PISANG goreng itu tak jadi dijamah Zainab. Fikirannya menerawang jauh. Rangup pisang goreng yang baru diangkat dari kuali itu dengan bau harumnya yang menggoda selera, gagal memancing nafsu makannya. Adnan, suaminya yang sudah mengunyah lima keping pisang goreng tanpa henti, jeda ketika mengambil yang keenam.
“Kenapa dengan awak ni?” tegur Adnan, sebelum menyambung kunyahannya. Tak betah dia melihat Zainab yang tiba-tiba menjadi ‘anti pisang goreng’. Padahal dia yang beria-ia benar nak menggoreng pisang untuk juadah petang itu.
“Lia,” jawab Zainab, sepatah. Tangannya masih memegang pisang goreng yang sama, belum djamahnya.
Wajahnya tampak cengkung, sengaja dimaniskan. Baru saja baik demamnya, timbul semangat pula hendak menggoreng pisang tetapi ingatan mengenai Lia pula tiba-tiba mengusik perasaan di meja makan.
“Siapa? Lia? Awak teringatkan dia lagi ke?” Adnan menghamburkan soalan, selepas beberapa ketika. Dia cuba merungkaikan kekusutan yang menjerat minda isterinya, sehingga pisang goreng yang sepanas, seharum dan serangup itu langsung tidak dijamahnya.
“Lama dia tak datang, kan bang? Kegemaran dia ni. Saya siap buatkan sambal kicap untuk dia. Tapi itulah…,” Zainab kembali menggantungkan ayatnya.
Ah, ini yang tidak digemari Adnan. Ayat-ayat tergantung Zainab yang selalu membuatkan dia kena “sidai” dengan persoalan-persoalan dan sangkaan-sangkaan. Kali ini, dia menghentikan suapan.
“Awak telefonlah dia. Ajak dia minum sekali,” cadang Adnan, sambil memandang tepat wajah isterinya.
Di mata Zainab, terbayang susuk Lia, gadis berusia 26 tahun, berkulit putih dengan lesung pipit di pipi kirinya. Lia yang periang. Lia yang peramah. Lia yang suka mengusiknya. Zainab boleh bayangkan andai Lia ada bersama untuk minum petang hari ini, suasana di rumah mereka akan lebih meriah.
Zainab senyum, segera bangkit mencari telefon. Seketika kemudian dia kembali. Wajahnya sugul. Langkahnya longlai.
“Kenapa?” soal Adnan. Zainab menggeleng. Fahamlah Adnan akan isyarat isterinya itu.
“Tak faham saya. Dulu tak macam ni,” keluh Zainab, sambil meletakkan telefon pintarnya di meja.
“Sebelum ini, kalau saya telefon dia laju saja dia menjawab. Tak pun dia selalu telefon saya.”
“Awak tak cuba WhatsApp dia?” cadang Adnan lagi. Zainab menatal telefon pintarnya, menunjukkan paparan di skrin. Adnan geleng.
“Maksudnya dah lama jugalah awak tak berhubung dengan dia. Awak dengan dia ada masalahkah?” simpul Adnan, selepas melihat skrin telefon pintar isterinya.
“Mana ada bang. Kami baik-baik saja,” nafi Zainab sebelum mencicipi kopi yang mula sejuk. Hanya sekeping pisang goreng dijamahnya.
“Mungkin dia sibuk agaknya, nanti bila-bila senang awak telefon dia semula,” kata Adnan, memberi harapan sedangkan fikirannya terus memikirkan sesuatu.
Bagi Zainab, Lia menjadi teman berbualnya sejak sekian lama. Lia yang mengerti setiap perasaannya. Hampir setiap bulan gadis itu bertandang ke rumah mereka dan jika Lia datang, rumah mereka menjadi sungguh bernyawa.
Namun, sejak kebelakangan ini gadis itu langsung tidak bertandang ke rumah mereka.
Sibukkah dia? Sakitkah dia? Semua persoalan itu timbul di fikiran Zainab.
Hendak berkunjung ke tempat tinggal Lia, gadis itu memang awal-awal lagi tidak mahu memberitahu mereka tentangnya. Katanya, “Bukannya jauh pun. Kalau tak sibuk saya datang rumah mak.”
Kata-kata itulah yang menyebabkan Zainab enggan menyelidik lebih lanjut mengenai Lia. Dia yakin Lia pandai menjaga diri. Dia bersangka baik, mungkin bila Lia ada masa lapang, dia akan datang ke rumah mereka.
Zainab perhati gambar-gambar di dinding rumahnya. Ada antaranya terselit susuk Lia. Gambar-gambar terpilih menampilkan Lia bersama mereka sewaktu pengembaraan dan percutian mereka. Zainab senyum sendiri. Senyum melihat senyuman Lia yang bagaikan berada di depan mata, biarpun beberapa bulan sudah tidak berjumpa.
“Mak, nanti bila Lia dah besar biar Lia jaga mak tau.” Zainab teringatkan janji Lia pada suatu hari, ketika dirawat di hospital. Ketika itu, Lia mengalami demam teruk sehingga terpaksa bermalam di hospital. Zainablah yang bersengkang mata di hospital bagi memastikan Lia segera sembuh,
“Betul ke ni? Entah-entah bila dah besar nanti tak mahu jaga mak. Mak kan dah tua.” Zainab pura-pura merajuk dengan anaknya itu.
“Betul mak, Lia janji,” ikrar Lia sambil mengangkat tangan seperti anak-anak membaca ikrar sekolah. Senyum Lia menerbitkan lesung pipit di pipi kirinya, menimbulkan girang di hati Zainab.
Namun janji Lia kini bagaikan tak boleh dipakai. Entah mengapa Lia bertindak mendiamkan diri. Langsung tak menjawab apabila dihubungi. Hati Zainab semakin resah. Ke mana pula Lia menghilang?
“Abang!” Zainab buru-buru mencari Adnan.
Adnan yang sudah lengkap berbaju Melayu dan berkain pelikat terpinga-pinga.
“Kenapa? Awak nak ikut saya ke masjid ke? Malam ini ada ceramah,” jawab Adnan yang menggenggam kunci kereta di tangan kanannya.
“Saya rasa elok kita pergi cari Lia,” cadang Zainab, memandang tepat ke wajah suaminya. “Abang tak rasa apa-apa ke? Dah lama juga dia tak balik. Telefon tak berjawab. WhatsApp pun tak berbalas.”
“Awak nak saya cari dia di mana?” Balas Adnan, seakan tidak setuju dengan idea mengejut isterinya itu. Dalam fikirannya sudah membayangkan Kuliah Tafsir Ustaz Musa. Dia tidak mahu ketinggalan mengikuti kuliah malam ini.
“Kuala Lumpur!”
“Ah, mana awak tahu dia ada di sana? Pandai-pandai saja awak ni,” bantah Adnan.
“Jomlah bang. Saya tak sedap hati ni. Manalah tahu kalau ada apa-apa yang buruk berlaku pada Lia,” pujuk Zainab, wajahnya terus mempamerkan gusar.
“Awak tunggu sekejap, saya nak bersiap.”
“Tapi saya nak pergi masjid ni!”
“Tak apa, lepas tu kita terus cari dia.” Zainab melangkah ke bilik dengan perlahan, namun hatinya nekad. Lia perlu dicari.
Di dalam kereta, Zainab terus mengomel mengenai Lia. Adnan terus memandu tanpa mempedulikan luahan isterinya.
“Abang, cepat sikit bang. Takut tak sempat nak jumpa Lia,” Zainab memaut bahu Adnan.
“Awak ni, kan saya sedang memandu ni. Sabarlah sikit.” Adnan mengeraskan nada suara, terganggu dengan desakan isterinya itu.
“Tapi awak nak ke mana ni?” Zainab terus bertanya.
“Ke masjid dululah. Lepas itu baru kita cari dia,” Adnan terus memandu melepasi kereta yang bersimpang-siur. Kebanyakan kereta sudah mula menyalakan lampu. Langit yang merah, makin lama makin malap.
“Tapi bang, bila kita nak sampai?” Zainab terus mendesak.
Pemanduan Adnan mula memasuki jalan yang berselekoh. Menara masjid sudah mula kelihatan dari jauh.
“Awak boleh bersabar dulu tak. Saya tak boleh memandu kalau awak asyik begini,” tingkah Adnan, hampir saja dia termasuk ke laluan bertentangan. Hon kereta di hadapan menyedarkannya.
“Maaf bang. Saya tak senang hati selagi kita tak jumpa Lia,” akur Zainab, mula mengawal dirinya. Adnan terus memandu tanpa memberi sebarang reaksi.
Sampai di sebuah selekoh, sebuah treler kelihatan bersusah payah untuk membelok dan Adnan sedaya upaya untuk memperlahan kenderaannya, cuba untuk menjarakkan diri. Namun pada ketika itulah, Zainab membuka mulut.
“Abang, macam mana kalau…”
“Awak ni, tak habis-habis. Boleh tak awak diam sekejap. Awak tahu tak yang kita tak…”
Ketika itu juga kereta Adnan yang cuba mengelak treler yang sudah terlalu hampir, memasuki laluan bertentangan. Zainab terdengar omelan Adnan tetapi pada masa yang sama, matanya menangkap sinar lampu putih yang begitu terang, serentak dengan jeritan dan hon berpanjangan. Azan maghrib juga sayup kedengaran. Kemudian, semuanya berakhir.
* * *
“Lia.” Suara Zainab kedengaran lemah, terketar-ketar. Matanya terpejam.
“Lia.”
Seorang gadis berlari-lari anak mendapatkannya. Pakaiannya serba putih.
“Ya, Mak Nab,” jawab gadis itu, memegang dan mengelus tangan Zainab yang berkedut seribu itu dengan penuh mesra. “Mak Nab nak minum ke?”
“Kamu Lia, kan?” soal Zainab, tanpa membuka mata untuk memandang gadis itu. Hanya kepalanya menoleh ke arah suara gadis itu.
“Ya, saya,” jawab gadis itu teragak-agak, namun cuba meyakinkan wanita itu.
“Jom teman mak makan. Mak ada buat pisang goreng kegemaran kamu. Sambal kicapnya pun ada. Kamu nak tak?” pelawa Zainab, mempelawa gadis itu untuk minum bersamanya.
“Tak apalah err… Mak. Lia dah makan tadi,” tolak gadis itu, sopan.
“Tak baik begitu, Lia. Penat mak gorengkan. Ah, jemput ayah kamu sekali,” luah Zainab kegirangan.
Gadis itu terdiam. Dadanya berombak menahan sebak. Sebenarnya, tiada apa pun di depan gadis itu untuk dijamah. Mak Nab di sisinya, seorang perempuan buta yang berkerusi roda.
“Baik mak. Lia makan ya. Mak makanlah sekali,” kata Lia, pura-pura mengunyah pisang goreng sambil membuat bunyi mulut berdecap-decap. Zainab tersenyum puas.
“Mak tak makan sekali?”
“Dapat lihat anak mak makan pun, mak dah gembira,” akui Zainab. Gadis itu melayannya beberapa ketika sebelum meminta izin mengundur diri.
“Tak baik Alya, kau buat orang tua tu begitu,” sapa Yusnita, tatkala kedua-duanya berada di pantri.
“Salahkah kalau aku beri semangat kepadanya?” kata Alya sambil membasuh cawan di sinki.
“Tapi apa yang kau beri tu macam harapan palsu. Kasihan pula aku tengok, dia macam mengharapkan sesuatu daripada Lia tu,” jelas Yusnita, mengelap mulutnya dengan tisu selepas menghabiskan semangkuk mi rebus.
“Entahlah, aku cuba nak beri semangat kepadanya. Kesian pula aku, bila dia asyik sebut nama Lia, Lia, Lia,” luah Alya, menjelaskan dia terpaksa berpura-pura menjadi Lia, supaya wanita itu tidak meracau lagi. Sejak dimasukkan ke pusat jagaan itu, entah berapa kali dia menyebut-nyebut nama Lia.
“Kau tahukah apa puncanya?” soal Yusnita.
“Entahlah, kata warisnya. Mak Nab sebelum ini pernah berkahwin tetapi suaminya maut dalam nahas jalan raya tujuh tahun lalu. Akibat kemalangan yang sama juga Mak Nab hilang penglihatan dan ingatannya. Hanya nama Lia saja yang asyik disebutnya. Siapa Lia pun tak siapa tahu, mungkin seseorang yang istimewa di hati Mak Nab,” terang Alya.
“Mungkin anak dia agaknya,” pintas Yusnita sambil memicit-micit jarinya.
“Dia tak ada anak, tapi aku ada terdengar daripada warisnya, mereka memang tak mahukan anak. Tak mahu susah-susah menjaga anak, mahu nikmati hidup suami isteri sampai bila-bila, kata warisnya. Kauingat tak kisah pasangan yang mengembara seluruh Asia dengan motosikal berkuasa tinggi. Merekalah orangnya!” Alya bercerita panjang lebar, mengimbas kisah lalu Mak Nab. Yusnita melopong.
“Akhirnya bila Mak Nab diserang kanser, ketika itulah dia terasa bagai kehilangan sesuatu. Dia rasa hidupnya seperti kosong, mula membandingkan dirinya dengan pasangan lain yang bahagia dengan anak dan cucu. Sejak itulah dia mula berimaginasi mengenai Lia. Bimbang keadaan melarat, suaminya cuba mendapatkan rawatan psikiatri namun keadaan masih tidak berubah sehinggalah berlaku kemalangan itu,” jelas Alya.
“Kasihan. Agaknya baru sekarang dia terasa kehilangan kasih sayang seorang anak. Biasalah, bila semakin berusia, kita ingin rasa disayangi tetapi bila tiada yang mahu menyayangi…” kata-kata Yusnita diakhiri dengan linangan air mata.
“Kau tak reka cerita kan?” Tiba-tiba Yusnita mengajukan soalan, selepas menyeka air matanya.
“Betul. Ini cerita daripada kakak Mak Nab, Zalia.” Alya mengangkat tangan seperti berikrar.
“Apa kata kau tadi? Zalia? Jangan-jangan Lia tu kakak dia tak?”
Pucat muka Alya mendengarnya. Tak terfikir pula dia perkara itu. Nampaknya kisah Mak Nab menjadi semakin kompleks daripada yang disangka. Dia hanya mampu berdoa semoga Mak Nab segera pulih dan menemui ketenangan hakiki.
Sedang Zainab yang berada di kamarnya, terus terbayang-bayang kata-kata Adnan. Kata-kata akhir suaminya yang kini semakin menekan jiwanya, meskipun dirinya sudah menemui secebis bahagia, akhirnya bertemu Lia di sini.
“Awak tahu tak yang kita tak ada anak? Kita tak ada anak sebab awak. Sebab awak!”