Skip to content
Bulan di Mata Bonda: Karya Seorang Anak yang Bergelar Ibu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Bulan di Mata Bonda: Karya Seorang Anak yang Bergelar Ibu
Bulan di Mata Bonda: Karya Seorang Anak yang Bergelar Ibu
Bicara Sastera

Bulan di Mata Bonda: Karya Seorang Anak yang Bergelar Ibu

  • Airul Affendi Ali
  • 5 Mei 2026
  • DBP Wilayah Tengah
  • 112
  • 5

Kumpulan puisi Bulan di Mata Bonda yang diterbitkan oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) pada tahun 2023 merupakan karya kedua daripada  Zulaikha Adam, seorang penulis muda yang kian meningkat namanya dalam  dunia penulisan sastera.

Kumpulan puisi ini memuatkan 53 buah puisi, setebal 75 muka surat yang bertemakan kasih sayang,  kemanusiaan, ranah kehidupan manusia di kota dan sebagainya. 

Karya ini terbahagi kepada tiga fragmen, iaitu “Bulan di Mata Bonda”, “Pagoda Putih Ayah” dan “Ke Kota Manusia”.

Mungkin sebilangan beranggapan bahawa unsur bulan dilihat sebagai unsur klise dalam sesebuah sajak. Namun demikian, bagi Zulaikha Adam, penulis beranggapan beliau berjaya mengubah tanggapan itu menjadi sesuatu yang baharu dan segar dari kaca mata penulis sendiri. 

Imej yang cuba dibawa oleh Zulaikha Adam digarap dengan penuh teliti dan baik sekali dengan menggambarkan bulan dari sudut pandang yang berbeza, iaitu menggambarkan bulan sebagai hati murni seorang ibu atau bonda.

Setiap helaian naskhah ini dilengkapi ilustrasi yang sedikit sebanyak membantu pembaca memahami makna dan nilai yang ingin disampaikan oleh pengkarya melalui rangkap-rangkap puisi yang disajikan.

Kasih seorang anak, ibu dan ayah telah digaul rapi dalam puisi-puisi beliau bersama pengalaman hidup yang melahirkan detik-detik penting, sehingga pengalaman ini menjadi tunjang utama dalam pembinaan puisi-puisi Zulaikha Adam dalam naskhah Bulan di Mata Bonda. 

Beliau seolah-olah menyusuri waktu-waktu lampau, mengutip kembali kenangan lalu dan menulisnya  dengan penuh rasa kecintaan, penghargaan dan kasih sayang kepada ibu dan ayahnya.

Penulis berpendapat, beliau berjaya menyampaikan sentuhan lembut seorang ibu atau bonda kepada pembaca.

Penulis tersentuh ketika menikmati  puisi yang digarap dengan penuh rapi disulami penyusunan bahasa yang indah seperti puisi “Sehelai Sutera Menyaluti Kulitmu”:

Sisik usia tumbuh berkeping-keping

pada kulitmu yang dahulu sutera,

bonda meski tiada kolagen bisa menyuntik

kembali umurmu yang cecah tujuh puluh

kau masih jelita menjalin

cebis perca hidup paling penamat

Zulaikha Adam cuba mengimbangi perasaan kasih dan sayang kepada kedua-dua ibu dan bapanya. Lebih 10 puisi tentang bapa telah berupaya melahirkan perasaan rindu dan penghargaan pada seorang lelaki bergelar ayah.

Puisi “Sehelai Pagoda Enggan Dilucutkan” sudah cukup membuat penulis merenung kembali manusia kental, kuat, dan tabah, disapa ayah dalam mengharungi cabaran getir sepanjang ranjau kehidupan sehingga tua.

Hal yang sama turut disajikan dalam puisi “Di Jendela Menghadap Bulan” dengan garapan yang berbeza.

Kepada ayah;

urat kekar pada lenganmu

mengajar anakmu persis perajurit

mengatur hidup serba-serbi

segala duka

segala tawa

menggembur ranah isolasi

Puisi “Ke Kota Manusia” pula memaparkan himpunan persoalan rasa rindu seorang anak yang berjauhan dengan seseorang insan bergelar ibu atau bonda. Malah, persoalan tentang ujian, kerinduan, dan kesusahan kehidupan di kota turut diterjemahkan dalam puisi “Sunyi Bersembunyi di Kamar” dan “Wang Adalah Dedaun Kering”.

Saudari Zulaikha Adam menggunakan bahasa yang agak mudah dan minimalis dalam pilihan diksinya, namun susunan dan garapan dalam setiap rangkap berjaya menghadirkan nilai estetika dalam kebanyakan puisi beliau. Pelbagai gaya bahasa  digunakan dalam penghasilan puisinya.

Bentuk distikhon dan terzina menjadi pilihan penulis dalam beberapa sajak beliau. Penulis boleh menjumpai jenis-jenis puisi yang terdiri daripada Epigram dan Elegi dan sedikit Romansa. Jenis-jenis puisi ini telah mempelbagaikan nada dalam Bulan di Mata Bonda.

Unsur metafora dan simile  banyak digunakan untuk meningkatkan keindahan puisi-puisi beliau lagi. Ada juga gaya pengulangan digunakan sesekali sebagai penegasan atau menarik perhatian pembaca untuk mencungkil makna daripada rangkap-rangkap tersebut.

Penulis mengesyorkan terutama pelajar, mahasiswa, anak muda dan orang awam agar memiliki naskhah ini kerana puisi yang disajikan oleh Zulaikha Adam hadir bersama-sama nilai kasih dan sayang yang kini semakin pudar dalam kalangan  masyarakat.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Implikasi
Cerpen

Implikasi

  • 18 Disember 2023
  • 76
  • 4.5
Kritikan Puisi “Keluar dari Lindungan” Menggunakan Pendekatan Semantik
Bicara Sastera

Kritikan Puisi “Keluar dari Lindungan” Menggunakan Pendekatan Semantik

  • 5 April 2026
  • 197
  • 4.8
Air Tangan Isteri
Cerpen

Air Tangan Isteri

  • 14 November 2023
  • 108
  • 4.5
Usah Prejudis dengan Tulisan Jawi
Bicara Bahasa

Usah Prejudis dengan Tulisan Jawi

  • 3 Mei 2024
  • 521
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP