Skip to content
Pamali
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Pamali
Pamali
Cerpen

Pamali

  • Halison Abdullah
  • 6 Januari 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 256
  • 3.7

ENTAH, kenapa malam itu dia tidak dapat melelapkan mata? Kata-kata Tok Yah Bidan pada siang tadi cukup membuatkan dadanya berdebar. Fikirannya berkecamuk dan mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Bunyi dengkuran suaminya yang selesa lena di sebelahnya, seolah-olah tenggelam di sebalik kerisauan yang mencengkam dirinya. Dia menjeling cemburu kepada suaminya yang sedang berdengkur umpama bunyi enjin motosikal Vespa lama arwah bapa mentuanya.

Lantas dia bingkas bangun. Mengampu sedikit perutnya yang semakin memboyot itu. Direnungnya jam yang tergantung di dinding bilik yang sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Di luar masih kedengaran bunyi burung tukang yang sayup-sayup tidak jemu bertukang mengusik hening malam. Seketika kemudian dia terdengar seperti ada sesuatu bergerak di atas bumbung beratap zink rumahnya. Tidak lama kemudian bunyi objek itu bergolek dan jatuh ke tanah.

Dia sekadar menarik nafas panjang apabila menyedari bunyi itu angkara sekumpulan kelawar yang datang mengambil buah jambu bola yang sedang masak ranum di halaman belakang rumahnya. Perasaan gerun dengan bunyi-bunyi aneh di persekitaran pada waktu dinihari begini ada kalanya menjengkelkan. Walaupun sudah menjadi kebiasaannya sejak berpindah ke daerah suaminya, ada kalanya menakutkan juga. Kini genap setahun dia menjadi sebahagian daripada penduduk daerah sepi ini. Daerah yang jauh daripada hiruk-pikuk yang membingitkan. Daerah yang tiada pencakar langit menujah awan. Daerah yang pernah digazet sebagai tempat paling bahagia untuk didiami di negara tumpah darahnya.

Dia membuka pintu bilik dan terus ke dapur. Lalu menuang segelas air, kemudian meneguknya bagi menghilangkan. Rasa dahaga dan gundah yang kian bersarang di benaknya berlalu seketika. Berhari-hati dia melangkah menuju ke ruang tamu. Lalu duduk menyandar pada kerusi malas dalam samar-samar cahaya yang datang dari ruang dapur. Sengaja dia diam di situ. Jiwanya kembali tidak keruan, teringat akan butir-butir bicaranya dengan Tok Yah Bidan pada siang tadi.

Dia ke rumah Tok Yah Bidan atas permintaan ibu mentuanya. Semuanya kerana dia mengadu perutnya terasa kurang selesa. Kata mentuanya, kemungkinan kedudukan janin dalam perutnya tidak betul dan memohon agar Tok Yah Bidan membetulkannya.

“Perempuan mengandung ini ada banyak pantang larangnya,” seusai memegang dan mengusap-usap perutnya, Tok Yah Bidan mula menyebut larangan buat perempuan mengandung.

“Suami kamu itu, suka memancing bukan? Kamu pula sedang sarat mengandung anak sulung, jangan biarkan suami pergi memancing. Lagi satu, jangan menyeksa binatang!” matanya ditikam pandang oleh Tok Yah Bidan.

Bertambah seram dirinya mendengar kata-kata bidan tersebut. Hobi memancing suaminya jika dilarang boleh menjadi punca pertengkaran. Tambah-tambah jika menghalangnya. Ah, berat permintaan bidan ini! Jiwanya gundah.

“Jangan pula kamu lupa nanti untuk buat lenggang perut. Kedudukan bayi dalam kandungan ini kena diperbetulkan. Benda di dalam perut kita bukan tahu apa yang akan berlaku. Kamu itu pula banyak bergerak ke sana ke sini. His, susah nanti untuk beranak, jika kedudukan bayi dalam perut itu tak betul!” semakin banyak pesanan Tok Yah.

Terkebil-kebil dia memandang wajah tua bidan kampung itu. Hendak mengia pun tidak, untuk menggeleng pun tidak berani. Sekadar mengangguk seperti burung belatuk. “Insya-Allah Tok Yah, jika perkara lain yang berkaitan dengan diri saya, boleh dijaga, tetapi jika pasal suami saya itu, susah sikit. Dia memang seorang kaki pancing,” dia kerenyih menatap wajah Tok Yah. Rasa bersalah yang menebal. Maklumlah hendak menegur suami yang sudah sebati dengan aktiviti memancing sejak zaman kanak-kanak lagi. Ketika remaja lagilah galak. Sehinggalah ketika ini, memancing sudah mendarah daging dalam diri suaminya. Eh, dia juga kadangkala terikut juga! Sama-sama menunggu batang pancing diragut ikan. Seronok.

“Kamu tahu, suami yang suka memancing ketika isterinya sedang mengandung akan menyebabkan anak kamu nanti boleh jadi sumbing bibir.” Sambil tangan Tok Yah menunjal- nunjal giginya yang sudah rongak teruk itu.

Dia mati kata. Tiada hujah untuk menyangkal.

“Jika suami kamu menganiaya binatang, kaki atau tangan anak kamu yang lahir boleh menjadi tidak sempurna. Tidak berjari atau kudung tangan dan kakinya kelak!” tegas.

‘Allah! Kepercayaan apakah ini?’ Dia bermonolog. Namun hadir juga gerun yang menyirap ke dadanya. Jantungnya seolah-olah berdenyut kencang.

Udara malam yang sejuk dan keras itu menambah lagi perasaannya yang bergelora itu. Selama ini dia tidak pernah dimomokkan dengan cerita begini. Apakah benar kata-kata Tok Yah Bidan itu? Dia datang dari bandar dan tidak pula didedahkan dengan perkara sebegini oleh ibunya. Sekarang dunia moden. Teknologi makin canggih. Masih ada lagikah kepercayaan sebegini?

Dia mula diselubungi ketakutan kerana suaminya, Rizal gemar benar memancing sejak dia disahkan mengandung. Hobi suaminya sejak dahulu itu tidak pernah dihalangnya. Pantang ada hari cuti, suaminya akan pergi memancing bersama-sama rakannya. Kadang-kadang hingga dua tiga hari baru pulang dengan hasil tangkapan yang banyak.

Ah, berat ini! Perlahan-lahan dia bangun untuk mengambil wuduk dan mengerjakan solat sunat agar Allah SWT tenangkan hatinya yang sedang gundah gulana ini. Lama dia bersujud.

“Sayang, bangun. Kenapa tidur di sini? Bangun. Solat subuh!” suara suami tercinta lembut menyapa kuping.

Terkejut dia. Sudah subuh rupanya. Sampai ke pagi, rupanya dia terlena di ruang tamu dengan berbungkus kain telekung sembahyang.

“Hari ini abang kena pergi kerja awal. Ada perkara yang perlu disiapkan,” Rizal bersuara sambil bergegas ke bilik air. Kalut sungguh nampaknya.

Dia sedar suaminya seorang pekerja yang gigih. Bekerja di salah sebuah kilang pemasangan kenderaan di Kulim. Kini terpaksa berulang-alik agak jauh ke tempat kerja selepas memutuskan untuk tinggal di kampung halaman sejak ayahnya meninggal dunia. Kemudian berdikit-dikit, suaminya membina sebuah rumah berdekatan dengan rumah ibunya. Sebagai anak lelaki sulung, Rizal rasa bertanggungjawab menjaga ibunya yang tinggal berdua dengan adik perempuan yang masih bersekolah. Sebagai isteri pula, dia dengan rela hati mengikut suami tercinta tinggal di kampung. Mereka meninggalkan kehidupan di bandar yang selama ini menjadi nadi kehidupannya.

Seusai suaminya keluar bekerja pada awal pagi itu, dia bergegas keluar rumah. Dia perlu menyelesaikan perkara yang begitu mengganggu perasaannya sejak semalam. Kedinginan pagi itu tidak dihiraukannya. Angin yang lembap mengelus-elus mukanya. Jalan di hadapan rumahnya masih lengang. Kedengaran cuma gelak tawa dua tiga orang kanak-kanak berlumba basikal untuk ke sekolah.

Dia terus melangkah. Tidak dihiraukannya ketika kaki memijak buah-buah jambu biji masak yang bertaburan di atas tanah sisa dimakan kelawar. Ada sebiji dua buah jambu bola masak yang datang entah dari pokok siapa, dilepaskan oleh sang kelawar di halaman rumahnya semalam. Terliur juga melihat buah jambu bola yang masak merah menyala itu. Cepat-cepat dia berjalan ke belakang rumah yang menempatkan stor barang-barang memancing dan barang-barang berkebun suaminya. Dia perlu membawa keluar semua peralatan memancing yang terdapat di situ.

Semua peralatan memancing suaminya dikumpulkan di suatu sudut ruang tamu. Lega rasa hatinya. Cuma menunggu Rizal pulang dan dia akan melepaskan semua yang terbuku di dadanya sejak semalam. Biar suaminya tahu perempuan mengandung ada banyak pantang larang dan perlu dijaga hati dan perasaan.

“Shimah, mak sudah cakap dengan Tok Yah Bidan. Minggu depan kita buat kenduri lenggang perut kamu. Perut kamu pun sudah masuk tujuh bulan,” Mak Ngah Piah, ibu mentuanya muncul sebaik sahaja dia selesai mengalas perut dengan bihun goreng.

“Baik, mak. Nanti abang Rizal pulang saya maklumkan.” Masih relevankah adat ini untuk dijalankan? Berkerut dahinya memikirkan kata-kata ibu mentuanya. Adakah perbuatan ini dicemari unsur-unsur adat ini boleh menyebabkan syirik kepada Allah SWT?

Apa yang bermain di fikirannya seolah-olah dapat dibaca oleh ibu mentuanya yang sedang menghirup kopi panas yang dihidangkan olehnya sebentar tadi.

“Kenduri lenggang perut ni penting untuk memohon kesejahteraan sepanjang kamu hamil. Semuanya untuk memastikan kedudukan bayi kamu akan berada di tempat yang betul. Tujuannya untuk memudahkan bersalin nanti. Kita ikhtiar bukan guna ilmu-ilmu pelik pun,” lembut suara emaknya menjelaskan.

Dia mula faham.

“Sudah menjadi adat di sini. Perempuan yang mengandung sulung akan diadakan acara lenggang perut,” sekali lagi Mak Ngah Piah menegaskan tentang peri pentingnya kenduri lenggang perut perlu diadakan. Adat itu telah diamalkan sejak dari dahulu lagi. Jika tidak dijalankan, bimbang terjadi sesuatu pula. Tambahan pula menantunya Shimah mengandungkan cucu sulungnya yang selama ini ditunggu dengan penuh sabar oleh mereka sekeluarga. Dia mahu memastikan semuanya dalam keadaan selamat.

Petang itu di bawah redup rimbun pohon manggis di halaman rumah, dia berpeluang bersembang dengan suaminya. Usai solat asar, dia melihat Rizal bersila kemas sambil menghirup udara petang yang segar di atas pangkin, melepaskan penat bekerja seharian. Rizal pulang awal petang itu kerana paginya dia menghadiri kerja luar di lapangan. Pangkin yang dibina di bawah pokok manggis itu bertiang kayu dan berlantaikan buluh. Kemas dan rapi buatannya. Dia membancuh kopi panas dan menggoreng cucur pisang nangka yang ditebang oleh suaminya dua hari lepas. Minuman yang beralas dulang tembaga itu dihidangkan kepada suaminya. Shimah mula merungkaikan segala yang terbuku di dada.

“Abang, saya mohon pada abang jangan pergi memancing buat masa sekarang, boleh? Semua peralatan memancing abang saya sudah kumpul dan abang jangan guna buat masa sekarang,” tegas benar nada suaranya melarang suaminya memancing.

“Patut la abang nampak barang-barang memancing ada di ruang tamu. Jangan dibuang barang-barang itu!” rupa-rupanya suaminya sudah melihat semua perbuatannya.

“Tok Yah Bidan cakap tidak elok jika abang asyik memancing. Risau bayi kita nanti akan cacat …,” tidak tergamak dia meneruskan ucapan Tok Yah Bidan kepadanya.

“Awak itu jangan ikut perasaan sangat. Percaya perkara karut-marut macam itu!” suara suami masih mesra.

“Abang cakap mudah, yang mengandungnya saya! Kita tunggu hampir lima tahun untuk dapat anak sulung ini. Saya risaukan bayi kita dalam kandungan ini,” Bergetar suaranya menahan amarah dengan sikap sambil lewa suaminya. Sebak.

Rizal diam sahaja.

“Tok Yah Bidan cakap sudah dua tiga orang bayi yang lahir kena badi akibat perbuatan ayah mereka ….”

“Sayang, dengar sini. Awak pun sudah jumpa doktor dan doktor sahkan bayi kita sihat. Tidak ada masalah. Cuma tunggu hari bersalin sahaja. Jangan risau semua kata-kata Tok Yah Bidan. Jatuh syirik nanti. Semua kejadian atas kuasa Allah SWT. Sudah, kita banyakkan berdoa,” kata-kata Rizal tegas,

Dia kembali tenang. Segala gelodak jiwanya yang berkumpul sejak semalam mula terungkai. Lega hatinya kerana suaminya amat memahami.

“Minggu depan genap kandungan saya tujuh bulan. Mak abang hendak adakan kenduri lenggang perut. Kena buatkah?” Dia mahukan persetujuan daripada suami tercintanya.

“Kita ikut sahaja demi menjaga hati orang tua. Memang adat melenggang perut ini turun-temurun diadakan di kampung ini. Ambil yang positif sahaja. Kita anggap sebagai kenduri kesyukuran dan kesejahteraan untuk sayang dan anak kita yang bakal lahir nanti,” kata putus daripada Rizal.

Shimah berasa ketenangan sedikit sebanyak meresap ke dalam jiwanya. Segala kekacauan yang melanda dalam dirinya yang sedang berbadan dua itu kian menghilang. Hilang ditelan kasih sayang suami yang sangat memahami. Suami yang banyak memberi semangat buatnya.

Petang kian ke penghujung. Cahaya matahari yang makin kendur mencuri masuk melalui celah-celah dedaunan manggis dan ranting-ranting pokok kayu yang berhampiran. Di langit kelihatan burung-burung terbang berkawan membentuk seperti dawai pendek yang melengkung mahu pulang ke sarang. Warna jingga pada kaki langit di ufuk barat kian kelihatan.

Shimah baru tersedar suaminya Rizal telah lama masuk ke dalam rumah. Tinggal dia keseorangan di atas pangkin ditemani dulang dan cawan kopi serta piring pisang goreng yang telah kosong. Dengan perlahan dia bangun dari pangkin dan melangkah ke dalam rumah dengan hati yang tenang sambil menatang dulang.

Tiba hari kenduri melenggang perut. Rumahnya penuh dengan jiran tetangga. Makanan untuk tetamu sudah siap dimasak. Orang yang paling sibuk ialah ibu mentuanya. Tok Yah Bidan dijemput agar datang lebih awal. Segala persiapan untuk melenggang perut sudah tersedia. Kain tujuh helai, sebiji buah kelapa yang telah dikupas, sedikit beras, damar dan tepak sirih yang diisi dengan sirih pinang telah disusun dengan teratur. Dia memakai pakaian baharu dan cantik seperti yang disuruh oleh ibu mentuanya. Seketika kemudian dia melihat tujuh helai kain dengan tujuh warna itu dibentangkan.

Dia disuruh oleh Tok Yah Bidan agar berbaring di situ. Kemudian perutnya diurut perlahan-lahan dengan minyak urut. Selepas itu, sebiji kelapa yang telah dikupas diguling secara perlahan di atas perutnya secara bolak-balik dari atas ke bawah sebanyak tujuh kali. Kemudian buah kelapa dibiarkan bergolek-golek sehingga berhenti dengan sendiri.

Tok Yah Bidan hanya memerhatikan mata atau posisi muka buah kelapa tersebut.

“Hah, mata buah kelapa menghadap ke atas! Bakal bayi lelaki ini.” Mak Ngah Piah tersenyum lebar apabila Tok Yah Bidan menyatakan cucu sulungnya yang bakal lahir adalah lelaki.

Kemudian, dia melihat Tok Yah Bidan memegang hujung lapisan kain yang paling atas dengan kedua-dua belah tangannya lalu mengangkat sedikit hujung kain tersebut dengan tujuan untuk melenggang perutnya. Setelah itu, Tok Yah Bidan menarik kain tersebut sehelai demi sehelai secara perlahan hingga semua lapisan kain terlepas dari bawah pinggangnya. Kemudian lapisan kain yang paling bawah berserta buah kelapa, beras, damar, sirih pinang yang terdapat di dalam tepak sirih semuanya diserahkan kepada Tok Yah Bidan. Sepanjang melakukan ritual tersebut, dia mendengar Tok Yah Bidan membaca doa dan diselang-seli dengan jampi dan mantera yang dia sendiri kurang memahaminya.

“Shimah, ingat pesanan Tok Yah. Jangan biarkan suami kamu pergi memancing! Elakkan juga daripada menjerat binatang atau menyeksa binatang. Jaga kandungan kamu itu baik-baik,” Tok Yah Bidan mengulang-ulang pantang larang tersebut kepadanya.

Dia mengangguk.

“Kamu nanti hendak bersalin di rumah atau hospital?”

“Di hospita,l Tok Yah. Abang Rizal mahu saya bersalin di hospital. Lebih selamat jika apa-apa berlaku kerana di hospital ada doktor pakar Tok Yah.”

“Apabila kamu sudah bersalin nanti, panggillah Tok Yah untuk mengurut. Ingat itu!” Pesan Tok Yah Bidan sambil membetulkan selendang kuningnya yang berbunga merah. Sengih Tok Yah Bidan menampakkan giginya yang rongak. Sedikit makanan dibungkus untuk Tok Yah Bidan. Tok Yah Bidan beredar selepas Rizal menyerahkan upah melenggang perut dan segala ritual yang dijalankan pada hari itu.

Shimah dan suaminya Rizal bersyukur selepas cukup tempoh dia mengandung selama 9 bulan 10 hari, mereka dikurniakan seorang bayi lelaki yang comel. Cukup sifat dan sihat tubuh badan. Bersalin dengan selamatnya di hospital kerajaan. Ritual tradisional melenggang perut memberi pengalaman baru buat Shimah. Cuma dia tertanya-tanya adakah adat ini masih relevan pada zaman sekarang yang ternyata maju dengan arus teknologi dan sains?

“Sayang, abang dapat ikan besar!”

Lamunannya dikejutkan oleh suara suaminya. Ikan itu ditunjukkan kepada bayi mereka yang sudah berusia enam bulan. Bayi itu ketawa mengekek apabila diacah.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Lelaki, Memikul Senja
Puisi

Lelaki, Memikul Senja

  • 22 Disember 2025
  • 121
  • 3.7
Denai Paksi
Cerpen

Denai Paksi

  • 20 Ogos 2025
  • 320
  • 5
Langit Terbelah
Cerpen

Langit Terbelah

  • 9 Ogos 2023
  • 247
  • 4
ݢرابق کهيدوڤن
Puisi Moden

ݢرابق کهيدوڤن

  • 20 April 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP