AKU seorang guru.
Profesion ini jarang-jarang disebut dalam khutbah Jumaat, tidak disebut dalam lirik lagu pop, dan sering kali dilupakan ketika negara menyusun semula keutamaannya. Namun, aku berdiri setiap hari, di hadapan papan putih, menadah hati anak-anak yang belum tahu erti hidup.
Setiap pagi aku bangun bukan kerana cinta pada kerja, tetapi kerana rasa tanggungjawab yang mengikat di dada. Cinta itu datang kemudian, perlahan-lahan, dan kadangkala… tidak datang langsung.
Rutin aku seperti biasa. Masuk kelas, menanda buku, menyuruh murid-murid senyap. Tetapi dalam kebiasaan itu, ada kejenuhan yang kadang-kadang mengasak dada. Penat menjadi garang. Penat berpura-pura kuat.
Mereka memanggil aku “Cikgu Singa”. Ada yang mengatakannya di belakangku. Ada yang menulisnya di meja guru. Aku tidak kisah… atau aku fikir, aku tidak kisah.
Namun, antara ribuan wajah yang pernah singgah di ruang kelas dan ruang fikirku, ada satu kisah yang tak pernah luluh dimamah masa. Kisah seorang murid, yang namanya menjadi lekuk dalam denyut jantungku. Ia bukan sekadar cerita; ia adalah noktah permulaan pada perubahan jiwaku yang dulu keras, gopoh dan terburu-buru dalam membuat hukuman.
Faris. Aku masih ingat namanya, seperti kita mengingati nama-nama dalam sejarah yang menyakitkan. Anak lelaki itu tidak pernah kenal diam. Dia menyakitkan, baik dengan kata mahupun kelakuan. Pernah dia menggigit lengan kawannya, bukan sekali, tapi berkali-kali. Dan, yang paling aku tidak dapat lupakan, kisah dia menumbuk rakan sekelas bernama Danial sehingga pecah bibirnya, dan darah meleleh di seragam putih yang belum sampai seminggu dibeli.
Dia dihukum, diherdik, dan dibentak. Dan dia hanya diam. Seolah-olah setiap hukuman yang diperoleh, tidak sampai ke jiwanya. Seolah-olah semua hukuman itu cuma bayang-bayang yang melintas tanpa suara. Guru-guru kecewa. Marah. Buntu.
Tetapi, Tuhan itu Maha Bijaksana. Dia menegur bukan melalui suara halilintar, tapi melalui kisah yang terjangkau dek akal.
Mulanya aku tidak pernah mengenali susuk ini. Yang aku tahu, murid ini nakal, pemalas. Bermasalah. Dia punya kembar. Satu rahim, dua dunia. Seorang tenang, seorang ribut. Kembarnya, Fiqri. Bukan murid biasa. Dia murid yang dihormati, disayangi guru dan disanjung rakan. Setiap tahun, dia naik ke pentas menerima anugerah. Entah kenapa perwatakan mereka berbeza. Barangkali ada sumpahan yang mengikat mereka?
Aku tidak tahu. Waktu itu, aku tidak nampak Faris sebagai murid nakal. Aku nampak dia sebagai kanak-kanak yang sedang meminta tolong dengan cara yang dia tahu. Marah. Gigit. Tumbuk. Kerana barangkali dia belum pernah diajar cara lain.
Itu kesimpulan awal aku setelah mendengar cerita tentangnya daripada keluhan guru-guru sewaktu rehat di kantin.
Kisah ini bermula sebaik sahaja aku dilantik menjadi guru kelas 4 Wibawa, guru disiplin datang menghampiri. Bukan dengan senyuman, tapi dengan beban. “Awak perlu pantau Faris. Dia semakin sukar dikawal. Guru sebelum awak sudah angkat tangan.”
Aku angguk, bukan kerana bersedia, tetapi kerana tiada pilihan.
Hari pertama aku melihat wajahnya, wajah yang penuh muram, keras, mencabar. Dia datang ke kelas membawa bantal. Bantal. Di sekolah. Di dalam kelas.
“Apa benda ni, Faris?! Kau keluar dari kelas aku!” Aku herdik, dan kelas diam seperti kuburan.
Faris tidak menjawab. Dia hanya menarik bantalnya dan keluar dari kelas dengan muka tanpa rasa. Tanpa segan, dia bentangkan bantal di kaki lima, dan berbaring di situ seolah dunia bukan sekolah, seolah aku tidak wujud.
Apa masalah budak ini?
Itu baru kisah pertama. Kisah kedua, lebih dramatik, lebih menjengkelkan. Faris ponteng kelas.
“Lompat pagar.”
Aku cari dia seperti mencari anak hilang. Takut, cemas, marah… semuanya bercampur jadi racun dalam dada. Akhirnya, aku jumpa beg sekolahnya tersangkut di pagar, terkoyak. Petunjuk jelas, dia lari.
Dia ditemui di kebun sawit orang kampung. Tenang, seolah-olah ponteng itu haknya. Buku latihannya aku lempar ke mukanya. Tak ada kata, tak ada balasan. Dia hanya tunduk, diam, dan menerima herdikan aku seperti tanah menerima hujan panas. Tapi, yang paling membekas, bukanlah kelakuannya. Tetapi dialog yang keluar dari mulut aku sendiri.
“Faris… apa nak jadi dengan kau? Tengok adik kau. Pengawas! Anak harapan sekolah! Apa kau ni lahir dari perut mak kau dengan roh jahat?”
Aku sedar kelas hening. Tapi mulut aku terus berbisa.
“Jawablah! Atau kau bisu? Degil. Pemalas. Tak guna. Dan sekarang… bisu pula?!”
Waktu itu, aku lihat dia telan air liur. Mungkin cuba menahan amarah. Tapi matanya… matanya menentang aku seperti taufan yang enggan tunduk.
“Itu masalah akulah, cikgu. Jangan masuk campur. Bodoh.”
Kurang ajar!
Sepatah kata terakhir itu mampu membuat emosiku meledak. Panas menjulang naik ke kepala. Seluruh tubuhku menggeletar. Pantas tangan aku naik ke mukanya. Tanpa fikir. Tamparan itu bukan sekadar pada pipinya, tapi pada prinsip aku sendiri.
Dan seluruh kelas menyaksikan.
Guru lalu di koridor, sempat menarik aku sebelum lebih jauh aku terbenam dalam marah. Tetapi semuanya sudah terlambat. Sakitnya tamparan itu menghentak lebih dalam apabila kulihat dia berpaling dengan muka bengis dan menghilangkan diri.
Keesokan harinya, aku dipanggil ke pejabat sekolah. Guru besar tenang, tetapi wajahnya cukup untuk memberi khutbah tanpa suara. Dia tidak marah, tetapi diamnya cukup menggugat.
“Awak terlalu gopoh,” katanya perlahan.
“Seorang guru harus lebih dalam daripada api emosi,” tambahnya.
Aku menjawab, tanpa tapis, tanpa sedar, “Mulai hari ni, saya tak nak peduli lagi pasal budak tu. Apa nak jadi, jadilah. Dia hidup ke, mati ke… saya tak nak ambil tahu!”
Kata-kata itu… bila aku ulang sekarang, kedengaran seperti kutukan daripada seorang guru yang telah kalah dengan dirinya sendiri.
Hari itu juga, aku ditukar ke kelas lain. Jauh dari Faris. Jauh dari luka. Tetapi sebenarnya…, aku tidak pernah benar-benar jauh. Kerana Faris, biarpun tidak lagi berada dalam kelas aku, tetap hadir dalam fikiranku. Seperti suara yang tidak mahu mati.
Petang itu, sebelum pulang, aku terlihat Faris berjalan seorang diri keluar dari pagar sekolah. Kalau aku menurut amarah, aku akan biarkan saja dia berlalu. Ah, terserah dialah!
Tapi ada sesuatu dalam dada aku, bukan dendam, tapi rasa ingin tahu yang tajam dan dalam.
Tanpa banyak soal, aku mengekori dia. Diam-diam. Aku mengekori budak itu seperti bayang-bayang yang teragak-agak…, antara mahu tahu atau tak sanggup tahu.
Faris terus berjalan. Menyusuri simpang sempit, melewati kawasan semak yang sunyi, dan akhirnya berhenti di hadapan satu bangsal buruk yang hampir rebah dimakan usia. Aku berfikir, jika benar firasat aku, jangan-jangan… dia sedang terlibat dengan bahan terlarang?
Tanpa sempat aku timbang, aku serbu bangsal itu dengan niat marah dan curiga.
Tetapi apa yang menyambut mataku bukan najis dadah, bukan senjata, bukan perbuatan salah. Yang aku temui hanyalah tubuh kecil Faris, berbaring di atas sebuah kotak, seperti manusia yang ditinggalkan dunia.
Dan lebih mengejutkan… Apabila aku lihat tubuhnya, tak berbaju, aku terdiam. Belakang badannya penuh berbirat. Bahunya lebam, rusuknya seperti pernah ditendang. Luka itu belum kering. Luka yang tidak mungkin datang daripada gurauan budak sekolah. Luka yang hanya tinggal oleh tangan orang dewasa yang hilang rasa. Air mata aku bergenang tanpa sempat aku tahan. Fikir aku, mungkin dia baru bergaduh?
“Kenapa dengan badan kau ni, Faris?” Suara aku sedikit meninggi, antara panik dan tak percaya.
Dia membuka mata perlahan. Tidak nampak terkejut, cuma wajahnya… letih, marah dan kecewa.
“Dulu cikgu kata saya bisu. Jadi, kenapa saya perlu bercakap dengan cikgu?”
Ayat itu menikam aku seperti pisau yang aku sendiri hulurkan dulu.
Aku cuba menahan diri. “Apa kau buat ni salah. Mak ayah kau tahu tak kau tidur sini?”
Faris bangun perlahan. “Kenapa dia perlu tahu? Dia pun suka pukul aku. Sama macam apa cikgu buat.”
Aku terdiam. Kata-kata itu kedengaran seperti dendam yang dibungkus dalam reda.
“Lepas mak dan ayah aku bercerai… ayah jadi lain. Kalau kalah judi, aku jadi tempat dia lepaskan geram. Sebab itu aku malas balik. Kadang aku tidur sini. Kalau lapar sangat baru balik. Tapi biasanya, aku cuba tahan.” Tanpa dipinta, bibirnya sendiri membuka cerita.
Aku masih berdiri, tak tahu mahu duduk atau rebah.
Dia menyarung bajunya perlahan, dan menuju ke pintu bangsal.
“Kau nak ke mana?” aku menyoalnya.
“Balik.” Hanya sepatah. Dan dia hilang dalam kelam petang.
Malam itu aku tidak dapat melelapkan tidur. Aku ulang semula ayatnya dalam kepala, seperti kaset buruk yang tersekat dalam gegendang. Sejak bila aku jadi begini? Sejak bila aku menilai seorang anak daripada kelakuan, bukan daripada luka yang disimpannya?
Seminggu selepas itu, aku mula mencari jawapan. Perlahan-lahan, aku tanya guru kaunseling, rakan-rakan guru yang lebih lama. Dan jawapannya… membuatkan lutut aku longgar.
Benar. Faris anak daripada keluarga yang berpecah belah. Sejak Tahun 1, dia dan Fiqri dipisahkan. Fiqri dijaga ibu. Faris, ayah. Dan ayahnya… cukup bermasalah. Marahnya panas, tangannya ringan. Faris tak dibenarkan bercakap dengan Fiqri. Kalau tertangkap, dia akan dipukul.
Dan kes gigit murid itu? Rupa-rupanya… murid itu mengata Faris anak pungut. Anak tak sah taraf. Anak malang. Guru lain tahu tentang hal itu. Tapi aku? Aku yang baru dilantik, hanya melihat kesnya. Bukan kisahnya.
Sejak petang itu, sejak aku menyaksikan luka di belakang tubuh kecilnya, aku tahu… aku tidak boleh lagi menjadi guru yang hanya mengajar di papan putih, dan pulang apabila loceng terakhir berbunyi. Faris bukan sekadar murid, dia adalah peringatan daripada Tuhan, dalam bentuk manusia kecil yang penuh luka dan diam.
Tahun berikutnya, dia naik ke tahun enam, dan entah bagaimana takdir memutar semula jarum ke arah yang tak dijangka. Aku dilantik semula menjadi guru kelasnya, juga, guru Matematiknya. Aneh, bukan? Seakan Tuhan memberi aku peluang kedua. Bukan untuk membaiki dia, tapi untuk menebus diriku sendiri.
Sejak itu, aku memantaunya seperti seorang ayah, bukan guru yang bersyarat. Apabila kelas habis, aku mengajak dia duduk di meja kecil, kita ulang kira. Bukan sekadar tambah dan tolak, tapi kita bahagi kisah dan darabkan harapan.
Kadang-kadang aku belanja dia makan. Belikan dia baju. Bawa dia pulang, biar tidur di sofa rumahku. Apabila dia tak mahu pulang ke rumah ayahnya, rumah aku jadi tempat berteduh. Pendek kata, dia menjadi “anak angkat” aku. Tapi lebih daripada itu, dia menjadi anak rohani… yang datang tanpa rahim, tetapi tumbuh dalam hati.
Perlahan-lahan dia berubah. Bukan drastik. Tapi cukup untuk dilihat dan dirasai. Dia hadir ke kelas walau hanya untuk tidur. Tapi dia hadir. Pontengnya lenyap. Guru besar tersenyum. Guru-guru lain kagum. Mereka puji aku. Tapi yang aku tahu, pujian itu tidak layak untuk aku. Ia milik Faris yang sabar. Yang tak pernah berdendam walau dulu aku menamparnya di depan kelas.
Dan akhirnya, UPSR tiba. Keputusannya, 1A 4D dan A itu ialah subjek Matematik. Aku tunduk menangis di bilik guru. Bukan kerana sedih, tapi kerana sesal dan syukur yang bercampur seperti air mata dan peluh. Tapi kisah indah tidak semestinya berakhir bahagia. Hidup ini… bukan novel. Ia jarang-jarang sekali adil.
Beberapa tahun selepas itu, khabar itu sampai jua. Perlahan, tapi cukup menikam. Seorang rakan guru yang mengajar di sekolah menengah Faris menghantar mesej pendek padaku, namun kesannya panjang dalam dada. Katanya, Faris jatuh dari tangga lipat. Waktu itu, dia sedang membantu guru menggantung Jalur Gemilang.
Semangat patriotisme yang sepatutnya disambut dengan bangga, bertukar menjadi tragedi yang menyayat. Tulangnya retak. Dan saat itu, segalanya terbongkar. Doktor mengesahkan Faris menghidap osteoporosis tahap akhir. Tulangnya bukan sekadar rapuh. Rupa-rupanya, kesan dera sejak kecil merosakkan ketumpatan tulangnya secara perlahan-lahan.
Tuhan mengira segala luka. Dan akhirnya… dia dijemput kembali oleh penciptanya. Faris meninggal dunia di hospital. Aku sempat menziarahi jenazahnya. Dan untuk pertama kali, aku melihat ibunya dan Fiqri.
Ibunya menyalahkan ayah Faris atas segalanya. Katanya dia tidak menjaga kerana takut bertelagah dengan bekas suaminya. Dan tentunya kerana… kekangan kewangan.
Aku mendengar. Tapi jiwaku menolak untuk menilai. Kerana aku juga pernah menolak Faris. Bezanya, aku diberi peluang untuk menebus. Dan ibunya tidak.
Kini, sudah dua belas tahun berlalu.
Tapi aku masih ingat Faris, budak lelaki dengan luka di badan, dan senyuman penuh duka di wajah. Dia hadir waktu aku masih guru biasa. Dialah sebab aku jadi guru berjiwa. Dia pergi… sebelum sempat lihat aku menjadi guru disiplin yang tahu erti sabar dan sayang.
Faris, seandainya nyawamu masih terkunci dalam tubuh itu, aku ingin kau tahu… aku berterima kasih. Terima kasih kerana kau ajar aku erti sabar. Terima kasih kerana kau ajar aku erti sayang tanpa syarat.
Hari ini aku punya dua anak lelaki. Tapi tiada satu pun senyuman mereka yang menyamai senyuman dukamu. Dan jika selama ini murid berterima kasih kepada guru, izinkan hari ini…, guru yang mengucapkan terima kasih kepada anak muridnya.
Kerana pengajaran yang paling tulus, tidak datang daripada buku teks. Ia datang daripada jiwa yang terluka dan Faris, kau adalah pengajaran yang kekal terpahat, walau ia berbekas luka yang perih.
Meskipun satu dunia membelakangimu, ingatlah: gurumu pernah berdiri di belakangmu. dan hingga kini, aku masih mengenangmu.
