Skip to content
PBAKL 2026: Buku, Budaya Tular dan Krisis Membaca
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > PBAKL 2026: Buku, Budaya Tular dan Krisis Membaca
PBAKL 2026: Buku, Budaya Tular dan Krisis Membaca
Bicara Bahasa

PBAKL 2026: Buku, Budaya Tular dan Krisis Membaca

  • Husairi Hussin
  • 20 Jun 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 9
  • 4.8

SETIAP kali tirai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) dibuka, ribuan manusia membanjiri dewan pameran dengan wajah penuh keterujaan. Mereka datang daripada pelbagai latar usia dan daerah. Ada yang memburu novel baharu, mencari penulis kegemaran, menikmati potongan harga atau sekadar mahu merasai suasana pesta ilmu yang semakin jarang ditemukan dalam dunia digital pada hari ini. Bagi pencinta buku, PBAKL sering dianggap seperti “hari raya pembaca”. Hal ini demikian kerana di sinilah pembaca bertemu penulis, mendapatkan koleksi buku lama dan baharu serta berkongsi minat yang sama dengan komuniti sedarjat. Namun di sebalik kemeriahan itu, muncul satu persoalan yang semakin penting untuk direnungkan secara jujur; adakah masyarakat hari ini benar-benar mengunjungi pesta buku untuk membaca atau sekadar mahu dilihat dekat dengan budaya membaca? Persoalan ini mungkin kedengaran sinis, realitinya jelas kelihatan dalam landskap pesta buku mutakhir. Buku semakin menjadi simbol gaya hidup, sedangkan budaya membaca secara mendalam semakin terhakis oleh media sosial, budaya tular dan perhatian manusia yang semakin singkat.

            Fenomena ini jelas terpapar melalui perubahan cara masyarakat berinteraksi dengan buku. Sebagai contoh, suatu ketika dahulu pembaca membeli buku untuk diselami dan direnungi. Namun pada hari ini, kebanyakan masyarakat membeli buku untuk dikumpulkan, dipamerkan di rak atau dijadikan kandungan media sosial. Beg-beg besar yang sarat dengan buku sering dikongsi di TikTok, Facebook, Instagram atau Treat dengan kapsyen yang menangkap pelayar media sosial. Sedangkan tidak semua buku itu benar-benar dibaca hingga tamat dan mengerti kisahnya. Dalam keadaan tertentu pula, buku perlahan-lahan sedang berubah daripada sumber pemikiran kepada objek budaya popular. Keadaan ini sebenarnya memperlihatkan satu paradoks yang menarik. Di satu sisi, masyarakat dikatakan semakin kurang membaca kerana lebih banyak menghabiskan masa dengan video pendek dan kandungan segera. Namun di sisi lain, pesta buku tetap dipenuhi manusia saban tahun. Hal ini menunjukkan bahawa manusia masih mahu dikaitkan dengan imej intelektual dan budaya ilmu. Cuma keinginan untuk “kelihatan membaca” tidak semestinya bermaksud wujudnya budaya membaca yang mendalam.

 

PBAKL 2026: Buku, Budaya Tular dan Krisis Membaca
Di sebalik setiap buku, tersimpan seribu cerita dan sejuta ilmu. Semoga budaya membaca terus mekar dalam jiwa, melahirkan generasi yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing.

 

            Kemunculan segera “BookTok” juga telah mengubah cara generasi muda memilih buku. Banyak novel menjadi laris hanya kerana satu video pendek yang tular di TikTok. Penulis berubah menjadi figura digital dan buku dijual melalui sensasi emosi, plot dramatik atau petikan ayat yang mudah dijadikan kapsyen media sosial. Dari sudut positif, fenomena ini membantu industri buku menarik semula minat anak-anak muda terhadap pembacaan. Natijahnya, budaya membaca yang dipacu algoritma juga melahirkan kecenderungan membaca secara pantas dan dangkal. Buku dipilih bukan kerana kedalaman pemikiran, sebaliknya kerana potensi untuk menjadi ikutan atau trend. Pembaca mahu karya yang mudah dihadam, mempunyai plot mengejutkan dan boleh dibincangkan segera di media sosial. Akibatnya, karya yang bersifat reflektif, perlahan dan menuntut renungan semakin tersisih daripada perhatian umum. Dalam suasana pasaran yang terlalu mengejar angka jualan, karya sastera serius semakin sukar bersaing dengan novel popular yang ditulis mengikut formula pasaran. Keadaan ini memperlihatkan perubahan besar dalam dunia penerbitan. Penulis pada hari ini bukan sahaja perlu menghasilkan karya yang menarik, juga perlu membina identiti digital yang kuat. Ada penulis yang terkenal bukan kerana kekuatan karya, cuma kerana populariti di media sosial. Sesi tandatangan buku kadangkala lebih menyerupai pertemuan selebriti berbanding pertemuan intelektual antara penulis dan pembaca. Kamera telefon diangkat lebih tinggi daripada buku yang dibeli untuk dibaca.

            Situasi riuh-rendah sebegini memperlihatkan dunia sastera semakin dipengaruhi budaya perhatian segera. Dalam dunia algoritma, sesuatu karya mesti cepat menarik perhatian. Judul perlu sensasi, konflik mesti dramatik dan petikan ayat perlu cukup relatable, iaitu mudah difahami atau relevan untuk dikongsi semula di media sosial. Akibatnya, sebahagian karya mula ditulis dengan kesedaran dan gesaan untuk menjadi tular, bukan untuk bertahan sebagai karya pemikiran jangka panjang. Hal ini tentunya membimbangkan masa depan sastera serius di Malaysia. Novel seperti Memoir Seorang Guru karya Azizi Haji Abdullah, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, atau puisi-puisi indah oleh Zurinah Hassan lahir daripada renungan mendalam terhadap kehidupan manusia dan masyarakat. Karya seperti ini tidak dibina untuk dibaca sepintas lalu seperti mengimbas video di Reels atau TikTok. Pembaca perlu berhenti, kemudian berfikir lalu merenungnya sedalam-dalamnya sebelum benar-benar memahami maknanya.

            Namun, dalam budaya digital hari ini, masyarakat semakin sukar memberi ruang kepada pembacaan yang perlahan. Dunia moden melatih manusia untuk bergerak pantas dari satu kandungan ke kandungan lain tanpa benar-benar tenggelam dalam sesuatu teks. Membaca secara mendalam akhirnya menjadi satu bentuk perjuangan baharu. Manusia mahu hiburan segera, dalam masa yang sama mereka semakin takut kepada renungan yang memerlukan kesabaran. Keadaan ini paling jelas dirasai oleh penulis sastera serius dan penerbit kecil. Dalam pesta buku yang riuh dengan promosi dan reruai popular, karya puisi, esei budaya dan kritikan sastera sering berada di sudut sunyi yang kurang dikunjungi. Penulis yang menghasilkan karya pemikiran kadangkala terpinggir daripada arus utama industri buku kerana karya mereka dianggap “berat” dan tidak mempunyai nilai komersial yang tinggi. Ironinya, masyarakat sanggup berbelanja ratusan ringgit membeli novel popular bersiri, tetapi berkira-kira membeli sebuah kumpulan puisi yang harganya jauh lebih murah. Dalam logik pasaran hari ini, karya yang cepat menghiburkan lebih mudah dihargai berbanding karya yang mengajak manusia berfikir tentang kehidupan. Dunia penerbitan semakin tunduk kepada angka jualan sehingga nilai sesebuah karya sering diukur berdasarkan panjangnya barisan pembeli. Situasi ini menunjukkan bahawa krisis sebenar dunia buku hari ini bukanlah kekurangan pembaca semata-mata, cuma perubahan cara masyarakat memahami fungsi buku dan sastera. Buku tidak lagi dilihat sebagai ruang renungan intelektual, semakin dianggap sebagai sebahagian budaya hiburan dan gaya hidup digital.

            Di tengah perubahan tersebut, kemunculan kecerdasan buatan (AI) pula menambah satu lagi kegelisahan baharu kepada dunia sastera. Teknologi AI kini mampu menghasilkan puisi, esei dan cerpen dalam tempoh beberapa saat. Sesuatu yang dahulunya memerlukan pengalaman, kesunyian dan pergulatan emosi kini boleh dijana melalui arahan ringkas di skrin komputer. Perkembangan ini menimbulkan persoalan penting tentang masa depan kreativiti manusia. Jika mesin mampu menghasilkan teks yang kelihatan indah dan tersusun, apakah yang membezakan karya manusia dengan karya yang dijana algoritma? Persoalan ini semakin relevan ketika dunia penerbitan sendiri sudah lama menghasilkan karya-karya berformula yang hanya mengejar pasaran. Walau bagaimanapun, AI juga secara tidak langsung memaksa dunia sastera melakukan muhasabah. Mesin mungkin mampu meniru gaya bahasa manusia, namun tetap belum tentu mampu memahami pengalaman manusia secara sebenar. Sastera yang besar lahir daripada penderitaan, kehilangan, cinta dan kegelisahan batin yang tidak boleh diprogramkan sepenuhnya.

            Puisi-puisi Usman Awang, misalnya terus hidup kerana kemanusiaan yang berdenyut di dalamnya. Novel Salina pula bertahan merentas generasi kerana karya tersebut lahir daripada pengamatan mendalam terhadap luka masyarakat pascaperang. Karya yang benar-benar besar tidak sekadar menyusun bahasa dengan cantik, mereka memindahkan pengalaman manusia kepada manusia lain. Sebab itulah, walaupun teknologi semakin canggih, manusia masih datang ke pesta buku. Mereka masih mahu menyentuh buku fizikal, mendengar penulis bercakap tentang proses kreatif dan meminta tandatangan sebagai tanda hubungan emosional dengan karya. Dalam dunia yang semakin dipenuhi kandungan automatik, manusia sebenarnya semakin merindui sesuatu yang genuine yakni tulen. Dunia sastera tidak boleh terus bersikap romantik tanpa memahami realiti semasa. Pesta buku hari ini perlu menjadi lebih daripada sekadar ruang jualan dan budaya swafoto. PBAKL seharusnya berfungsi sebagai medan membina semula budaya membaca yang kritis, bukan sekadar budaya membeli buku. Forum, diskusi dan program sastera juga perlu lebih berani membincangkan isu sebenar masyarakat seperti krisis identiti generasi muda, ketagihan media sosial, kecerdasan buatan dan kemerosotan budaya ilmu. Jika pesta buku hanya dipenuhi promosi jualan dan budaya selebriti, maka peranannya sebagai medan intelektual akan semakin hilang.

            Selain itu, institusi pendidikan dan media juga mempunyai tanggungjawab besar untuk menghidupkan semula budaya membaca secara mendalam. Generasi muda perlu dididik bahawa membaca bukan sekadar aktiviti akademik atau hobi santai, namun membaca juga merupakan proses memahami manusia dan kehidupan dengan lebih matang. Sebuah novel yang baik mampu membentuk empati, manakala puisi yang jujur mampu memperhalus jiwa manusia. Dalam tradisi Melayu sendiri, ilmu sentiasa diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Wahyu pertama dalam Islam ialah perintah membaca, iaitu Iqra. Hal ini menunjukkan bahawa pembinaan tamadun sentiasa bermula dengan budaya ilmu dan kesediaan manusia untuk berfikir.

            Akhirnya, PBAKL 2026 memperlihatkan dua wajah dunia buku pada hari ini. Di satu sisi, pesta buku masih menjadi tanda bahawa masyarakat belum sepenuhnya meninggalkan dunia pembacaan. Namun di sisi lain, pesta buku juga memperlihatkan budaya membaca sedang dicabar oleh media sosial, budaya tular dan perhatian manusia yang semakin singkat. Mungkin benar manusia hari ini semakin ramai membeli buku. Akan tetapi, persoalan yang lebih penting ialah sama ada masyarakat masih mahu membaca sesuatu yang mampu mengubah cara mereka melihat kehidupan. Dalam dunia yang semakin pantas dan bising, membaca secara mendalam sebenarnya telah menjadi satu bentuk keberanian: keberanian untuk berhenti seketika, merenung dan memahami manusia lain dengan lebih jujur. Selagi masih ada manusia yang mahu membaca dengan jiwa, selagi itulah sastera akan terus hidup walaupun dunia berubah arah.

Husairi Hussin merupakan pensyarah kesusasteraan di Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia. Beliau juga dikenali dengan nama pena Putraery Ussin yang berkarya dalam pelbagai genre penulisan seperti novel, cerpen dan buku kanak-kanak. Novel Remaja terbaharu beliau Kerana 10 Sen dan buku kanak-kanak Tetamu Rimba terbitan DBP boleh didapati melalui DBPNiaga.my atau di Pesta Buku Kuala Lumpur PBAKL 2026.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (10) #cerpenkehidupan (5) #dbpselatan (17) #karyasastera (24) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (27) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (6) #puisimoden (21) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (4) #Tunanetra (4) #wadahdbp (11) abuyon (4) adie abd gani (4) bengkel (2) cerpen (12) dbpcawangansabah (9) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (32) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (11) Puisi Tradisional (3) ramadhan (2) rindu (3) sajak (10) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

تانه يڠ تيدق ڤرنه دلوڤاکن
Puisi Moden

تانه يڠ تيدق ڤرنه دلوڤاکن

  • 3 September 2025
  • 5
Pemikiran Kerohanian Mahizan Husain dalam  Novel Romi dan Kucai
Bicara Sastera

Pemikiran Kerohanian Mahizan Husain dalam Novel Romi dan Kucai

  • 20 Jun 2025
  • 189
  • 4.9
‘I’, ‘You’: Ke Manakah Hilangnya ‘Saya’, Awak’?
Bicara Bahasa

‘I’, ‘You’: Ke Manakah Hilangnya ‘Saya’, Awak’?

  • 20 Oktober 2025
  • 78
  • 3
Majalah Berbahasa Melayu Memugar Sastera di Sabah: Suatu Sorotan Sejarah
Bicara Bahasa dan Sastera

Majalah Berbahasa Melayu Memugar Sastera di Sabah: Suatu Sorotan Sejarah

  • 24 Mei 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP