Skip to content
Estetika Pantun Cinta Melayu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Bahasa > Estetika Pantun Cinta Melayu
Estetika Pantun Cinta Melayu
Bicara Bahasa

Estetika Pantun Cinta Melayu

  • AMAN SHAH BIN SYED ALI
  • 5 Mac 2026
  • DBP Cawangan Sabah
  • 235
  • 5

Dalam landskap kesusasteraan Melayu tradisional, pantun bukanlah sekadar permainan bahasa yang terikat pada rima akhir “a-b-a-b”, mahupun sekadar wadah hiburan pengisi masa lapang. Lebih daripada itu, pantun ialah manifestasi tertinggi akal budi yang menjadi satu paduan ampuh antara daya intelektual (akal) yang rasional dengan kehalusan pekerti (budi). Hal ini cermin kepada pandangan sarwa masyarakat Melayu yang tidak pernah memisahkan manusia daripada alam dan tidak memisahkan pemikiran daripada perasaan.

Apabila membicarakan perihal cinta dalam kerangka budaya Melayu klasik, kita tidak disajikan dengan romantis yang melulu atau nafsu yang kosong. Sebaliknya, cinta diangkat sebagai satu peristiwa bahasa yang sarat dengan kiasan, tamsil ibarat dan santun yang tinggi. Makalah ini akan mengupas keunikan akal budi Melayu memanifestasikan gelora cinta melalui dialog, harmoni antara perasaan manusia dengan alam semesta seperti yang terpancar dalam korpus pantun warisan.

Sarjana Barat menganggap dua baris pertama pantun (pembayang) hanyalah penyedap bunyi. Namun, bagi pemikir sastera tempatan, pembayang ialah pintu gerbang kepada makna. Struktur pantun itu sendiri merupakan refleksi kepada falsafah alam yang menjadi guru kepada kehidupan manusia. Hubungan antara pembayang dan maksud ialah hubungan dialektik yang canggih, alam fizikal di baris awal memberikan petunjuk kepada gejolak batin di baris akhir.

Dalam teori semantik kognitif, fenomena ini dikenali sebagai metafora struktural, yakni pengalaman abstrak seperti rindu dan kasih sayang menggambarkan pengalaman konkrit seperti sifat tumbuh-tumbuhan atau tingkah laku haiwan. Masyarakat Melayu tidak mengatakan “saya rindu” secara langsung, tetapi melukiskan rindu itu melalui imej alam, menjadikan emosi itu sesuatu yang nyata, boleh dilihat dan disentuh oleh pancaindera. Masyarakat Melayu yang kehidupannya rapat dengan pertanian dan maritim memiliki keintiman luar biasa dengan flora dan fauna. Pemilihan jenis tumbuhan dalam pantun cinta bukanlah rawak, tetapi berasaskan penelitian mendalam terhadap sifat morfologi dan manfaat tumbuhan tersebut.

Bunga kiambang (pistia stratiotes), iaitu tumbuhan akuatik yang akarnya tidak mencengkam tanah ini sering menjadi metafora kepada nasib dagang yang tidak menentu. Namun, akal budi Melayu menemukan satu falsafah dalam sifat biologi seperti ungkapan “biduk berlalu, kiambang bertaut”. Dalam dinamik percintaan, kiambang mengajar masyarakat bahawa perselisihan atau perpisahan fizikal tidak semestinya memutuskan ikatan batin. Sebaliknya, kiambang ialah lambang ukhuwah dan kemampuan untuk pulih semula selepas badai melanda, iaitu satu nilai ketahanan emosi yang tinggi.

Begitu juga dengan misteri selasih (ocimum basilicum). Walaupun sering dipilih kerana rimanya sepadan dengan “kasih”, nilai semiotiknya melangkaui aspek fonetik. Selasih ialah herba yang harum dan menyembuhkan. Pantun berbunyi “sayang selasih dalam puan”, secara tidak langsung mengangkat darjat cinta itu ke satu tempat yang mulia (puan ialah bekas simpanan berharga). Selasih menandakan bahawa kekasih bukan sekadar objek rindu, tetapi penawar jiwa yang perlu disimpan dan dijaga dengan rapi bak menatang minyak yang penuh. “Mabuk selasih” sebagai perlambangan kepada keadaan angau yang mendalam, tentang aroma kenangan yang tidak mudah luput daripada ingatan.  Tidak kurang hebatnya ialah falsafah pengurusan masa dalam pantun yang berikut:

Tuai padi antara masak,
    Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
    Esok jangan rindu-rinduan.

Di sebalik keindahan bahasa, rangkap ini menunjukkan ruang istimewa dalam pemikiran strategik Melayu. Frasa “antara masak” menyarankan ketepatan masa bertindak, tidak terlalu awal dan tidak terlalu lewat. Pantun ialah pesanan bestari supaya lamaran atau luahan rasa dilakukan pada saat yang paling tepat untuk mengelakkan penyesalan pada kemudian hari. Hal ini membuktikan bahawa masyarakat Melayu melihat cinta sebagai sesuatu yang perlu diurus dengan strategi, bukan sekadar emosi yang tidak rasional.

Penyelaman ke dalam lubuk akal budi Melayu tidak akan lengkap tanpa menelusuri dimensi metafizik dan kesedaran kelas sosial yang sering disisipkan dalam rangkap-rangkap cinta yang lebih berat. Di sini, pantun berfungsi sebagai wadah untuk membincangkan keabadian jiwa, kematian dan hierarki masyarakat. Salah satu rangkap yang paling mistik dalam korpus pantun Melayu adalah seperti yang berikut:

Pucuk pauh delima batu,
    Anak sembilang di tapak tangan;
Walau jauh di negeri satu,
    Hilang di mata di hati jangan.

Analisis mendalam terhadap rangkap ini mendedahkan kiasan tentang kematian dan alam baqa. “Negeri satu” sering ditafsirkan oleh sarjana sebagai alam barzakh atau akhirat. Destinasi akhir yang pasti bagi setiap yang bernyawa. Namun, pembayang “anak sembilang di tapak tangan” memberikan imej kesakitan dan memerlukan kita berhati-hati. Ikan sembilang mempunyai sengat berbisa, memegangnya menuntut sikap berhati-hati dalam kalangan masyarakat. Pantun ini melambangkan bahawa menanggung rindu terhadap mereka yang telah “pergi” (meninggal dunia atau berpisah jauh) merupakan satu keperitan, namun ingatan di hati (“hilang di mata di hati jangan”) merupakan satu-satunya penawar yang mengekalkan ikatan tersebut melampaui dimensi fizikal. Keabadian cinta ini diperkukuh lagi dengan konsep “kontrak rohani” yang mengatasi hukum fikah duniawi:

Batang selasih mainan budak,
    Daun sehelai dimakan kuda;
Bercerai kasih bertalak tidak,
    Seribu tahun kembali juga.

Pemantun meminjam istilah hukum syarak “talak” (perceraian) untuk menafikan kewujudannya dalam alam percintaan sejati. Akal budi Melayu membezakan antara ikatan perkahwinan (yang boleh ditalak) dengan ikatan kasih sayang (yang tiada talaknya). “Seribu tahun” merupakan hiperbola masa yang menunjukkan bahawa cinta sejati bersifat tidak dimamah usia. Situasi ini manifestasi keyakinan terhadap konsep jodoh yang telah tertulis di lohmahfuz, iaitu perpisahan fizikal hanyalah sementara berbanding penyatuan jiwa yang abadi.

Cinta dalam masyarakat Melayu klasik tidak wujud dalam ruang vakum kerana sering bertembung dengan realiti strata sosial. Hal ini dirakamkan dengan indah namun pedih dalam pantun yang berikut:

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
    Kajang saya mengkuang layu;
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
    Dagang saya musafir lalu.

Metafora “kajang berlipat” (kemas, tersusun, status tinggi) dikontraskan dengan “mengkuang layu” (usang, rendah, tidak berharga). Pantun ini ialah luahan rasa rendah diri seorang kekasih yang sedar akan kedudukan sosialnya sebagai “musafir lalu”, iaitu orang asing yang tidak punya apa-apa berbanding saingannya yang “bertempat” (mempunyai status dan harta). Pantun ini bukan sekadar merintih, tetapi satu pengakuan sedar diri, satu ciri penting dalam budi masyarakat Melayu yang tahu mengukur baju di badan sendiri.

Namun, apabila cinta itu memuncak, akal budi Melayu juga merekodkan keberanian untuk melanggar norma sosial yang paling sakral, seperti dalam pantun ini:

Nasi lemak buah bidara,
    Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
    Sebab kasih saya turutkan.

Secara tersurat, rangkap pantun ini tampak tidak sopan kerana menyarankan pembuangan emak dan saudara. Perbuatan tersebut merupakan satu dosa besar dalam budaya Melayu yang  beragama Islam dan mementingkan suasana kekeluargaan. Namun, berdasarkan sudut sastera, rangkap ini merupakan teknik hiperbola ekstrem untuk menggambarkan intensiti kesetiaan kepada pasangan. Tindakan ini bukan arahan literal, sebaliknya satu pengisytiharan bahawa “demi cinta ini, aku sanggup kehilangan segalanya, termasuk sistem sokongan sosialku”. “Selasih saya lurutkan” (melurut daun hingga tinggal batang) menjadi simbol kepada penanggalan segala ego  dan ikatan lain demi menuruti tuntutan kasih.

Mungkin tidak ada pantun yang lebih agung dalam menggabungkan semangat cinta dan patriotisme selain pantun yang berikut:

Kalau roboh kota Melaka,
    Papan di Jawa hamba dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata,
    Badan dan nyawa saya serahkan.

Melalui pantun ini, akal budi Melayu mencapai tahap transendental. Rujukan sejarah kepada kejatuhan Melaka dan hubungan geopolitik dengan Jawa (Majapahit/Demak) bukan sekadar latar belakang, tetapi pasak kekuatan. Pantun ini membayangkan bahawa cinta memerlukan semangat juang yang sama seperti membina semula sebuah empayar yang runtuh. Kesanggupan menyerahkan “badan dan nyawa” merupakan satu sumpah setia yang membuktikan bahawa cinta, bagi orang Melayu, adalah sakral dan menuntut pengorbanan tertinggi, sama ada untuk kekasih mahupun untuk tanah air.

Akhir sekali, kehalusan budi Melayu paling terserlah dalam seni menolak cinta. Masyarakat yang sangat menjaga air muka ini enggan menggunakan perkataan “tidak” kerana dianggap kasar. Maka, pantun menjadi perisai diplomatik. Metafora seperti “bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor” digunakan sebagai mekanisme pemujukan diri dan penolakan halus. Malah, penggunaan imej yang mustahil seperti “udang galah tumbuh di laut” atau “katak di balik sungai” dalam pantun penolakan merupakan cara cerdik untuk mengatakan ketidakserasian tanpa menghina peribadi peminang. Pantun ini menyampaikan mesej bahawa “kita tidak sesuai kerana fitrah kita berbeza, bukan kerana engkau tidak baik”.

Tuntasnya, pantun cinta Melayu klasik ialah sebuah arkib peradaban. Situasi ini membuktikan bahawa nenek moyang masyarakat Melayu memiliki literasi emosi dan intelektual yang tinggi. Mereka “berfikir dalam metafora,” menjadikan alam sebagai kamus untuk menterjemahkan perasaan yang rumit. Dalam dunia moden yang kian tandus dengan nilai-nilai kehalusan, menoleh kembali kepada estetika pantun bukan bermaksud kita mahu hidup semula pada masa silam, tetapi untuk menyegarkan kembali jiwa dengan “budi”. Cinta dalam pantun mengajar kita erti kesabaran (padi), ketahanan (kiambang), kesetiaan (merpati) dan pengorbanan (kota Melaka). Semua ini nilai-nilai sejagat yang kekal relevan merentas zaman.

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu
Kearifan Tempatan

Adiguru Kraf Anyaman: Kak Ani Tidak Kedekut Ilmu

  • 20 Mei 2025
  • 252
  • 5
Langit Petang
Puisi

Langit Petang

  • 9 Ogos 2023
  • 249
  • 3.5
Di BANDING Tali, Tasik, Pepohon dan Langit
Cerpen

Di BANDING Tali, Tasik, Pepohon dan Langit

  • 26 November 2023
  • 5
دالم داکڤنمو انقندا برادو
Puisi Moden

دالم داکڤنمو انقندا برادو

  • 4 Mei 2026

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP