Kedut-kedut tangan yang berselirat urat
tapak serta jari jemarinya kering dan kasar
dulunya kuat kini lemah dan terketar
tangan yang pernah membidik senjata
pernah mempertahankan tanah pusaka.
Dulu tubuh sasanya ditembusi besi
butir peluru panas angkara pengganas
kesan peta parut dan luka semalam
jadi bukti perjuangan getir yang silam
Dirinya kini dimamah usia dan masa
kelesuan iringi waktu yang berputar
namun sesuatu tidak pernah pudar
semangat juangnya terus membara
masih bernyala-nyala dalam dada.
Pada penghujung suram senja itu
matanya yang cengkung dan dalam
berair ketika merenung redup malam
renungannya pada anak muda bangsanya
yang harus tabah meneruskan pengisiannya
mewarisi sebuah negara yang lama merdeka
kini bukan lagi perjuangan bersenjata
generasi kini perlu memaknakan kemerdekaan ini
dengan perspektif dan dinamik yang berbeza
semoga terus dikagumi di mata dunia
dengan kukuhnya perpaduan bangsanya
dengan kecanggihan teknologinya
dengan kerancakan ekonominya
ditunjang rakyat bermoral lagi bermaruah
di bumi Malaysia yang bertuah.
