DALAM enak beristirahat, rumah Daud didatangi oleh dua orang tetamu yang tidak diundang. Mereka berpakaian serba hitam dan memakai serkup muka berwarna gelap. Tingkah mereka berbaur jahat. Terhendap ke kiri dan ke kanan. Mahu meninjau persekitaran kawasan. Terjengkek-jengkek seperti jembalang. Setelah pasti tiada orang yang sedar akan keberadaan mereka, dua orang yang mencurigakan itu terus menaiki anak tangga untuk mendapatkan pintu rumah. Dengan kemahiran dan pengalaman yang mereka ada, selak pintu rumah Daud diumpil dengan mudah dengan menggunakan pemutar skru. Maka, daun pintu yang sudah lagi tidak berselak itu terkuak sedikit dengan sendirinya.
Tanpa melengahkan masa, salah seorang daripada mereka yang berbadan gempal menarik daun pintu yang sudah sedikit terbuka. Lantas tersingkaplah pandangan akan bergelimpangan sanak saudara Daud yang tidur di ruang tamu rumahnya. Pada ketika itu, kedengaran dengkuran saling bersahut-sahutan antara satu sama lain menandakan bahawa kehadiran tetamu tak diundang itu tidak disedari.
“Tuan rumah, kami datang hendak menyamun,” kata salah seorang daripada mereka yang berbadan kurus dengan nada yang perlahan.
“Bodoh! Hendak menyamun pun kau beri salam?”
“Bertenanglah gemuk, mereka bukan sedar kita sudah pecah masuk rumah ini. Yang kau nak gelabah sangat apa pasal?”
“Sedar ataupun tidak, mana kau tahu? Buatnya tak menjadi, nahas kita kena ganyang. Sudah, kita selesaikan kerja ini dengan cepat.”
Tanpa gangguan dan halangan, dua orang penyamun itu mula menjalankan tugas mereka dengan senang hati. Dari ruang tamu hingga ke dalam bilik pengantin mereka geledah. Habuan yang cukup memuaskan lagi lumayan. Hasilnya, empat guni beras bersaiz besar berjaya dipenuhi oleh dua orang penyamun dengan barang kemas, barang hantaran, wang sedekah, dan belanja emas kahwin.
***
Setahun kemudian,
Warung kopi yang terletak di pinggir sungai meriah dikunjungi pelanggan. Kebanyakan pengunjungnya sudah berumur senja. Ada yang sedang bermain dam haji, ada yang sedang berkaraoke lagu dangdut, malah ada yang sekadar bersembang-sembang kosong. Kampung Titi Patah, tempat berlakunya kisah ini. Sebuah kampung yang sedang hangat dengan kes kecurian dan pecah masuk rumah pada malam kenduri kahwin.
“Pak Pin oi, Rumah Senah janda Jamil tu, ada pencuri masuk pula semalam. Sudah la baru sahaja lepas kenduri. Malam itu juga penyamun masuk.”
“Kena lagi? Minggu lepas, rumah Pak Ngah Gendut. Ini tak boleh jadi dah ni. Sejak bermula cuti sekolah pada tahun ini, sudah tiga buah rumah mereka pecah masuk.”
“Aku pun sudah pening Pak Pin. Bila aku beritahu Tok Penghulu, dia buat tak tahu. Dia hanya sibuk dengan projek penternakan lintah. Yang masalah kita ini, dia hanya buat pekak.”
“Kira apa dengan Tok Penghulu tu? Sudah la nak pergi buat aduan kita kena ikut waktu pejabat, datang dari pekan mana-mana pun aku tak tahu.”
“Kalau dia tak ambil tahu tentang masalah ini, kita satu kampung kena bersatu tangkap penyamun tu. Tengok Daud dengan bininya, terus jadi gila selepas ada orang pecah masuk rumah depa.”
“Betul! Aku setuju sangat. Sama seperti kes yang terjadi di rumah Senah semalam. Daud rugi banyak bila duit yang orang sedekah sekali dengan hantaran-hantaran pengantin, penyamun sapu.”
“Kalau hilang macam itu sahaja tak jadi masalah, Pak Pin. Orang kampung kita semuanya jenis mulut puaka. Masing-masing bawa mulut yang Daud tak boleh nak dilangsaikan hutang kerana mereka meminjam dengan adik beradik untuk buat kenduri. Sebab itu mereka gila.”
“Sudah, naik seriau aku apabila bincang bab ini. Hujung bulan nanti, aku pula yang hendak buat kenduri. Esok kita pergi rumah Tok Penghulu sekali lagi untuk beritahu kepada dia tentang masalah kita. Dia peduli ataupun tidak, aku tak kisah. Janji perkara ini kena selesai juga.”
Kes penyamun pecah rumah pada malam kenduri kahwin; masalah itulah yang sedang menyelubungi benak kesemua orang Kampung Titi Patah. Dari tahun lepas lagi, kes ini sudah menjadi buah mulut orang kampung. Namun, semuanya kembali reda setelah berakhirnya musim kenduri kahwin. Tetapi kes pecah rumah ketika kenduri kahwin muncul kembali untuk menyelubungi bakal tuan rumah pada tahun ini.
Keesokan harinya, Pak Pin dan dua orang lagi sahabatnya pergi berjumpa dengan Tok Penghulu tepat pada waktu pejabat bermula.
“Assalamualaikum Tok Penghulu. Assalamualaikum. Kami datang mahu buat aduan.”
“Waalaikummusalam. Saya baru hendak keluar ke pejabat daerah tadi. Mujur hangpa semua datang awal, masuk-masuk.”
“Kalau nak diikutkan, selepas solat subuh tadi lagi kami mahu datang ke mari. Tetapi kena ikut waktu pejabat, pukul lapan tepat kami sampai.”
“Amboi, Pak Pin. Perli saya nampak. Janganlah cakap begitu, saya ini perlu jadual kerja. Ada apa Pak Pin dengan yang lain datang ke pejabat saya pagi-pagi ni? Nak turut serta masuk program ternak lintah tu ka? Elok la, ada lagi tiga tempat kosong.”
“Bab projek lintah tu, nanti kami masuk. Sekarang ni, kami ada hal yang lagi mustahak. Kampung kita tengah kacau-bilau dengan kes penyamun malam pengantin, Tok Penghulu. Tok Penghulu tolonglah hidupkan semula rukun tetangga dekat kampung kita ni. Harap-harap penyamun tu tak berani lagi hendak buat kecoh.”
“Saya sibuk sikit sekarang ni. Seminggu sekali, saya perlu ke ibu kota. Ada seminar kepimpinan di sana. Atas kuasa yang ada pada saya sebagai penghulu kampung ini, saya lantik Pak Pin untuk menjadi ketua Ahli Jawatankuasa Penangkap Penyamun Malam Pengantin. Setuju kalau begitu? Kalau setuju, izinkan saya bersiap-siap dahulu. Kerana saya perlu ke pejabat daerah segera ni.”
Pak Pin yang mendengar kata-kata Tok Penghulu menggaru-garu kepalanya. Mana tidaknya. Dia yang adukan masalah, dia pula yang dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Dengan perancangan yang singkat antara Pak Pin dan rakan-rakan, tular berita bahawa orang kampung perlu berkumpul di bilik gerakan. Kelihatan ramai orang kampung ke situ pada keesokan harinya. Mereka bersiap-siap mendirikan khemah di hadapan bilik gerakan dan menyusun kerusi di bawah khemah yang telah siap dipasang. Kaum ibu dilihat lebih sibuk memotong bawang untuk majlis jamuan makan pada malam tersebut manakala kaum bapa pula hanya menghabiskan masa mereka untuk bersembang dan menghisap rokok. Setelah selesai semua persiapan untuk perjumpaan pada malam itu, kini tibalah masanya untuk orang kampung berkumpul bagi menyelesaikan masalah penyamun yang datang merompak pada malam kenduri kahwin.
“Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Pada malam ini, tujuan kita berkumpul secara tergempar adalah untuk mencari jalan penyelesaian masalah penyamun yang suka menyamun pada malam kenduri kahwin. Secara rasminya pada pagi kelmarin, Tok Penghulu sudah melantik saya sebagai ketua Ahli Jawatankuasa Penangkap Penyamun Malam Pengantin. Oleh sebab itu, jika ada sesiapa antara kita yang hendak menyumbangkan cadangan bolehlah bangun dan ajukan cadangan tersebut.” Pak Pin memulakan majlis dengan ucapan pembukaan dan pengenalan.
Selepas dia selesai bercakap, salah seorang dalam kalangan penduduk kampung bangun dan mengangkat tangan.
“Tuan pengerusi, saya dah lama perhatikan kes ini. Sebelum ini, tak pernah berlaku pun kes pecah rumah malam kenduri dekat kampung kita. Kalau boleh kita tanya mangsa yang pernah disamun pada malam kenduri kahwin. Boleh jadi mangsa-mangsa ini tahu bayangan rupa penyamun-penyamun ni semua.”
“Terima kasih kepada yang bertanya. Setahu saya, kes semacam ini pertama kali berlaku kepada keluarga Daud dengan bini dia. Kita semua tahu yang kes samun malam kenduri kahwin ini sememangnya serius sehingga Daud dengan bini dia jadi gila. Kata orang kampung, penyamun ni pakai baju pengantin setiap kali ketika dia menyamun. Walau bagaimanapun, kita sebagai orang kampung tak pernah tanya Daud dengan mangsa-mangsa yang lain tentang perkara ni. Tetapi perjumpaan pada malam ini membuktikan bahawa kita sebenarnya sangat mengambil berat tentang kes samun yang terjadi kepada keluarga Daud.”
“Pak Pin ambil berat sebab Pak Pin nak kenduri kan? Tahun lepas awat Pak Pin tak bising pasal kes ni dekat Tok Penghulu? Tahun lepas cuma projek ternak lintah yang Pak Pin ambil tahu. Bila projek ternak lintah tu tak menjadi, barulah Pak Pin nak bising pasal penyamun malam kenduri kahwin ni kan?”
“Itu cerita lama. Saya bukannya apa, sebagai orang yang rapat dengan Tok Penghulu, saya cuma nak bantu orang Kampung Titi Patah ni saja. Apabila projek ternak lintah tak menjadi tahun lepas, muncul pula isu samun dalam kampung kita. Kebetulan pula kenduri saya ditakdirkan pada tahun ni. Bukan saya saja-saja terlepas pandang.”
“Tak menjadi ataupun Pak Pin sengaja buat-buat alasan helah bela diri? Kolam-kolam yang terbiar di tepi kampung Pak Pin tu bahaya kalau tak dijaga elok-elok. Boleh menyebabkan kes lemas, demam denggi, sarang maksiat dan lain-lain lagi.”
“Amboi Pak Lang Darus. Tepi kampung Pak Lang pun apa kurangnya. Anak bongsu saya kena tangkap dengan polis kes ponteng sekolah sebab mandi dalam kolam terbiar Pak Lang. Macam ni la semua, kita tumpu dulu fasal kes penyamun malam kenduri ni. Pasal projek lintah tu, kita bincang kemudian-kemudian dengan tok penghulu. Bukan apa, hujung minggu ni rumah Cikgu Rosnah pula nak kenduri. Sebagai seorang ibu tunggal, kita ada tanggungjawab untuk sama-sama bantu dia.”
Perjumpaan pada malam itu dengan orang kampung berlarutan sehingga lewat malam. Isu kes kecurian dan projek ternak lintah kelolaan Pak Pin pada tahun lepas paling mendapat tempat dalam kalangan penduduk kampung yang hadir. Sehinggalah Pak Pin mengajukan tentang hal kenduri di rumah Cikgu Rosnah yang akan diadakan pada hujung minggu itu, barulah penduduk kampung terutamanya kaum bapa mengambil perhatian dan kembali berbincang tentang objektif sebenar perjumpaan tersebut diadakan. Kata putus dicapai apabila majoriti yang hadir bersetuju dengan cadangan yang diajukan oleh Pak Lang Darus supaya mereka perlu berjaga-jaga di rumah Cikgu Rosnah sehingga cerah.
***
“Pak Lang, ajak kumpulan Pak Lang jaga depan rumah. Rokok saya letak atas peti ais. Kopi pula, Pak Lang pergi mintak dengan Haji Leh. Dia jadi ketua bentara malam ni.”
Pak Lang Darus yang mendengar arahan Pak Pin terus mendapatkan segenggam kotak rokok yang diletakkan di atas peti ais.
Malam ini merupakan malam kenduri kahwin di rumah Cikgu Rosnah. Jam pada waktu itu tepat menunjukkan pukul 2.50 pagi. Orang kampung yang tadinya ramai berkumpul di rumah Cikgu Rosnah semakin berkurangan seiring dengan kesejukan yang semakin bertambah. Pak Pin yang tadinya sibuk berkaraoke kini cuma diam seribu bahasa. Dengan rokok yang berada di batas bibir membuatkan otaknya semakin syahdu berkhayal. Suasana yang tadinya gegak-gempita, sudah sunyi sepi diselimuti kesejukan embun pagi.
“Tok penghulu sampai, tok penghulu sampai!” Pak Lang Darus yang menjaga kawasan halaman rumah Cikgu Rosnah berteriak.
Pak Pin dan seisi orang kampung yang berada di situ berlari-lari menuju ke ruang halaman rumah untuk mengerumuni Tok Penghulu yang baru sampai sebentar tadi. Tok penghulu yang disambut oleh orang kampung tidak putus-putus menghulurkan tangannya untuk bersalam-salaman dengan orang kampung. Dia yang tidak sempat bersembang terus menaiki pentas karaoke yang telah tersedia dengan pembesar suara.
“Assalamualaikum orang kampung semua. Saya sebagai penghulu Kampung Titi Patah amat bangga dengan kerjasama yang ditunjukkan oleh semua orang. Saya juga sebenarnya baru sahaja sampai dari ibu kota. Disebabkan rasa bertanggungjawab, saya gagahkan juga diri saya ke mari walaupun sebenarnya saya sangat letih. Untuk pengetahuan semua, projek …”
Belum sempat Tok Penghulu menghabiskan ucapannya tentang projek baharu yang dibawa dari ibu kota, tiba-tiba terdengar suara Cikgu Rosnah yang berada di dalam rumah sedang berteriak.
“Tolong! Tolong! Penyamun!”
Pak Pin dan seluruh orang kampung yang berada di situ lantas bergegas masuk ke dalam rumah Cikgu Rosnah meninggalkan Tok Penghulu keseorangan di atas pentas. Cikgu Rosnah yang terkejut dengan kehadiran penyamun tadi terus pengsan tidak sedarkan diri. Keadaan dalam rumah Cikgu Rosnah begitu gelap-gelita. Kemungkinan penyamun yang masuk sebentar tadi telah mematikan semua bekalan elektrik pada kotak suis utama. Orang kampung yang memenuhi ruang dalam rumah Cikgu Rosnah membuatkan keadaan bertambah kelam-kabut.
“Kringgg ..! Kringgg ..! Kringgg ..!” Tiba-tiba jam loceng berbunyi dari arah jendela rumah Cikgu Rosnah. Orang kampung yang terdengar bunyi jam loceng terus memandang ke arah jendela yang terbuka luas bingkainya. Orang kampung mula menapak perlahan-lahan sehingga terbentuk satu barisan menuju ke arah jendela tersebut. Bunyi jam loceng itu pula tidak berhenti-henti memekak lalu memberikan petunjuk arah kepada orang kampung yang sedang bergelap. Kelihatan samar-samar kelibat bayangan seperti manusia berada di sebalik langsir jendela rumah Cikgu Rosnah. Pak Pin yang sudah siap sedia di kotak suis utama elektrik rumah Cikgu Rosnah hanya menunggu masa dan detik yang tepat untuk menghidupkan semula bekalan elektrik.
“Kluck!” Suis utama yang dibuka oleh Pak Pin berbunyi diiringi nyalanya lampu yang menerangi seluruh ruang rumah Cikgu Rosnah yang tadinya gelap gelita. Orang ramai yang tadinya terhendap-hendap menapak ke bahagian jendela terkejut tatkala melihat lembaga hitam berpakaian pengantin di sebalik langsir tempat dia bersembunyi. Lembaga berpakaian pengantin yang menyedari akan hal tersebut terus melompat bersama-sama bungkusan yang berisi hadiah dan hantaran pengantin.
“Ligan penyamun tu!” Pak Pin berteriak kepada orang kampung sambil berpusu-pusu berebut keluar dari tingkap rumah Cikgu Rosnah untuk mengejar penyamun tersebut. Bunyi jam loceng yang kuat telah membantu orang kampung untuk mengejar penyamun yang berpakaian pengantin daripada meloloskan diri. Malam itu Kampung Titi Patah gegak-gempita dengan pekikan orang kampung yang menggila mahu menangkap penyamun malam pengantin.
“Kepung dia! Kepung! Jangan sampai terlepas.” Pak Pin mengarahkan orang kampung supaya berjaga-jaga apabila penyamun yang berpakaian pengantin itu sudah terperangkap di tengah-tengah kerumunan orang ramai. Bunyi jam loceng yang berada di dalam bungkusan penyamun itu dari tadi masih bingit berdering tidak berhenti-henti.
“Aku tak lari dah, aku tak lari dah! Jangan pukul aku. Aku serah diri!” Penyamun yang tadinya berusaha untuk meloloskan diri, kini menyerah diri dan memohon untuk tidak diapa-apakan.
Pak Pin yang berada paling berdekatan dengan penyamun itu memberanikan dirinya dengan perlahan-lahan mendekati suspek yang sudah menyerah diri. Dia yang ingin mengetahui siapa sebenarnya penyamun malam pengantin yang menghuru-harakan Kampung Titi Patah menarik topi yang menyerkup dan menutupi keseluruhan bahagian kepala penyamun itu secara perlahan-lahan. Alangkah terperanjatnya Pak Pin apabila melihat wajah penyamun yang mereka buru sepanjang malam tersebut sehingga dia berundur dua tiga langkah ke belakang.
“Daud! Kau ni Daud Gila kan? Kenapa kau mencuri ni Daud?” tanya Pak Pin sambil mengacungkan jari telunjuknya ke arah Daud.
“Aa …, aku mintak maaf orang kampung. Aku mintak maaf.”
Pak Lang Darus yang menerpa tiba-tiba mengayunkan tangannya untuk menumbuk Daud yang sudah menyerah diri. Mujur pula Pak Pin yang berada berdekatan dengannya sempat menahan ayunan genggaman penumbuk orang tua itu.
“Pak Lang sabar Pak Lang. Kita jangan terburu-buru mahu belasah dia. Lebih baik kita laporkan perkara ni kepada polis. Itu jalan yang lebih baik saya rasa.”
“Tunggu Pak Pin! Jangan lapor kepada polis Pak Pin. Aku merayu dekat hang jangan laporkan benda ni kepada polis. Aku mencuri sebab aku terdesak. Lepas orang pecah masuk rumah aku pada malam kenduri tu, tak ada seorang pun datang untuk bertanyakan khabar. Bila aku cerita masalah aku kepada orang kampung, bukannya ada orang nak tolong bantu aku selesai masalah. Tolong canang dengan mengumpat fasal masalah aku ada la. Habis tu macam mana aku nak selesaikan hutang aku dengan adik-beradik aku yang lain. Tambahan pula bila orang mengata yang aku dengan bini aku gila. Semua orang pulaukan kami dalam kampung ni.”
“Kalau dah macam tu, apa kata Daud dengan isteri masuk program ternak ikan keli. Masa saya di ibu kota kelmarin, saya jumpa dengan menteri besar negeri kita. Beliau sudah bersetuju hendak berikan saya dana untuk orang kampung mulakan penternakan ikan keli secara kecil-kecilan. Disebabkan projek ternak lintah yang tak berapa menjadi tahun lepas, saya rasa baik kita cuba projek baru ni pula. Untuk Daud dengan isteri saya tak kenakan apa-apa bayaran. Bagaimana semua? Nak sertai ataupun tidak?” Tok Penghulu yang datang dari arah belakang membuat tawaran kepada orang kampung.
Pak Pin mengangkat Daud yang berpakaian pengantin bangun perlahan-lahan. Daud yang bangun perlahan-lahan dibantu oleh Pak Pin mencari kotak hadiah pengantin yang berisi jam loceng. Dia sudah tidak tahan lagi mendengar deringan jam loceng tersebut yang tidak henti-henti membingit. Orang kampung yang tertarik dengan tawaran penghulu mula mengerumuninya tanpa menghiraukan keadaan Daud untuk bertanyakan tentang projek baharu kelolaan Tok Penghulu itu. Pak Pin yang tidak begitu berminat mula menjauhkan diri dari kerumunan orang ramai. Mungkin esok atau lusa dia akan pergi untuk berjumpa dengan Tok Penghulu. Yang penting, dia tidak lagi mahu terlibat sebagai pengelola projek tersebut bagi mengelakkan kesulitan-kesulitan yang tidak diingini pada masa hadapan.