Samad. Bapanya sedang membawa seorang wanita tua bersama-sama dengan bakul sayur.
Aris memperlahankan kayuhan basikal. Dia terdengar bapanya batuk dengan kuat dari jauh. Batuk yang berbunyi agak dalam dan garau.
“Aboh!” jerit Aris perlahan dari belakang.
Pak Samad menoleh ke belakang kerana terkejut, selepas itu senyum dekat Aris dari bawah pelitup kainnya yang sudah kotor. “Pergi sekolah elok-elok, Aris! Belajar rajin-rajin!” jerit bapanya semula sebelum meneruskan kayuhan beca.
Aris terasa sebak apabila melihat keadaan bapanya yang kelihatan lesu. Bapanya pula sudah berumur 50-an, tetapi tetap mengayuh beca berat dalam udara beracun kerana hanya itu punca rezeki bagi keluarga mereka. Aris berjanji dengan diri sendiri, dia akan belajar bersungguh-sungguh untuk SPM tahun ini supaya dia boleh mengubah nasib keluarga mereka.
Apabila sampai di Sekolah Menengah Kebangsaan Pinggiran, suasana sekolah nampak sunyi. Semua pokok dan padang diliputi kabus asap kelabu.
Semasa perhimpunan di dalam dewan, Cikgu Razali naik ke pentas. Beliau pegang mikrofon dan berdehem beberapa kali.
“Selamat pagi. Untuk makluman semua, Hari ni bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) telah mencecah kepada 270. Keadaan ini bermaksud udara sudah memasuki paras yang sangat tidak sihat,” kata Cikgu Razali.
“Pihak sekolah menasihatkan semua murid supaya mengurangkan aktiviti di luar. Kalau ada murid yang mengalami sesak nafas atau pening, kamu perlu terus pergi ke bilik rawatan,” tegasnya lagi.
Semua murid saling memandang antara satu sama lain. Ada juga yang batuk-batuk kecil dalam dewan.
Dalam kelas 5 Teratai, semua tingkap kayu ditutup rapat untuk mengelakkan asap daripada masuk. Namun, sebaik sahaja tingkap ditutup, bilik darjah itu terus menjadi panas dan pengap. Kipas siling yang berpusing-pusing itu hanya memutarkan udara panas yang berhabuk.
Cikgu Razali yang merupakan guru Bahasa Melayu masuk ke kelas untuk mengajar dan menulis tajuk karangan di papan hitam “Pencemaran Alam Sekitar dan Kesannya Kepada Masyarakat“.
“Okey kelas, siapa boleh beritahu saya peribahasa atau kiasan yang sesuai untuk situasi jerebu yang kita hadapi sekarang ini?” tanya Cikgu Razali.
Seorang murid bernama Hafiz mengangkat tangan. “Bagaikan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, cikgu!”
“Boleh diterima. Ada siapa-siapa lagi yang nak cuba?” tanya Cikgu Razali.
Aris mengangkat tangan.
“Ya, Aris?”
“Umpama gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah,” kata Aris.
Cikgu Razali berhenti menulis dan pandang ke muka Aris. “Kenapa kamu pilih peribahasa tu, Aris? Boleh terangkan?”
Aris berdiri. “Syarikat-syarikat besar dan pemilik ladang kat seberang sana tu diibaratkan macam gajah atau orang kaya. Mereka bakar hutan nak jimat wang dan dapat untung berjuta-juta. Tapi kita yang kat kampung ni, orang susah, budak-budak sekolah dan orang yang kerja kat luar macam bapa saya, kami ni macam pelanduk. Kami tak dapat apa-apa untung pun dari ladang itu, tapi kami yang kena sedut asap beracun dan jatuh sakit.”
Kelas itu menjadi senyap. Rakan-rakan sekelas Aris memandangnya. Cikgu Razali mengangguk beberapa kali.
“Jawapan yang sangat matang dan tepat, Aris,” kata Cikgu Razali dengan nada serius.
“Itulah hakikatnya. Selalunya apabila alam sekitar dirosakkan demi wang, orang kecil dan miskin yang paling terkesan dulu,” tambah Cikgu Razali.
Aris kembali duduk di kerusinya. Dalam fikirannya, hanya teringatkan Aina yang berada di rumah dan bapanya yang sedang mengayuh beca di bawah matahari, dalam jerebu demi menyara mereka sekeluarga.
Dua hari selepas itu, kerajaan mengumumkan bacaan IPU sudah melepasi angka 300, iaitu paras bahaya. Semua sekolah di daerah itu diarahkan ditutup serta-merta sehingga keadaan kembali pulih.
Bagi sebilangan budak bandar yang berasal daripada keluarga berada, penutupan sekolah merupakan satu peluang keemasan untuk mereka bermain permainan video di rumah masing-masing, yang dilengkapi dengan pendingin dan penapis udara. Namun bagi Aris, penutupan sekolah akibat jerebu merupakan satu masalah dan bencana untuk keluarga mereka.
Apabila sekolah ditutup dan orang ramai takut serta dilarang keluar rumah disebabkan jerebu yang semakin tebal, pekan jadi sepi. Keadaan ini menyebabkan tiada orang yang mahu menaiki beca. Bapa Aris keluar pagi dan balik petang untuk mengayuh beca, tetapi kadangkala balik dengan tangan kosong.
***
Pada satu petang, Aris ternampak bapanya sedang duduk di atas anak tangga kayu rumahnya. Pak Samad menyeluk poket seluarnya lalu mengeluarkan wang dan meletakkannya di atas telapak tangan. Cuma ada sekeping duit RM5.00 dan beberapa keping syiling sepuluh sen.
“Dua hari aboh tunggu kat jeti dengan pekan, cuma dapat satu penumpang je, Aris,” kata Pak Samad. Suaranya serak sangat dan dia batuk lagi.
“Tak apa aboh. Aris ada simpan sikit duit tambang basikal dengan duit belanja sekolah,” kata Aris.
Aris kemudian berjalan masuk ke biliknya dan mengambil tabung tin Milo tua kepunyaannya. Dia membuka penutup dan menuang kesemua duit syiling itu ke lantai lalu mula menghitung dengan bapanya. Setelah selesai menghitung, dia mendapati bahawa jumlahnya hanya RM28.50.
“Duit ini boleh dipakai untuk membeli beras dengan telur, aboh,” kata Aris.
Pak Samad memandang wajah Aris dengan sayu dan tanpa disedari matanya berair. “Duit ini kan kamu simpan kerana mahu membeli buku rujukan untuk SPM hari tu?”
“Buku Aris boleh pinjam dengan Cikgu Razali nanti, aboh. Beras kat dapur tu dah nak habis. Aina pun kena beli ubat batuk kat kedai runcit,” balas Aris cepat-cepat.
Malam itu, rumah mereka terasa semakin panas dan pengap. Asap jerebu masuk melalui celah dinding papan. Aina mula merengek kerana dadanya terasa ketat dan gatal-gatal pada bahagian kulit.
Aris pula tidak boleh tidur. Dia memasang lampu minyak tanah yang malap di atas meja kayu kecil dalam biliknya. Selepas itu, dia duduk atas lantai dan mula membuka buku teks Sejarah dan Matematik Tambahan. Sambil membaca, dia meletakkan kain tuala basah di muka untuk mengurangkan rasa pedih di hidungnya.
Aris tahu bahawa dia tidak mampu untuk menyertai kelas tuisyen kerana yuran terlalu mahal untuk dibayar. Apalagi mahu memiliki komputer riba yang canggih seperti rakan-rakannya yang lain. Namun, keadaan itu tidak memadam semangatnya untuk terus mengejar impian. Hal ini kerana, Aris tahu hanya dengan keputusan SPM yang cemerlang sahaja dia boleh mengubah nasib keluarganya.
Jam menunjukkan pukul 1.30 pagi, Aris tersedar apabila terdengar bunyi Aina menangis. Bunyi nafas Aina semakin kuat.
“Ma! Aboh! Aina tak boleh bernafas!” jerit Aris yang terus bangun dari tilamnya apabila menyedari keadaan itu.
Pak Samad dan Mak Jah meluru masuk ke bilik. Muka Aina kelihatan pucat. Gadis kecil itu memegang dadanya sambil menarik nafas, tetapi macam tidak ada udara yang masuk.
“Serangan asma dia datang balik ni! Kena bawa pergi hospital sekarang!” kata Mak Jah panik sambil menangis.
Keadaan bertambah parah kerana mereka tidak memiliki kereta ataupun motosikal. Hanya basikal Aris dan beca Pak Samad sahaja yang terletak elok di luar rumah. Jalan di luar pula gelap dan jerebu sangat tebal sehingga tiang elektrik pun tidak kelihatan.
“Aboh kayuh beca. Aris suluh jalan kat depan guna lampu suluh!” kata Pak Samad yang terburu-buru dan panik
Pak Samad mengangkat Aina dan meletakkan anaknya itu ke dalam beca bersama Mak Jah. Aris mengambil lampu suluh tua serta naik basikalnya. Dia mengayuh basikal di hadapan beca bapanya.
Dalam kegelapan malam yang penuh asap kelabu, Aris menyuluh jalan yang kabur dihalangi jerebu itu. “Aboh, kiri sikit! Ada lubang!” jerit Aris sambil batuk-batuk.
Di belakang, Aris boleh dengar bunyi nafas bapanya yang sangat berat. Pak Samad mengayuh beca itu sekuat hati. Bunyi rantai beca berkeriut bersaing dengan bunyi batuk Pak Samad yang teruk. Udara malam yang sejuk dan tebal dengan bau kayu terbakar terasa seperti racun yang mencucuk-cucuk masuk ke dada mereka.
Selepas bertarung hampir setengah jam dalam jerebu malam, mereka akhirnya sampai di hadapan pintu kecemasan hospital daerah.
Jururawat terus datang ke arah mereka sambil menolak pengusung lalu mengangkat Aina masuk ke bilik rawatan kecemasan.
Aris dan bapanya terduduk di atas bangku simen di luar. Pak Samad menyandarkan badan di dinding hospital. Mukanya kelihatan sangat pucat. Tiba-tiba, Pak Samad terbatuk-batuk dengan teruk sebelum meludahkan kahak bercampur darah ke lantai.
“Aboh!” jerit Aris.
Doktor dan jururawat yang ada di situ terus meluru ke arah mereka dan mengusung Pak Samad masuk ke bilik rawatan.
Pada malam itu, Aris duduk seorang diri di ruang menunggu hospital. Lampu berkedip-kedip dan ada bau ubat bercampur dengan bau asap melekat pada baju Aris. Dia terasa sangat kerdil dan takut. Keletihan akhirnya membuatkan Aris terlelap.
Beberapa bulan berlalu. Musim jerebu akhirnya tamat apabila angin monsun tiba dan membawa hujan lebat berhari-hari. Kehadiran hujan mencuci udara, menyiram api-api liar di tanah seberang dan mengembalikan warna langit biru yang telah lama menghilang.
Hari pengumuman keputusan SPM pun tiba.
Aris berjalan ke dewan sekolah bersama bapanya. Pak Samad berjalan perlahan-lahan menggunakan tongkat kayu. Kesihatan Pak Samad tidak pernah kembali seperti dulu. Doktor beritahu, paru-paru Pak Samad sudah mempunyai parut kronik akibat jangkitan dan pendedahan kepada asap beracun terlalu lama. Pak Samad tidak boleh lagi melakukan kerja berat atau mengayuh beca.
Aina pula sudah berubat dan keadaan asmanya semakin terkawal, walaupun perlu sentiasa membawa inhaler ke mana-mana dia pergi.
Dewan sekolah riuh dengan suara murid dan ibu bapa. Cikgu Razali berdiri di hadapan pentas.
“Selamat sejahtera semua. Hari ni kita amat berbangga dengan pencapaian murid-murid,” jelas pengetua menggunakan pembesar suara.
“Walaupun tahun ni kita perlu menghadapi dugaan jerebu yang teruk dan sekolah perlu ditutup lama, namun seorang murid telah menunjukkan kegigihan luar biasa,” tambah pengetua lagi.
Pengetua menyemak kertas yang ada di tangannya. “Pelajar terbaik SPM SMK Pinggiran tahun ini telah berjaya memperoleh keputusan 10A, Aris bin Samad!”
Seluruh dewan bertepuk tangan riuh. Cikgu Razali tersenyum lebar sambil memandang Aris.
Aris tergamam. Dia memandang bapanya di sebelah. Pak Samad mengalirkan air mata gembira, mengusap bahu Aris dengan tangannya yang terketar-ketar.
“Pergi ambil slip kamu, nak. Bapa bangga dengan kamu,” kata Pak Samad dengan suara serak.
Aris naik ke pentas dan menerima slip keputusannya. Apabila dia melihat gred 10A itu, hatinya bercampur baur. Dia rasa bersyukur dan gembira kerana pengorbanan masanya pada waktu malam untuk mengulang kaji pelajaran di bawah lampu minyak tanah akhirnya berbaloi. Aris mendapat tawaran biasiswa untuk menyambung pelajaran di universiti.
Tetapi pada masa yang sama, Aris rasa sedih dan sepi. Kejayaan ini dibayar dengan harga yang mahal, iaitu kesihatan bapanya yang terjejas seumur hidup dan kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga miskinnya sepanjang musim asap itu.
Selepas selesai majlis, Aris berjalan keluar ke padang sekolah. Dia pandang ke atas. Langit pada hari itu sangat jernih dan biru. Pokok-pokok hijau berdiri segar ditiup angin lembut.
Aris tahu, fenomena jerebu mungkin akan berulang pada tahun-tahun akan datang jikalau manusia yang tamak di luar sana tetap membakar hutan demi wang. Namun, Aris sudah nekad. Dia akan belajar bersungguh-sungguh di universiti demi mengubah nasib keluarganya dan menjadi insan yang mampu mempertahankan alam sekitar. Dia harus membela orang-orang susah seperti keluarganya.
